Tuesday, 31 May 2016

Runtuhan terbaharu di Cameron Highlands akibat penerokaan tanah yang lampau.



“Yang runtuh semalam (Ahad lepas), ini adalah kesan lama. Bukannya kita lulus bulan lepas, runtuhnya bulan ini… Ini adalah akibat daripada usaha penerokaan haram dulu,” kata Menteri Besar.

MENEMUI MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh; Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri Mohamad Jaafar.


DEWAN SRI MENTAKAB, MENTAKAB, TEMERLOH – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, kejadian runtuhan di Batu 49, Kuala Terla, Cameron Highlands pada Ahad, 29 Mei lepas ialah akibat daripada kerja-kerja penerokaan tanah yang lampau, bukannya yang baharu.

“Yang runtuh semalam (Ahad lepas), ini adalah kesan lama. Bukannya kita lulus bulan lepas, runtuhnya bulan ini… Ini adalah akibat daripada usaha penerokaan haram dulu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kejadian itu pada persidangan media sempena Majlis Perasmian Pelan Strategik Perumahan Parlimen Temerloh dan PR1MA Pahang Temerloh tengah hari Selasa, 31 Mei di sini.

“Sekarang ini, kita telahpun - melalui NRE (Ministry of Natural Resources and Environment atau Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar), Majlis Keselamatan Negara; menangani masalah itu.

“Tak ada lagi dah penerokaan haram. Yang ada baru-baru ini sikit kita nampak di sempadan Kelantan. Kalau pergi ke Lojing lagi teruk…,” katanya lagi.

BERTEMU, BERAMAH-MESRA DENGAN PENERIMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyerahkan surat tawaran untuk perumahan PR1MA Pahang di Temerloh kepada seorang daripada pemilik perumahan tersebut. 

Selain Dato' Sri Mohd Sharkar dan Dato' Syed Ibrahim; antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pegawai Daerah Temerloh, Dato' Fadzli Mohd Kenali (belakang Dato' Sri DiRaja Adnan).    


SELARI DENGAN KENYATAAN MENTERI NRE

“Yang pentingnya,” tegasnya, “… kita telahpun menyerahkan kepada NRE dan juga kepada Majlis Keselamatan Negara. Majlis Keselamatan Negara yang membuat pemantauan dan sebagainya”.

Apa yang disebut Dato’ Sri DiRaja Adnan ini selari dengan apa yang dinyatakan oleh Menteri NRE, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menafikan kegiatan pembalakan hutan merupakan punca berlakunya runtuhan disusuli banjir lumpur tersebut.

Sebaliknya, ia terjadi kesan daripada eksploitasi penanaman sayur pada tahun 2013 lagi hingga menyebabkan tepian Gunung Brinchang menjadi lembut sehingga mudah dihanyutkan ke sungai.

Pada masa kejadian Ahad lepas itu pula katanya, hujan lebat turun sehingga mencecah 92 milimeter selama tiga jam, sekali gus menjadi punca utama berlakunya banjir lumpur.

“Hujan lebat sedemikian tidak pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun ini.

LAGI PENERIMA... 


HANYUTAN SERPIHAN POKOK LAMA

“Jadi, apa yang berlaku ialah air hujan turun dari Gunung Brinchang ke kawasan ulu Sungai Bertam yang tidak dapat menampung kapasiti pengaliran air itu, di samping serpihan pokok lama yang dihanyutkan sekali,” kata Dato’ Sri Dr Wan Junaidi sepertimana Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melaporkan.

Pada persidangan media sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan juga ditanya mengenai kenyataan lantang beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dari MCA, MIC dan Gerakan yang mempertikaikan;

Pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Presiden PAS, Dato’ Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat Khamis, 26 Mei lepas berkaitan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri katanya, beliau berharap parti-parti komponen tersebut mengkaji terlebih dahulu kerana yang dibentangkan bukannya Rang Undang-Undang Hudud.

“Ini, ‘they are talking about something which is non-existent’. Tak ada langsung benda-benda ini - bukan berkait dengan hudud, potong tangan. Hanya ada sikit usul daripada Dato’ Hj Hadi untuk nak ‘improve’ sikit daripada segi hukuman… Itu saja,” tegasnya.

LAWATAN KE 'BOOTH' PAMERAN... 


‘STOP’LAH

“Jadi, ini satu agenda politik yang elok kita ‘stop’lah. Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Pengerusi Barisan Nasional Negeri; saya berharap supaya kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional berfikir dengan rasional.

“Jangan kita menerkam dalam gelap (sedangkan) kita tak tahu hujung pangkal. Ini bukan undang-undang hudud, bukan rang undang-undang hudud. Rang Undang-undang Hudud tak ada.

“Ini hanya Rang Undang-undang (Mahkamah) Syariah untuk nak perbaiki di Kelantan (yang) pada pandangan Dato’ Hadi, patut diperbaiki daripada segi hukuman, itu saja,” katanya lagi.

Menurutnya, ada kemungkinan apa yang diusulkan oleh Dato’ Sri Hadi itu disalah-sangkakan sebagai ‘Rang Undang-undang Hudud’ oleh kerana beliaulah yang sebelum ini yang banyak bercakap mengenainya (hudud).  

“Ini semua silap persepsi… Tak sangkut-paut langsung ‘and I just don’t understand why this confusion comes about’. Kenapa dia boleh jadi begini? Tak ada apa yang kita nak kelirukan…,” katanya lagi.  

DALAM UCAPAN PERASMIAN LUAR TEKS 14-MINITNYA... Sambil para hadirin memberikan tumpuan kepada butiran yang diucapkan oleh pemimpin negeri mereka.  


TERUS BINCANG UNTUK TERUS BERKONGSI KUASA

Yang mustahak sekarang kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, ialah bagi parti-parti komponan BN bersatu-padu sambil meneruskan perbincangan tentang usaha untuk terus berkongsi kuasa, menang pilihanraya, mendapat kepercayaan rakyat.

“… boleh lagi Barisan Nasional – Melayu, Cina, India, Iban, Dayak, Kadazan sebagainya, duduk sama-sama (dalam) Kerajaan memerintah Malaysia. Itu yang penting,” tegasnya. – Khabar