Sunday 16 September 2018

Kerajaan Negeri akan bantu 47 Pegawai JASA yang diberhentikan


“Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan mereka ini kerana, mereka ini dalam usia 50-an ataupun hampir 50, dan dalam usia sebegini ada anak-anak yang masih lagi pergi ke sekolah, ada lagi hutang kereta, ada lagi hutang rumah.

“Jadi Kerajaan Negeri tidak ada pilihan walaupun dalam kedudukan kewangan yang agak ketat tetapi boleh lagi membantu,” kata Menteri Besar.



NOTA EDITOR ;

Pada pagi Jumaat, 14 September, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah sudi memberi temubual kepada organisasi-organisasi berita tempatan yang telah sebelum itu, memohon mendapatkan temubual khas dengannya.

Temubual ini ialah bagi mendapatkan pandangan Menteri Besar tentang dasar dan hala tuju kepemimpinannya sempena dengan 100 hari beliau sebagai Ketua Eksekutif Negeri (pada 22 Ogos lepas), sejak Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar pada 15 Mei lepas.

Oleh kerana apa yang telah ditemubualkan itu meliputi pelbagai perkara maka dipecah-pecahkan artikel berkaitan dengannya kepada beberapa siri.

Berikut ialah ialah siri ketiga yang berkaitan dengan tindakan Kerajaan Negeri dalam membantu Pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), yang dulunya di bawah Kementerian Penerangan Malaysia, yang telah dibubarkan di bawah Kerajaan Persekutuan ;pimpinan Pakatan Harapan sekarang.


BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membantu nasib kesemua 47 Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang jabatannya telah dibubarkan di bawah Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekarang.

“Walaupun kedudukan kewangan Kerajaan Negeri tidaklah begitu baik, dan nak kata baik sangatpun tidak; pemberhentian Pegawai JASA seramai 47  yang terkini, Kerajaan Negeri akan ambil alih dan akan bantu mereka (selaras) dengan kedudukan kewangan yang sedia ada,” katanya.

“Tidaklah sepertimana mereka menjadi Pegawai JASA Persekutuan seperti dulu. Sebabnya, Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan mereka ini kerana, mereka ini dalam usia 50-an ataupun hampir 50, dan dalam usia sebegini ada anak-anak yang masih lagi pergi ke sekolah, ada lagi hutang kereta, ada lagi hutang rumah.

“Jadi Kerajaan Negeri tidak ada pilihan walaupun dalam kedudukan kewangan yang agak ketat tetapi boleh lagi membantu,” katanya sambil menjangkakan, urusan ini akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

“Mereka (akan) tamat (perkhidmatan) pada 15 hari bulan 10 (15 Oktober), paling-paling lewat 1 haribulan 12 (1 Disember). Tapi saya cuba percepatkan (untuk membantu mereka diterima kembali berkhidmat di bawah Kerajaan Negeri pada) 1 hari bulan 11 (1 November) atau 15 hari bulan 11 (15 November).



SESI TEMUDUGA JUGA AKAN DIADAKAN

“Sebabnya, pelantikan ini bukan boleh dibuat secara mudah sahaja. Kita perlu dapatkan nama mereka, maklumat, kemudian itu ada mereka yang dah tak hendak. Jadi kita tak boleh secara ‘blanket’ untuk melantik mereka (kembali),” katanya.

“Kita juga akan adakan sesi temuduga sebab apa yang kita tawarkan ini (untuk berkhidmat kembali) adalah kurang daripada apa yang mereka dapat semasa berkhidmat sebagai Pegawai JASA (dulunya),” katanya lagi.

Menurutnya, urusan membantu 47 Pegawai JASA ini menjadi lewat ekoran keputusan-keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai status mereka bertukar-tukar – asalnya hendak berhentikan kemudian tidak.

“Tetapi yang terkini saya dapat berita, disahkan bahawa Pegawai JASA ini akan diberhentiikan seramai 47 orang. Jadi Kerajaan Negeri akan meneruskan kembali kertas untuk dibawa ke Exco untuk kita bincang bagaimana untuk membantu mereka dengan keupayaan kewangan yang ada,” tegasnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada kesemua 42 wakil rakyat negeri yang pada persidangan Dewan Negeri lepas, telah menunjukkan kelakuan berhemah termasuk dalam sesi perbahasan.

HUJAH-HUJAH BERFAKTA

“Dan soalan-soalan yang dikemukakan, hujah-hujah yang dibawa oleh pembangkangpun berfakta dan pihak Kerajaan Negeri pun menjawab dengan fakta.

“Kita nampak wujud kematangan di dalam Dewan. Tidak ada Ahli-ahli Dewan yang mengeluarkan kata-kata yang mengikut perasaan mereka dan ini mungkin dalam ucapan awalan saya, saya minta supaya menghormati Yang di Pertua, Timbalan Yang Dipertua dan bertanggungjawab dengan apa yang kita cakap.

“Yang lebih penting ialah beradab dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Jadi, persidangan Dewan yang akan datang akan dapat dikekalkan sebagaimana yang dulu, walaupun kita berlainan pendapat, perbezaan dan sebagainya,” katanya lagi. – Khabar