Sunday 16 September 2018

Penguatkuasaan dan pembanterasan secara berterusan terhadap gejala penerokaan tanah secara haram


“Setiap bulan, boleh dikatakan ada dua-tiga kes yang dikuatkuasakan bersabit dengan aktiviti-aktiviti perlombongan haram sebagai contohnya, sepertimana yang baru-baru ini ada.

“Dan saya mendapat WhatsApp daripada PTG apabila setiap penguatkuasaan dilaksanakan, boleh kata setiap bulan,” kata Menteri Besar.

SEDIA... Lagi rakaman foto sebelum bermulanya temu bual khas pagi Jumaat ini.  


NOTA EDITOR ;

Pada pagi Jumaat, 14 September, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah sudi memberi temubual kepada organisasi-organisasi berita tempatan yang telah sebelum itu, memohon mendapatkan temubual khas dengannya.

Temubual ini ialah bagi mendapatkan pandangan Menteri Besar tentang dasar dan hala tuju kepemimpinannya sempena dengan 100 hari beliau sebagai Ketua Eksekutif Negeri (pada 22 Ogos lepas), sejak Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar pada 15 Mei lepas.

Oleh kerana apa yang telah ditemubualkan itu meliputi pelbagai perkara maka dipecah-pecahkan artikel berkaitan dengannya kepada beberapa siri.

Berikut ialah ialah siri kelima yang berkaitan dengan usaha-usaha berterusan oleh jabatan-jabatan Kerajaan berkenaan, dalam pembanterasan gejala pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.


BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Was Ismail menegaskan betapa usaha berterusan akan diambil bagi menguat kuasakan dan membanteras gejala pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.

Di bawah kepimpinannya setakat ini katanya, sudah lima (5) atau enam (6) gerak-kerja pembanterasan gejala tersebut telah dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

“… dan kita telah mengenakan kompaun. Daripada hasil kompaun tersebut lebih kurang bernilai RM2 juta, RM3 juta – jumlah yang besarlah; dan ini adalah berterusan.

“Sekiranya ada aduan daripada rakyat yang mengatakan ini berlaku, boleh buat terus kepada Aduan Rakyat dan insyaAllah, pihak Kerajaan Negeri melalui PTG (dan Jabatan Perhutanan Negeri), akan kuatkuasakan,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri telah meminta agar gerak-kerja pembanterasan dan penguatkuasaan ini dilakukan secara berterusan dan beliau mendapati kini, ia (pembanterasan dan pebnguatkuasaan) itu berjalan dengan baik.

SETIAP BULAN, DUA-TIGA KES PENGUATKUASAAN

“Setiap bulan, boleh dikatakan ada dua-tiga kes yang dikuatkuasakan bersabit dengan aktiviti-aktiviti perlombongan haram sebagai contohnya, sepertimana yang baru-baru ini ada.

“Dan saya mendapat WhatsApp daripada PTG apabila setiap penguatkuasaan dilaksanakan, boleh kata setiap bulan,” katanya dan menambah betapa kadang-kadang, seminggu atau dua minggu sekali beliau dilaporkan mengenainya.

Laporan ini pula menurutnya, bukan setakat bertulis tetapi truut berserta dengan gambar-gambar sekali.

“Kalau sekiranya senyap sahaja, penerokaan (haram)pun bertambah; bukan sahaja KPI, malah mungkin kita akan bincangkan tindakan-tindakan lain,” tegasnya sebagai menjawab soalan wartawan tentang keperluan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ke atas jabatan-jabatan Kerajaan berkenaan.

Dalam pada itu kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri juga menekankan tentang keperluan untuk menanam semula bagi kawasan-kawasan yang telah diterokai secara haram berkenaan.

SERIUS UNTUK TANAM SEMULA KAWASAN DICEROBOHI

“Kita sedang membuat, sedang memikirkan untuk menanam semula dan telah ada syarikat-syarikat yang datang kepada Kerajaan Negeri menawarkan diri supaya kawasan tersebut ditanam semula.

“Perbincangan secara serius dengan Jabatan Perhutanan Negeri telahpun dibuat dan saya dengan rakan-rakan, kita bincang dalam (mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri) kerana, penanaman semula ini perlu perlu dibuat dan juga merupakan hasrat yang sama daripada Kerajaan Pusat,” katanya lagi. – Khabar