Tuesday 17 May 2016

Lagi 405 hektar tanah dikenalpasti untuk MCKIP


… tambahan kepada 562.95 hektar tanah yang telah diluluskan di bawah Fasa 1 dan 2.

“Pembangunan utama Fasa 1 MCKIP melibatkan pembinaan kilang besi dan keluli modern bersepadu oleh syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan pelaburan sejumlah RM5.6 bilion yang akan menjana 3,515 peluang pekerjaan.

“Kerja-kerja tanah telah diselesaikan pada bulan Disember 2015 dan pembinaan kilang, bangunan pentadbiran dan asrama pekerja bermula pada bulan Mac 2016,” kata Menteri Besar.  

BERJABAT MESRA ANTARA DUA KETUA EKSEKUTIF NEGERI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berjabat tangan dengan Ketua Menteri Melaka Dato' Sri Ir Idris Haron yang mengadakan kunjungan hormat ke atasnya pagi Selasa, 17 Mei sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri bermula. 

Kunjungan Dato' Sri Ir Idris ke sini ialah untuk meninjau pembangunan yang berlaku di MCKIP dekat Gebeng termasuk yang berkaitan dengan projek pembesaran Pelabuhan Kuantan berhampiran.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Persidangan Dewan Undangan Negeri dimaklumkan tentang lagi 405 hektar tanah yang telah dikenalpasti bagi pembangunan seterusnya, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Ini merupakan tambahan kepada 562.95 hektar tanah yang telah dilulus dan sedang dibangunkan di bawah Fasa 1 dan 2, taman perindustrian tersebut. Fasa 1 berkeluasan 287.55 hektar manakala Fasa 2, 275.4 hektar.

“Pembangunan utama Fasa 1 MCKIP melibatkan pembinaan kilang besi dan keluli modern bersepadu oleh syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan pelaburan sejumlah RM5.6 bilion yang akan menjana 3,515 peluang pekerjaan.

“Kerja-kerja tanah telah diselesaikan pada bulan Disember 2015 dan pembinaan kilang, bangunan pentadbiran dan asrama pekerja bermula pada bulan Mac 2016,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dato’ Fong Koong Fue (BN – Cheka) semasa sesi soal-jawab hari kedua, Selasa, 17 Mei sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-13 yang telah disempurnakan Istiadat Pembukaannya oleh KDYMM Sultan Pahang pagi semalam, Isnin, 16 Mei.

BERSEMUKA... Perbualan mesra antara Dato' Sri DiRaja Adnan dengan Dato' Sri Ir Idris yang datang berkunjung bersama-sama delegasinya.


MCKIP - USAHASAMA 51:49 MALAYSIA-CHINA  

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, MCKIP merupakan taman perindustrian pertama di negara ini yang dibangunkan bersama oleh Malaysia dan China disamping Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di Qinzhou.

Pemaju induk MCKIP ialah Malaysia-China Kuantan Industrial Park Sdn Bhd (MCKIPSB) yang merupakan usahasama pada nisbah 51:49 antara konsortium syarikat-syarikat Malaysia dan China, katanya.

Kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) katanya lagi, menyokong usaha pembangunan ini dengan pembinaan pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk jalan penghubung utama dari MCKIP ke Pelabuhan Kuantan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).  

Beliau juga berkata, paip retikulasi dan tangki-tangki simpanan air baharu juga telah dan sedang dibina bagi memastikan bekalan air yang stabil ke taman perindustrian itu lalu dapat meyakinkan lagi para pelabur di sana.

“Daripada sudut promosi pula, pihak ECERDC akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Malaysia seperti MITI, MIDA dan Kerajaan Negeri Pahang bagi mempromosikan MCKIP kepada pelabur tempatan dan luar negara terutamanya dari negara China,” Dato’ Sri DiRaja Adnan menambah kata.

CENDERAMATA BUAT YANG BERKUNJUNG... 


TEMPOH PERJANJIAN 90 TAHUN

Pada sesi soal-jawab yang sama juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan – bagi pihak Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang sedang bercuti, telah menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP – Mentakab).

Adalah difahamkan, soalan beliau ialah berkaitan dengan Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) khususnya tentang nilai jualan air tersebut dan jangkaan pendapatan, serta tempoh perjanjian berkaitannya.

Dan PPAMPS melibatkan pelbagai komponen antaranya ialah pembinaan Empangan Kelau di Raub, saluran ‘overland pipe’ untuk jarak tertentu, muka sauk dan stesen pam Sungai Semantan di Temerloh, serta, terowong bawah tanah 44.6 KM Karak, Pahang-Hulu Langat, Selangor.

(Wakil rakyat dari pembangkang itu bagaimanapun memilih untuk bertanya, untuk soalan a ; ‘Berapakah nilai setiap liter padu air Sungai Semantan yang dijual ke Selangor setiap hari dan nyatakan jumlah pendapatan setiap bulan dan berapa lamakah tempoh perjanjian tersebut?’).

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, nilai jualannya ialah 10 sen bagi setiap meter padu dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM62,200 sebulan. Tempoh perjanjian pula ialah selama 90 tahun. 

ANTARA YANG TURUT HADIR... Antara yang turut hadir pagi Selasa ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato' Suhaimi Mohd Yunus (dua dari kiri) yang juga Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-Pen). – Khabar