Sunday, 16 September 2018

Kerajaan Negeri mahu wujudkan Tabung Perumahan Negeri untuk bina rumah mampu milik demi rakyat

“Kalau sekiranya kita hapuskan dasar tersebut – 30 peratus tetapi 30 peratus tersebut saya minta mereka sumbang dalam bentuk ‘cash’, masukkan ke dalam akaun Tabung Perumahan.

“Apabila wujudnya Tabung Perumahan nanti, kita dah ada duit, kita ada tanah; kita akan buat rumah yang RM80,000 (Rumah Makmur, serta rumah kos rendah RM35,000 seunit). Ini masih lagi di peringkat awalan, tapi usaha-usaha ke arah itu sedang dibuat,” kata Menteri Besar.

LAGI AKSI DATO' SRI WAN ROSDY... 


NOTA EDITOR ;

Pada pagi Jumaat, 14 September, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah sudi memberi temubual kepada organisasi-organisasi berita tempatan yang telah sebelum itu, memohon mendapatkan temubual khas dengannya.

Temubual ini ialah bagi mendapatkan pandangan Menteri Besar tentang dasar dan hala tuju kepemimpinannya sempena dengan 100 hari beliau sebagai Ketua Eksekutif Negeri (pada 22 Ogos lepas), sejak Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar pada 15 Mei lepas.

Oleh kerana apa yang telah ditemubualkan itu meliputi pelbagai perkara maka dipecah-pecahkan artikel berkaitan dengannya kepada beberapa siri.

Berikut ialah ialah siri keempat yang berkaitan dengan penubuhan Tabung Perumahan Negeri yang kutipan daripadanya akan digunakan untuk membangunkan rumah-rumah mampu milik seperti Rumah Makmur, RM80,000 seunit dan rumah kos rendah RM35,000 seunit.


BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Tabung Perumahan Negeri yang dananya disumbangkan oleh pemaju perumahan berkenaan, kemudian digunakan untuk membina Rumah Makmur dan kos rendah demi rakyat.

“Memang saya ada umumkan baru-baru ini dan ini setelah kita mendapati bahawa, walaupun PR1MA Pahang dibina melebihi daripada sasaran tetapi masih lagi ada rakyat yang tidak mampu untuk beli rumah dengan harga RM150,000.

“Dan hasil daripada itu saya telah berbincang dengan rakan-rakan Exco (Kerajaan Negeri), kita tidak ada pilihan; akan buat juga Rumah Makmur ini dan sekarang ini telah, dalam proses 4,000 (unit).

“Jadi saya bagi jaminan sekurang-kurangnya sampai ke tahap 10,000 (unit). Dalam masa empat-lima tahun ini, kita akan buat paling kurangpun 6,000 (unit) lagi.

“Walaupun kedudukan kewangan negeri agak ketat tetapi kita akan cari jalanlah sebagai contohnya, saya telah memberitahu dalam Exco baru-baru ini bahawa kita akan wujudkan Tabung Perumahan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

PERSEDIAAN SEBELUM BERTEMU BUAL... 


MEKANISME PENUBUHAN TABUNG PERUMAHAN NEGERI

Beliau seterusnya menjelaskan tentang mekanisme penubuhan Tabung Perumahan Negeri ini yang dananya akan diperolehi daripada sumbangan 30 peratus nilai rumah kos rendah yang seharusnya dibina oleh pemaju perumahan di atas tanah seluas lima (5) ekar.

Sekarang menurutnya, dasar Kerajaan Negeri ialah – bagi kawasan seluas lima (5) ekar, pemaju perumahan dimestikan untuk membina 30 peratus daripada jumlah unit di situ dengan rumah murah dan selebihnya, 70 peratus dengan rumah mewah.

Bagaimanapun katanya, pemaju perumahan telah menemuinya dan menyatakan betapa syarat tersebut sukar dipatuhi sementelah kawasan lima (5) ekar tidaklah sebesar mana dan pula jika dibina 30 peratus rumah murah, dikatakan boleh menjejaskan ‘landscape’ di situ.

“Jadi saya kata, bagi Kerajaan Negeri fikir. Kalau sekiranya kita hapuskan dasar tersebut – 30 peratus tetapi 30 peratus tersebut saya minta mereka sumbang dalam bentuk ‘cash’, masukkan ke dalam akaun Tabung Perumahan.

“Apabila wujudnya Tabung Perumahan nanti, kita dah ada duit, kita ada tanah; kita akan buat rumah yang RM80,000 seunit (Rumah Makmur, serta rumah kos rendah RM35,000 seunit). Ini masih lagi di peringkat awalan, tapi usaha-usaha ke arah itu sedang dibuat,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

SS DAN LA SEDANG PERHALUSI CADANGAN PENUBUHAN

Menurutnya, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kini sedang memperhalusi cadangan penubuhan Tabung Perumahan Negeri ke arah pengwujudannya.

“Cuma saya nak tekankan bahawa, sebenarnya sesuatu perkara yang nak dibuat itu kadang-kadang bukan boleh berlaku dalam sekelip mata, mengambil masa. Sekurang-kurangnya ada idea, ada perancangan bagaimana untuk membantu mereka memiliki rumah dan rumah PR1MA Pahang,” tegasnya.

Bagi rumah-rumah ini – Rumah Makmur dan rumah kos rendah katanya, ia disasarkan kepada rakyat yang berpendapatan bulanan seisi rumah RM5,000 ke bawah dengan keutamaan kepada golongan B40.

Dalam pada itu, beliau telah meminta Kerajaan Persekutuan supaya menimbang semula keputusannya untuk menangguh kelulusan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) - program perumahan mampu milik RM35,000 seunit di negeri ini.

“Pada peringkat awalnya telah diluluskan di lapan (8) tempat di negeri Pahang ini tapi sekarang ini ditangguh oleh Kerajaan Pusat.

RAYU KERAJAAN PERSEKUTUAN TERUSKAN BINA RUMAH KOS RENDAH DI LAPAN KAWASAN

“Jadi saya telah minta supaya Kerajaan Pusat mempertimbangkan semulalah di lapan (8) kawasan yang telah diluluskan. Di Kuantan saja ada tiga (3), dalam DUN Padang Tengku ada satu (1), di Bentongpun ada – semua sekali lapan (8),” katanya.

Penerusan ini katanya lebih perlu memandangkan kerja kerja untuk proses penawaran tender sudah hampir dikeluarkan. “Tapi saya merayu kepada Kerajaan (Persekutuan) supaya kelulusan tersebut diteruskan.

“Sebenarnya, itupun cabaran juga tetapi oleh sebab kita mengambil pendekatan untuk rakyat, apa yang kita buat ini untuk rakyat dan Kerajaan Pusatpun (hendak berkhidmat) untuk rakyat juga,” katanya. – Khabar