Sunday, 16 September 2018

Kerajaan Negeri tubuh Perbadanan Pelaburan Pahang (PIC)


“Dan ini adalah satu ‘vehicle’ untuk pergi ke arah MBI - MB Incorporated. Maknanya, di bawah PIC ini, kesemua anak-anak syarikat yang ingin memulakan perniagaan yang besar ataupun JV dengan mana-mana syarikat;

“Perlu diperbincangkan, diperhalusi di dalam PIC supaya kita tidak mahu nanti, bila setelah berjalan perniagaan, kita menghadapi masalah,” tegas Menteri Besar.

BEGINI CARANYA... Gaya Menteri Besar kita dalam menjelaskan perkara-perkara yang dibangkitkan pada temu bual pagi Jumaat ini. 


NOTA EDITOR ;

Pada pagi Jumaat, 14 September, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah sudi memberi temubual kepada organisasi-organisasi berita tempatan yang telah sebelum itu, memohon mendapatkan temubual khas dengannya.

Temubual ini ialah bagi mendapatkan pandangan Menteri Besar tentang dasar dan hala tuju kepemimpinannya sempena dengan 100 hari beliau sebagai Ketua Eksekutif Negeri (pada 22 Ogos lepas), sejak Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar pada 15 Mei lepas.

Oleh kerana apa yang telah ditemubualkan itu meliputi pelbagai perkara maka dipecah-pecahkan artikel berkaitan dengannya kepada beberapa siri.

Berikut ialah ialah siri kedua yang berkaitan dengan penubuhan Perbadanan Pelaburan Pahang (PIC) termasuk usaha-usaha bagi memantapkan lagi syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) serta meningkatkan hasil tahunan negeri pada keseluruhannya.  
  

BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BNESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan tentang penubuhan Perbadanan Pelaburan Pahang (PIC; Pahang Investment Corporation) bagi memperkukuhkan lagi syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC).

Penubuhan PIC ini juga katanya, ialah sebagai ‘vehicle’ ke arah pembentukan entiti Menteri Besar Diperbadankan (MBI ; Menteri Besar Incorporated).

Dengan pengukuhan S-GLC ini – operasinya cekap sehingga dapat meningkatkan produktiviti serta menjana keuntungan, beliau menjangkakan mereka dapat menyumbang antara RM80 juta dan RM100 juta setahun kepada Kerajaan Negeri.

“Di bawah PIC ini, kesemua anak-anak syarikat yang ingin memulakan perniagaan yang besar ataupun JV dengan mana-mana syarikat, perlu diperbincangkan, diperhalusi di dalam PIC supaya kita tidak mahu nanti, bila setelah berjalan perniagaan, kita menghadapi masalah.

“Ini adalah satu langkah yang saya buat supaya anak-anak syarikat ini (S-GLC) dapat dilihat, disusun secara teratur dan Kerajaan Negeri akan dapat melihat ini dengan cara lebih berkesan,” katanya.

BERSEDIA SEBELUM MEMULAKAN...  


PIC SUDAH DAPAT KELULUSAN MMK  

Sehingga kini katanya, penubuhan PIC sudah dibincang dan mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, cuma menanti pelantikan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah dan seorang Pengurus Besar untuk memimpinnya.

“Ianya (PIC) dianggotai oleh Pengerusi, Menteri Besar; Lembaga Pengarahnya, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ada seorang lagi yang saya sedang memikirkan untuk mencari tokoh koperat (sebagai seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah).

“Selain daripada tiga (3) orang ini (Ahli Lembaga Pengarah), ada seorang Pengurus Besar untuk membantu dan dia juga jadi urusetia,” katanya dan menjangkakan PIC akan dapat beroperasi sebelum akhir tahun ini juga .

Kepada soalan wartawan sama ada akan berlaku pengecilan saiz ke atas S-GLC yang di bawah pengawasan PIC kelak katanya, beliau masih lagi menunggu laporan daripada Ketua-ketua Pegawai Eksekutif bagi S-GLC tersebut.

“Untuk mengecilkan bukanlah satu perkara yang mudah sebab ia akan melibatkan pegawai dan kakitangan dan saya tidak mahu tersilap langkah dalam membuat keputusan. Ianya perlu dibuat secara berhati-hati.

CUMA SATU-DUA S-GLC YANG TIDAK BAIK PRESTASI

“Kerana saya dapati anak-anak syarikat ini (S-GLC) tidaklah dalam keadaan yang begitu serius sekali sepertimana saya katakan tadi. Cuma ada satu-dua yang kita nampak prestasinya tidak baik dan saya yakin, prestasinya akan dapat dipertingkatkan,” tegasnya.

Sebelum ini katanya, beliau telah menganjurkan Majlis Makan Malam bersama-sama dengan kepemimpinan dan kakitangan kesemua 45 S-GLC yang dalam ucapannya katanya, beliau antara lain telah menekankan pentingnya mereka meningkatkan lagi prestasi masing-masing.

Kebanyakan S-GLC ini menurutnya, baik tetapi masih lagi ada peluang untuk dipertingkatkan yang jika demikian, dapat turut menyumbang kepada peningkatan hasil Kerajaan Negeri.

“Ini kerana, saya telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 15 peratus daripada keuntungan mereka itu perlu disalur semula kepada Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, tindak-balas daripada S-GLC berkenaan adalah baik sementelah mereka memahami betapa perniagaan yang mereka ceburi selama ini ialah ekoran pemberian Kerajaan Negeri sendiri.

KEBANYAKAN TERLIBAT DALAM KELAPA SAWIT

Sebagai contoh katanya, kebanyakan S-GLC terlibat dalam pengusaha-hasilan kelapa sawit yang mana ladang berkenaan merupakan tanah yang Kerajaan Negeri sumbangkan kepada mereka.  

“Saya juga telah memberitahu semua CEO anak-anak syarikat ini, sekiranya ada mana-mana anak syarikat di bawah syarikat mereka yang prestasinya tidak begitu baik, mereka perlu membawa kertas kerja dan cadangan kepada Lembaga Pengarah sama ada syarikat tersebut harus ditutup ataupun perlu diteruskan.

“Sekiranya perlu diteruskan, mereka kena justifikasikan mengapa anak syarikat tersebut perlu diteruskan dan mesti ada jaminan, sekurang-kurangnya tahun pertama boleh ‘recover’ dalam 20 ‘percent’ kerugian, kemudian 30 ‘percent’; tahun ketiga, sekurang-kurangnya ‘turnaround’.

“Itu yang telah saya maklumkan dan Alhamdulillah saya dapati bahawa, maklum balas sangat sangat baik sebab mereka sendiri tahu jika mereka tidak menjaga anak syarikat ini dengan baik, Lembaga Pengarah mungkin akan mempersoalkan kewibawaan mereka,” katanya.

Selain itu menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, beberapa lagi langkah Kerajaan Negeri perkenalkan demi meningkatkan hasil tahunan Kerajaan Negeri yang sehingga kini, berlegar kira-kira RM700 juta setahun.   

TUKAR STATUS TANAH BOLEH TAMBAHKAN HASIL

Ini termasuklah dalam aspek penukaran status tanah daripada pertanian yang rendah, kepada perniagaan yang lebih tinggi kadarnya. Begitu juga dengan menetapkan kadar premium tertentu bagi penjualan tanah miliknya.

“Contohnya di Cameron Highlands, di mana dulunya tanah tersebut dikenakan cukai atas dasar pertanian tetapi setelah masa berlalu, ada tapak yang telah dijadikan ruang perniagaan dan yang ini kita akan lihat sekiranya benar berlaku sedemikian, kita akan ‘convert’ daripada pertanian ke perniagaan dan kita akan kenakan cukai perniagaan,” katanya lagi.

Ke arah menambahkan lagi hasil Kerajaan Negeri juga katanya, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri supaya menggerakkan usaha untuk mengutip apa juga tunggakan berkaitan tanah dan premis.

“Ini adalah usaha-usaha untuk meningkatkan hasil (Kerajaan Negeri) dan saya dapati ada berlaku sedikit peningkatan, mungkin dalam (antara) 10 ke 20 ‘percent’,” katanya lagi. – Khabar