Tuesday 24 May 2016

Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar diminta sediakan cadangan tentang usaha tangani isu pembalakan di Hulu Tembeling.

… selain, pandangan pakar-pakar termasuk profesor, perlu diambil kira.

“… InsyaAllah pada hari esok, saya akan bangkitkan dalam (Mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri) dan minggu-minggu seterusnya, boleh siapkan kertas-kertas berkaitan,” kata Menteri Besar.

KAWASAN TADAHAN AIR DIBESARKAN KEPADA KIRA-KIRA 300,000 HEKTAR DARIPADA ASALNYA, CUMA KIRA-KIRA 44,000 HEKTAR... Aksi Dato' Sri DiRaja Adnan dalam ucapan penggulungan 29-minitnya. 
 

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri diberitahu, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Alam Sekitar diminta menyediakan cadangan-cadangan bagi menangani isu pembalakan di Hulu Tembeling, Jerantut.

Ke arah itu, persidangan juga dimaklumkan bahawa segala pandangan dan laporan oleh pakar-pakar termasuk profesor-profesor berkenaan mengenai isu yang sama, perlu turut diambil-kira.   

“… tanggungjawab Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar untuk membuat cadangan kepada Kerajaan.

“InsyaAllah pada hari esok, saya akan bangkitkan dalam (Mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri) dan minggu-minggu seterusnya, boleh siapkan kertas-kertas berkaitan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan 29-minitnya lewat pagi Selasa, 24 Mei di sini, atas Titah DiRaja KDYMM Sultan Pahang sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-13 pada Isnin, 16 Mei lepas.

ADA PULA KAMPUNG DALAM ZON PENAMPAN... Disebalik beliau membesarkan zon penampan di Rizab Taman Negara 2 X ganda daripada cuma 500 meter kepada 1.5 KM; terdapat pula kampung dalam zon penampan itu sendiri yang menyebabkan Dato' Sri DiRaja Adnan meminta Jabatan Perhutanan Negeri membuat 'adjustment' terhadapnya. 
 

ZON PENAMPAN DI RIZAB TAMAN NEGARA DILUASKAN

Dalam tempoh seminggu lepas, media-massa tempatan termasuk arus perdana, telah melaporkan secara negatif tentang pembalakan di Hulu Tembeling yang dikatakan punca kepada semakin susutnya air Sungai Pahang yang berpunca daripada pertemuan - Sungai Tembeling dan Sungai Jelai di Kuala Tembeling, Jerantut.

Antara banyak-banyak laporan berita tersebut, ada yang boleh dikatakan agak keterlaluan dan bersifat ‘hypothetical’ dengan memilih tajuk utama kepada laporan berita tersebut – ‘Sungai Pahang diambang kemusnahan’!

Dan antara yang turut dibangkitkan ialah bagaimana pembalakan di kawasan itu telah dilakukan sedemikian rupa sehingga menghampiri perkampungan Orang Asli di sana termasuk menggugat aliran sumber air mereka.  

Semasa mula-mula menjadi Menteri Besar menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau telah menambahkan jarak zon penampan sekitar Rizab Taman Negara di sana daripada cuma 500 meter sehingga 1,500 meter atau 1.5 KM.      

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh isu pembalakan tersebut heboh diperkatakan, Kerajaan mendapati, wujud pula perkampungan berkenaan yang berada dalam jarak zon penampan 1.5 KM itu sendiri.    

SIJIL MC&I KITA MASIH DIIKTIRAF... Tidak sepertimana sijil sama oleh dua (2) negeri lain yang telah ditarik balik. 

DALAM ZON PENAMPANPUN WUJUD KAMPUNG?

“… bila kita ‘check’ balik pula, dalam Rizab Taman Negara, 1.5 KM itu, ada kampung pula dah…

“Jadi, saya minta SFO (State Forestry Officer @ Pengarah Perhutanan Negeri) supaya ‘adjust’ balik. Mungkin setengah tempat itu (zon penampannya ialah), 2 KM; setengah tempat itu 1 KM; setengah tempat itu mungkin 5 KM – sebab kampung dah ada. Kita ‘adjust’ balik,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan betapa disebalik laporan berita-laporan berita negatif tersebut, ia tidak boleh menggambarkan secara keseluruhannya tentang kononnya begitu buruknya amalan perhutanan di negeri ini.  

Sedangkan katanya, sijil Malaysian Criteria and Index (MC&I) yang Jabatan Perhutanan Negeri perolehi sejak sekian lama kerana pematuhannya kepada amalan-amalan perhutanan yang baik, terus kekal diiktiraf.    

“Saya nak beritahu ya, daripada segi perhutanan, MC&I Certificate kita masih dikeluarkan, masih diiktiraf. Dua (2) negeri lain dah ditarik balik dah… Bermakna, bukan kita buruk sangat…,” katanya.          

POKOK ADA 'WATER RETENTION CAPABILITY'... Lagi aksi Dato' Sri DiRaja Adnan semasa penggulungan.


‘ENGKAU JANGAN TEBANG POKOK’

Beliau turut menyingkap bagaimana semasa dalam usianya belasan tahun, beliau diingatkan oleh arwah ayahnya, “Nan, kalau engkau ada kuasa satu hari – tak tahu dia tahu saya jadi MB ke tidak, masa tu umur 15 tahun; engkau jangan tebang pokok.

“Saya tanya kenapa? Dia kata, ‘Air sungai ini datang daripada pokok’. Rupanya, 30 tahun kemudian baru keluar cerita, pokok ada ‘water retention capability’. Kemudian saya jadi Menteri Besar, saya cuba jaga yang terbaik,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau juga berkata, negara kini mewarisi kebijaksanaan pemerintah Inggeris yang semasa pemerintahannya lagi, telah menentu dan mewartakan kawasan-kawasan tertentu sebagai antara lainnya - hutan simpan, kawasan tadahan air, serta, Rizab Taman Negara.

“Dan kita dapat tambah-baikkan sikit-sebanyak. Kalau kita ambil contohnya semasa saya mula-mula diberi kepercayaan, takdir Allah Taala sebagai Menteri Besar; saya telah berikhtiar dan telah mewartakan 300,000 hektar (sebagai) kawasan tadahan air (daripada asalnya cuma 44,000 hektar),” katanya.

Dalam pada itupun beliau dimaklumkan, pokok balak yang apabila sampai usia tertentu, perlu ditebang yang jika tidak, ia akan mati begitu sahaja yang oleh itulah, pemerintah Inggeris memperkenalkan penebangan secara terpilih (selective felling).

MENGHORMATI, DATO' SRI SPEAKER... 
 
SUSAH BILA BERURUSAN DENGAN YANG TAMAK

“Bermakna, balak sekian-sekian (usia atau ukur-lilit, boleh di)tebang, (di) bawa keluar (hasilnya). Tapi kadang-kadang, (bila) berkira (berurusan) dengan orang tamak, susah sikit.

“Dia orang semua nak ‘maximize profit’ – jalan patut boleh buat lurus, buat bengkok-bengkok. Dalam (pada) buat jalan (menuju ke kawasan pembalakan sebenat), dah keluar balak dah. Itulah keadaan,” katanya dalam nada kecewa.

Sebelum itu, pada awal ucapan penggulungannya, beliau telah membidas tindakan wakil rakyat pembangkang (DAP – Bilut) yang semasa mencelah ketika sesi penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin petang semalam, menyebut tentang tidak adilnya sistem pilihanraya di negara ini.

Ekoran itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad telah mengarahkan wakil rakyat pembangkang itu keluar Dewan, dan tidak dibenarkan menghadiri persidangan pada hari ini; setelah beliau berdegil, tidak mahu menarik balik apa yang telah dikatakannya. 

“Kalau sistem pilihanraya kita ini rasuah, saya ingat tak ada pembangkang dalam Dewan ni (dengan) kita ‘adjust’ (supaya) semua sekali kita menang. Tak mungkin Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor boleh diperintah oleh parti pembangkang,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

‘FIRST-PAST-THE-POST’

Beliau menambah kata betapa di bawah sistem demokrasi berparlimen ala-Westminster yang negara amalkan, ia menekankan tentang ‘first-past-the-post’ yakni, pihak manakah yang mula-mula mendapat kerusi lebih banyak dalam satu-satu pilihanraya.

“Kalau daripada segi undi popular betul, memang Barisan Nasional kurang satu (1), dua (2) ‘percent’ undi popular daripada pembangkang. Tapi, ini bukan sebab rasuah, sebab sistem kita gunakan ‘(first)-past-the-post’.

“Lain(lah) kalau kita gunakan sistem referendum atau sistem pelantikan pemilihan presiden. ‘Direct election’ untuk memilih presiden. Ha itu betul kita bagi dua (undi), bagi tiga (undi, dan seterusnya) kemudian kita dapat jelas ‘clear-cut majority’.

“Tetapi, dalam sistem demokrasi berparlimen ala-Westminster ini, yang kita kata ‘first-past-the-post’ tadi, maknanya dia kira satu-satu, bukan ‘combine’, tidak... Mungkin saya dapat enam (6) daripada 10 kerusi tapi undi saya dapat mungkin 40 sahaja.

“Sebab, ada kerusi tadi undinya lebih, ada kerusi-kerusi pula undinya kurang. Jadi, bukan sebab sistem itu rasuah (tapi) sistem dah memang begitu, kita warisi dari British…,” katanya lagi.  

Persidangan Dewan Undangan Negeri selama enam (6) hari pada 16, 17, 18, 19, 23 dan hari ini, 24 Mei – kemudiannya ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan kelak. - Khabar