Tuesday 10 May 2016

Semarakkan lagi semangat UMNO!



“… dan berjuang untuk ugama, bangsa dan tanahair;

“Bersatu-padu menyokong kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak supaya UMNO akan terus dapat kepercayaan rakyat untuk menjalankan pentadbiran negara kita pada masa akan datang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

DATO' SRI DIRAJA ADNAN YAAKOB... Wajah seorang pejuang parti, demi ugama, bangsa dan negara (Foto Fail). 


NOTA EDITOR;

Bersempena dengan Sambutan 70-tahun UMNO pada Rabu, 11 Mei ini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri telah diminta menitipkan amanat mengenainya, demi pedoman ahli-ahli UMNO serta rakyat sekelian.

Berikut disiarkan amanat tersebut yang telah dirakamkan pada persidangan media semasa beliau hadir merasmikan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri dan melancarkan kempen Koi Nak Bersih Koi Nak Sihat pada tengah hari Khamis, 5 Mei di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – “Pada 11 Mei nanti, genaplah UMNO 70 tahun. (Tempoh hayat) 70 tahun bagi sesebuah parti politik agak panjang sebenarnya.

“Dan kita telah lihat di negara-negara lain, parti-parti politik yang hampir sama masa ditubuhkan dengan UMNO, kebanyakannya sudah berkubur. Kalaupun mereka pernah menjalankan pemerintahan, mereka telahpun kehilangan kuasa sekarang ini.

“Ini bermakna, UMNO sebenarnya sebuah parti bernasib baik. Saya yakin, sikit-sebanyak kerana doa orang tua-tua dulu, doa ibubapa kita dulu yang dalam UMNO;

“Yang menyebabkan UMNO menjadi salah satu parti InsyaAllah, yang diberkati oleh Allah SWT kerana perjuangan yang suci – menegakkan ugama, bangsa, tanahair; dan mengambil kira semua kepentingan kaum di negara kita.

“Saya berpendapat, bersempena dengan hari tertubuhnya UMNO 70 tahun yang lalu, elok kita ahli-ahli UMNO semua peringkat pemimpin - atas, bawah; bermuhasabah, menilai kembali apakah sumbangan kita kepada parti keramat ini.

PASTIKAN UMNO DAPAT TERUS DITERIMA OLEH SEMUA LAPISAN MASYARAKAT

“Dan kita kena lihat, buat ‘assessment’, penilaian; kedudukan parti kita dikalangan masyarakat berbilang bangsa. Yang penting penilaian itu ialah untuk kita memperkukuhkan lagi UMNO dan memastikan supaya UMNO boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Kalau UMNO tidak boleh diterima oleh majoriti lapisan masyarakat, maka UMNO akan menjadi parti-parti politik yang sama (tarikh penubuhan) dengannya di negara-negara lain, yang telahpun berkubur.

“Saya ada menyuarakan dalam mesyuarat Biro Politik (UMNO Malaysia) supaya sempena dengan ulangtahun UMNO ke-70 ini, kita adakan forum, seminar dengan memanggil pihak cendekiawan, cerdik-pandai membincangkan hala tuju parti. Dalam kedudukan kita sekarang ini untuk kita menentukan hala tuju untuk masa depan.

“Mengadakan pesta sukan baik, bukan tidak baik - sempena dengan ulangtahun UMNO, ianya telah berjaya merapatkan lagi ahli sesama UMNO – pemuda, wanita, puteri terutama mereka yang terlibat dalam sukan.

“Tapi saya berpendapat, menyambut ulangtahun UMNO hanya dengan bersukan sahaja tidak cukup. Kita mesti ada sekurang-kurangnya, sikit-sebanyak ‘input’ intelektual yang kita beri kepada ahli-ahli parti.

PARTI AKAN JATUH JIKA PEMIMPIN UTAMA DIJATUHKAN

“Yang penting sekarang ini, mengambil kira keadaan, suasana semasa; ahli-ahli UMNO wajib bersatu-padu menyokong kepimpinan YAB Presiden parti, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

“Kita harus ingat, parti akan jatuh jika pemimpin utama iaitu Presiden, dijatuhkan. Itu sebab dalam berpolitik ini, untuk jatuhkan sesebuah parti itu kita kena serang ketua parti. Ketua parti, Presiden diserang dulu – dimalukan dan sebagainya, hilangkan kredibiltinya; maka parti itu akan berkubur.

“Ini jugalah yang dihadapi oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak. Beliau diserang bertubi-tubi dengan harapan supaya parti UMNO juga hancur.

“Oleh sebab itu, ketepikan segala perbezaan dan salah-faham sesama kita dalam UMNO. Yang penting ialah kita menyemarakkan lagi semangat UMNO dan berjuang untuk bangsa, ugama dan tanahair;

“Bersatu-padu menyokong kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak supaya UMNO akan terus dapat kepercayaan rakyat untuk menjalankan pentadbiran negara kita pada masa akan datang”. – Khabar