Tuesday 11 September 2018

KDYMM Pemangku Raja titahkan Kerajaan Negeri supaya tegas tangani usaha pesongkan pegangan umat Islam


“... ini kerana perpecahan akan berlaku apabila wujud pelbagai fahaman, ajaran dan falsafah yang boleh menggugat akidah umat,” titah Baginda

PALUAN GONG TANDA SEMPURNALAH PERASMIAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH KALI INI... KDYMM Pemang Raja sedang memalukan gong sambil disaksikan (dalam foto ini) Dato' Sri Wan Rosdy, Dato' Sri Muhammad Safian (separuh terlindung), dan, Dato' Sri Syed Ibrahim (kanan sekali). 


MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang menitah-ingatkan Kerajaan Negeri supaya bertegas dalam menangani cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan atau memesongkan pegangan umat Islam.

“... ini kerana perpecahan akan berlaku apabila wujud pelbagai fahaman, ajaran dan falsafah yang boleh menggugat akidah umat,” titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 2018 pagi Selasa, 11 September di sini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resan Melayu Pahang (MUIP) turut menitahkan agar umat Islam sendiri tidak mengabaikan tuntutan agama hanya untuk memenuhi gaya hidup ciptaan manusia masa kini,  

Ajaran Islam titah Baginda lagi, tidak boleh sesekali diabaikan sungguhpun atas nama kemajuan atau pemodenan, yang menyebabkan penting untuk umat Islam seluruhannya memperkukuhkan akidah masing-masing. 

Baginda seterusnya menitah-sarankan agar mereka menghayati erti pengorbanan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, serta kaum Muhajirin dan Ansar semasa peristiwa hijrah Baginda dari Kota Madinah ke Kota Mekah.

PIALA, PINGAT DAN CEK BUAT TOKOH MAAL HIJRAH KITA... KDYMM Pemangku Raja sedang perkenan menyerahkan 'mock cheque' kepada tokoh kita - bekas wakil rakyat dan kadi, Dato' Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil sambil Dato' Sri Wan Rosdy (kanan sekali) di sisi.     


PERLU BERANI BERHIJRAH UNTUK CAPAI MATLAMAT

“Peristiwa hijrah mempunyai pengertian mendalam kepada umat Islam dan seharusnya mengajar kita untuk berani berhijrah bagi mencapai matlamat yang lebih baik,” titah Baginda seperti yang dipetik daripada laporan BERNAMA.

“Amat jelas dalam menjayakan sesuatu, umat Islam harus bersedia melakukan pengorbanan tanpa berbelah bahagi selain memerlukan perpaduan sesama umat Islam,” titah Baginda lagi.

Dalam ucapannya sebelum itu, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sambutan Maal Hijrah seharusnya turut menuntut umat Islam agar menghayati sebenar-benarnya akhlak Rasulullah SAW.

Sebagai umat terakhir katanya, umat Islam hari ini dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan iaitu menyeru kepada al-Khair (Islam) yang berteraskan kesederhanaan.

“Sambil itu umat Islam hendaklah terus mematuhi ‘maqasid syariah’, selain daripada menyantuni manusia dengan ‘amar ma’ruf wan nahi mungkar’ atau, menyeru kepada kebaikan serta menghindar diri daripada kemungkaran,” katanya.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


IMAN DAN ISLAM DIMILIKI IALAH KURNIAAN ALLAH SWT

Beliau juga berkata betapa sesungguhnya umat Islam hari ini harus turut sedar betapa iman dan Islam yang mereka miliki merupakan kurniaan Allah SWT yang amat berharga nilainya.

“Jikapun nanti tiba masanya malaikat maut datang menjemput, sudah pastilah setiap seorang daripada umat Islam mahu matinya tetap dan masih dalam iman dan Islam.

“Justeru itu, ketika hayat masih dikandung badan, sudah tentulah setiap umat Islam sendiri mahu melaksanakan peranan dan kewajipannya dengan sebaik-baiknya selaku ‘khalifah’Nya di muka bumi ini, insya-Allah,” katanya lagi.

Selain Dato’ Sri Wan Rosdy, antara yang turut hadir pada sambutan Maal Hijrah bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ ini ialah ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Puan Fuziah Salleh;

Timbalan Menteri Kerja Raya, Encik Anuar Tahir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. 


DOA POHON RESTU ILAHI... – Khabar