Belanjawan
Negeri 2020 bernilai RM744.02 juta!
… meningkat
RM40.22 juta berbanding Belanjawan Negeri 2019 hanya RM703.80 juta.
PENYERAHAN SECARA SIMBOLIK... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menerima secara simbolik, teks ucapan Belanjawan Negeri 2020 daripada Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Mohd Roslan Harun.
Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak, yang turut sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kanan sekali). Majlis ringkas ini berlangsung di Bilik Rehat, Dewan Negeri sejurus sebelum Dato' Sri Wan Rosdy membentangkannya dalam Dewan Negeri.
DEWAN NEGERI, WISMA
SRI PAHANG, KUANTAN
– Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membentangkan Belanjawan Negeri
2020 bernilai RM744.02 juta pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri
ke-14 pagi Isnin, 18 November di sini.
Ini
merupakan pembentangan Belanjawan Negeri kedua beliau lakukan, sejak dilantik
sebagai Ketua Eksekutif Negeri pada 15 Mei 2018 menggantikan ‘mentor’nya, Dato’
Sri DiRaja Adnan Yaakob.
Memulakan
ucapan pembentangannya pada kira-kira pukul 11.27 pagi selepas sesi soal-jawab
disusuli rehat bagi sarapan, ia berakhir kira-kira sejam 10 minit kemudian pada
jam 12.37 tengah hari.
Kali
pertama Dato’ Sri Wan Rosdy membentangkan Belanjawan Negeri ini ialah pada Isnin,
19 November 2018 – hanya kira-kira enam (6) bulan selepas mengemudi negeri,
yang bernilai RM703.80 juta.
Dengan
RM744.02 juta yang diperuntukkan bagi Belanjawan Negeri 2020 ini bermakna peningkatan
RM40.22 juta berbanding Belanjawan Negeri 2019 yang bernilai RM703.80 juta.
INFOGRAFIK DISEDIAKAN OLEH UKOMP... Menteri Besar sedang menyampaikan ucapannya. Yang turut kelihatan ialah Ahli-ahli MMK Negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak.
BELANJAWAN
LEBIHAN CUMA RM4.13 JUTA
Peruntukan
RM744.02 juta ini dijangka diperolehi daripada kutipan-kutipan hasil daripada
tanah dan galian, RM417.79 juta; perhutanan, RM165.50 juta; air, RM3.77 juta;
geran daripada Kerajaan Persekutuan, RM94.20 juta; dan, hasil-hasil lain,
RM62.76 juta.
Belanjawan
Negeri kali ini sepertimana yang sulungnya juga, merupakan Belanjawan Lebihan (Surplus
Budget) kira-kira cuma RM4.13 juta, berdasarkan perbelanjaan yang dijangkakan
tahun depan kira-kira RM739.89 juta (RM744.02 juta – RM739.89 juta = RM4.13
juta).
Belanjawan
Lebihan bagi Belanjawan Negeri 2019 ialah kira-kira RM24.34 juta yang
diperolehi daripada peruntukan/jangkaan hasil kira-kira RM703.80 juta
berbanding jangkaan perbelanjaan kira-kira RM679.46 juta.
Berikut
ialah teks sepenuhnya bagi ucapan Belanjawan Negeri 2020 dengan tiga (3) fokus utama
– Melonjak ekonomi ke arah negeri berdikari, Memperkasakan perkhidmatan dan modal
insan, serta, Menyejahterakan kehidupan rakyat.
UCAPAN
BELANJAWAN TAHUN 2020
YAB MENTERI
BESAR PAHANG
Assalamu’alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam
Sejahtera.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Kita
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah inayahNya
kita dapat hadir ke Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Yang Keempat
Belas yang bermula pada hari ini.
Pada
sidang kali ini, insya-Allah saya akan membentangkan Belanjawan Negeri Pahang
Darul Makmur bagi Tahun 2020.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
1.
Dalam Belanjawan 2020, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah 297 bilion
ringgit, di mana 241 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus
sementara 56 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan.
Peruntukan
ini tidak termasuk Simpanan Luar Jangka berjumlah 2 bilion ringgit.
2.
Di bawah Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan sebanyak 31
bilion ringgit bersamaan 10.4 peratus yang merangkumi pengangkutan,
perdagangan, industri, tenaga, kemudahan awam dan pertanian.
Sektor
sosial akan menerima sejumlah 15 bilion ringgit iaitu 5.1 peratus. Manakala,
bagi sektor keselamatan diperuntukkan sebanyak 6.5 bilion ringgit bersamaan 2.2
peratus, dan sektor pentadbiran am sebanyak 3.3 bilion ringgit bersamaan 1.1
peratus.
3.
Kutipan hasil negara dijangka mencecah 244.5 bilion ringgit pada tahun 2020
iaitu peningkatan sebanyak 11.2 bilion ringgit berbanding tahun 2019, tanpa
mengambil kira dividen khas PETRONAS sebanyak 30 bilion ringgit.
4.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan
perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang akan diterima
sebagai hasil kepada Kerajaan Negeri.
Alhamdulillah,
Negeri Pahang telah menerima 7.86 juta ringgit daripada keseluruhan kutipan
cukai pelancongan tahun 2018 yang berjumlah 15.72 juta ringgit. Kerajaan Negeri
disarankan untuk menggunakan pemberian ini bagi maksud penyelenggaraan dan
penyediaan kemudahan pelancongan, promosi dan pemasaran destinasi pelancongan.
5.
Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas
kelulusan beberapa projek antaranya;
a)
Peruntukan 810 juta ringgit untuk hal-hal berkaitan kebajikan peneroka FELDA di
seluruh negara yang akan dimanfaati oleh 43,124 peneroka serta anggota keluarga
FELDA di Pahang (jumlah teramai di negara ini).
b)
Peruntukan 69.5 juta ringgit kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai
Timur atau dikenali sebagai East Coast Economic Region Development Council
(ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan.
c)
Pinjaman bagi tiga (3) projek untuk mengatasi masalah bekalan air di Kawasan
Perindustrian Gebeng, Semambu dan Raub bernilai 637 juta ringgit.
d)
Membina klinik-klinik kesihatan baharu termasuklah sebuah di Cameron Highlands.
6.
Sehubungan dengan kelulusan projek-projek ini, Kerajaan Negeri ingin
mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap, kerjasama
baik ini dapat diteruskan dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri dan
yang paling penting adalah kesejahteraan rakyat.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
7.
Menurut Laporan Buletin Suku Tahunan 2019 oleh Bank Negara, ekonomi Malaysia
secara keseluruhannya merekodkan pertumbuhan stabil 4.9 peratus dalam tempoh
suku tahun pertama dan kedua 2019.
8.
Sehingga 15 November 2019, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil
sebanyak 588 juta ringgit berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 703.80
juta ringgit iaitu pencapaian sebanyak 83 peratus.
Kerajaan
Negeri menjangkakan sehingga hujung tahun ini sasaran 90 peratus kutipan hasil
yang telah disasarkan akan dapat dicapai berdasarkan trend kutipan hasil
terutamanya hasil tanah.
Dalam
tempoh yang sama, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah 530 juta ringgit
berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 679.46 juta ringgit iaitu
pencapaian sebanyak 78 peratus untuk Perbelanjaan Mengurus.
Bagi
Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak 36 juta ringgit telah dibelanjakan
berbanding dengan sasaran 71 juta ringgit bersamaan dengan pencapaian prestasi
51 peratus.
Kerajaan
Negeri juga berjaya menunjukkan lebihan dari bulan Ogos sehingga kini. Kita
berjaya mencapai penjimatan yang ketara sekaligus menunjukkan ekonomi Pahang
dalam keadaan baik dan sihat.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
9.
Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2020 akan menyediakan
peruntukan berjumlah 739.89 juta ringgit bagi Perbelanjaan Mengurus dan 120.75
juta ringgit bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Belanjawan
2020 adalah belanjawan pengembangan dengan memberi tumpuan kepada perbelanjaan
infrastruktur dan peningkatan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak 22.70 juta
ringgit daripada jumlah yang telah Kerajaan Negeri peruntukkan pada Belanjawan
tahun 2019.
Daripada
120.75 juta ringgit Perbelanjaan Pembangunan tersebut, sejumlah 85.55 juta
ringgit akan menggunakan pembiayaan cara langsung, manakala baki 35.20 juta
ringgit adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek
Bekalan Air.
10.
Daripada jumlah 739.89 juta ringgit yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan
Mengurus, 332.47 juta ringgit adalah untuk Emolumen; 165.48 juta ringgit untuk
Perkhidmatan dan Bekalan; Manakala sebanyak 229.96 juta ringgit lagi adalah
untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap; Sebanyak 7.67 juta ringgit
diperuntukkan untuk Perbelanjaan Lain; dan 4.32 juta ringgit untuk Pembelian
Aset.
Anggaran
Perbelanjaan Mengurus untuk 2020 meningkat sebanyak 60.43 juta ringgit atau 8.9
peratus berbanding 2019.
11.
Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri dijangka mengutip hasil sebanyak 744.02 juta
ringgit iaitu peningkatan sebanyak 40.22 juta ringgit atau 5.71 peratus
berbanding anggaran tahun 2019.
Kutipan
hasil tahun 2020 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak 417.79 juta
ringgit; hasil perhutanan sebanyak 165.50 juta ringgit; hasil air sebanyak 3.77
juta ringgit; Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak 94.2 juta ringgit; dan
lain-lain hasil sebanyak 62.76 juta ringgit.
Kutipan
hasil negeri dijangka akan mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih
bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil baharu bagi hasil tanah, hasil
hutan dan duti hiburan.
12.
Kesimpulannya, Belanjawan 2020 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak
744.02 juta ringgit manakala Perbelanjaan Mengurus dijangka sebanyak 739.89
juta ringgit dengan lebihan 4.13 juta ringgit.
Walaubagaimanapun,
jumlah sebenar bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada
tahun 2020.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
13.
Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang bermula pada tahun 2016 akan
berakhir pada tahun 2020 kini memasuki fasa terakhir ke arah mencapai status
negara maju yang bertemakan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ memberi tumpuan
kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
14.
Negeri Pahang merupakan negeri yang menyumbang secara konsisten kepada
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pada
tahun 2018, Negeri Pahang merekodkan nilai KDNK bagi tahun 2018 berjumlah 56.2
bilion ringgit berbanding 54.6 bilion ringgit pada tahun sebelumnya. Pahang
mencatatkan KDNK sebanyak 4.4 peratus berbanding purata KDNK Nasional sebanyak
5.0 peratus.
Sektor
perkhidmatan meningkat 6.5 peratus disokong oleh subsektor perdagangan borong
dan runcit, perkhidmatan lain dan perkhidmatan kerajaan. Sektor pembuatan kekal
positif dengan merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus didorong oleh subsektor bahan
kimia dan produk kimia.
Walau
bagaimanapun, sektor pertanian bertumbuh perlahan pada kadar 1.2 peratus
selepas mencatatkan peningkatan kukuh 9.3 peratus pada tahun 2017, dipengaruhi
oleh subsektor kelapa sawit yang menyusut kepada negatif 5.2 peratus.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
15.
Kerajaan Negeri akan sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara keadaan
ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan ‘tagline’ ‘Maju Terus Pahang’
dan ‘Pahang 1st ’.
Pada
masa yang sama juga, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan
kutipan hasil dan sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah untuk
mengelakkan defisit fiskal.
Belanjawan
2020 memberi fokus kepada tiga (3) strategi utama:
Pertama
: Melonjak Ekonomi ke arah Negeri Berdikari.
Kedua
: Memperkasa Perkhidmatan dan Modal Insan
Ketiga
: Mensejahterakan Kehidupan Rakyat
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
STRATEGI
PERTAMA: MELONJAK EKONOMI KE ARAH NEGERI BERDIKARI
16.
Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited bagi meningkatkan hasil negeri dan
telah mensasarkan kutipan hasil sebanyak 1 bilion ringgit dalam tempoh tiga (3)
atau empat (4) tahun akan datang.
Bagi
meningkatkan kecekapan kutipan hasil, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan
Prestasi Petunjuk Utama kutipan hasil sebanyak 90 peratus.
Bagi
mencapai tujuan tersebut, pelbagai inisiatif sedang dirangka, antaranya ialah
memperkemaskan sistem penyampaian dengan memperkenalkan langkah-langkah
proaktif yang akan meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri sekaligus mencapai
hasrat kerajaan untuk menjadi Negeri Berdikari.
17.
Pentadbiran Negeri Pahang sentiasa berusaha meningkatkan hasil dengan
mengurangkan ketirisan.
Antara
inisiatif yang telah diambil adalah penubuhan beberapa unit khas di bawah
Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, iaitu Unit Kutipan Balik Hasil,
Unit Petugas Khas Hasil, dan Unit Tender Khas.
18.
Selain itu, beberapa langkah proaktif telah diambil termasuk yang melibatkan
kutipan Duti Hiburan.
Pada
tahun 2018, kutipan Duti Hiburan adalah 9.6 juta ringgit. Sehingga 15 November
2019, kutipan Duti Hiburan telah mencecah 15 juta ringgit. Jumlah ini
dijangkakan meningkat pada tahun 2020 apabila Kerajaan Negeri mensyaratkan agar
bayaran Duti Hiburan perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum lesen hiburan
dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengemaskinian
prosedur ini, dijangka dapat meningkatkan kutipan hasil negeri dan PBT.
19.
Untuk memperkasakan penguatkuasaan, sebanyak 1.9 juta ringgit telah
diperuntukkan pada tahun ini bagi pembelian jentera berat iaitu dua (2) unit
excavator, dua (2) unit backhoe dan satu (1) unit self-loader untuk
melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan dan pemusnahan bangunan tanpa izin di
atas tanah kerajaan.
Perolehan
jentera ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani kes-kes
pencerobohan yang secara tidak langsung dapat membendung ketirisan hasil
negeri.
20.
Sebanyak lima (5) operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan yang melibatkan
pelbagai agensi sepanjang tahun 2019 antaranya; Ops Tanglung, Ops Lombong 4.0,
Ops Tebas, Ops Ronda dan Ops Lombong Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang.
21.
Sejak tahun 2018 sehingga Oktober 2019, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah
membawa sembilan (9) kes kesalahan hutan untuk pertuduhan di mahkamah dan telah
memenangi kesemua kes tersebut, pesalah telah dijatuhi hukuman denda dan
penjara.
Sebanyak
764 ribu ringgit telah berjaya dikutip sebagai denda dan penalti pelbagai
kesalahan hutan. Penyampaian Perkhidmatan yang lebih berkesan melalui
Penyelarasan Kutipan Cukai Yang Mampan.
22.
Selain daripada mengurangkan ketirisan melalui penyelarasan semula kadar Duti
Hiburan dan memperkasakan kaedah kutipan, Kerajaan Negeri juga telah menyemak
semula kadar fi dan permit untuk aktiviti-aktiviti di Taman Negara.
Sejak
70 tahun beroperasi, ini adalah kali pertama kadar-kadar ini disemak semula.
Kadar baharu ini dilihat mampu menjamin kelestarian alam semulajadi serta
kelangsungan kepelbagaian flora dan fauna selain daripada menambah pendapatan
negeri.
Kerajaan
Negeri juga akan memperkenalkan cukai katil seperti yang dilaksanakan di Pulau
Pinang dan caj warisan di Negeri Melaka.
23.
Majlis Tanah Negara ke-71 pada 14 Disember 2015, telah mengarahkan semua negeri
supaya menyemak semula kadar Cukai Tanah di negeri masing-masing.
Sehubungan
itu, Semakan Cukai di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 yang melibatkan
kira-kira 700 ribu hak milik sedang giat dilaksanakan dengan memberi tumpuan
kepada industri berat, perniagaan dan estet.
Kali
terakhir semakan kadar Cukai Tanah dibuat adalah pada tahun 2007. Semakan
dibuat agar kadar yang dikenakan adalah lebih adil, seragam dan teratur,
sejajar dengan pembangunan semasa serta peningkatan nilai hartanah.
Kadar
baharu ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2020.
24.
Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri akan
memastikan pindaan kadar Cukai Tanah yang dikenakan tidak akan membebankan
golongan berpendapatan rendah (B40).
Ini
sebaliknya lebih mensasarkan kepada syarikat-syarikat besar contohnya bagi
pemilik tanah berkeluasan 101 hektar bersamaan 250 ekar di mana cukai semasa
yang dikenakan sebanyak 235 ribu ringgit setahun, sedangkan keuntungan bersih
tahunan pemilik tanah tersebut adalah sebanyak 55 juta ringgit setahun.
Maka
dengan kadar cukai baharu, Kerajaan Negeri akan mengutip 5 juta ringgit
setahun. Ini akan memberikan impak kenaikan hasil yang sangat besar kepada
Kerajaan Negeri selari dengan kadar keuntungan yang diperolehi oleh pemilik
tanah.
25.
Kerajaan Negeri memberi jaminan kenaikan kadar cukai tidak akan membebankan
pemilik tanah pertanian (kelapa sawit, getah, teh, koko, kopi, dusun dan hasil
hutan) yang berkeluasan empat (4) hektar bersamaan 10 ekar ke bawah.
Dengan
pelaksanaan kadar baharu ini, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan cukai pada
tahun 2020, tidak termasuk pengeluaran hak milik baharu adalah sebanyak 617
juta ringgit berbanding kutipan Cukai Tanah sedia ada iaitu 192 juta ringgit,
iaitu peningkatan sebanyak 425 juta ringgit setahun.
26.
Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif mewujudkan Pengurusan Pasir Pahang
Berhad (PPPB).
Pada
bulan pertama PPPB beroperasi, Kerajaan Negeri telah menerima hasil daripada
pengeluaran pasir melalui Lesen Pendudukan Sementara Bercantum Permit sebanyak
4 juta ringgit.
Adalah
dianggarkan hasil pengeluaran pasir pada tahun 2020 sebanyak 26 juta ringgit.
27.
Penubuhan Daerah Kecil Gebeng yang berkeluasan 20,297 hektar bersamaan 50,155
ekar dan Daerah Kecil Genting yang berkeluasan 6,668 hektar bersamaan 16,478
ekar juga akan menambahkan pendapatan langsung kepada Kerajaan Negeri melalui
perubahan semakan pindaan kadar Cukai Tanah.
Pada
tahun 2020, dianggarkan Daerah Kecil Gebeng menyumbang hasil sebanyak 200 juta
ringgit setahun manakala Daerah Kecil Genting akan menyumbang hasil sebanyak 2
juta ringgit setahun.
28.
Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengeluaran
industri penternakan melalui pengkomersialan rizab padang ragut, Jabatan
Perkhidmatan Veterinar.
Sebanyak
73 kawasan yang melibatkan jumlah keluasan 3,784 hektar bersamaan 9,350 ekar
telah dikenalpasti untuk dimajukan.
Selain
dapat mengelakkan tanah terbiar, diceroboh dan disalahgunakan, rizab padang
ragut berkenaan akan dipajakkan secara tender terbuka untuk memberi peluang
kepada pelabur yang menawarkan harga yang terbaik disamping dapat membantu
pengeluaran ternakan ruminan di Negeri Pahang dengan menggunakan teknologi
moden.
Sehingga
kini, terdapat empat (4) kawasan yang sedang diproses untuk dipajakkan di
daerah Pekan dan Kuantan.
29.
Pelaburan dari dalam dan luar negeri adalah penting untuk Negeri Pahang. Setiap
pelaburan sudah pasti akan memberikan kesan limpahan positif kepada negeri dan
rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya dalam
sektor perindustrian sama ada tenaga buruh mahir atau separuh mahir,
meningkatkan KDNK negara dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Negeri
Pahang telah berjaya mencapai beberapa kemajuan dalam pertumbuhan ekonomi.
Pelaburan swasta di Pahang terus berkembang dengan sebahagian besarnya dipacu
oleh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dan Kerajaan Negeri
dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan kerja-kerja infrastruktur
awam.
30.
Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri mengambil peluang untuk menarik kemasukan
pelabur-pelabur baru dengan melaksanakan beberapa misi perdagangan.
Sebelum
misi perdagangan diadakan, Kerajaan Negeri terlebih dahulu akan mengkaji potensi
menarik pelaburan di Negara-negara berkenaan termasuk dari segi faedah yang
akan diperolehi kerana kita tidak mahu usaha yang dilakukan adalah sia–sia
tanpa sebarang hasil.
31.
Dalam tempoh Januari sehingga Jun 2019, pelaburan tempatan dan pelaburan asing
di Negeri Pahang mencatatkan nilai 6.44 billion ringgit. Ini melibatkan
pelaburan dibawah Malaysian Investment Development Authority (MIDA), ECERDC dan
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK).
32.
Pada tahun 2019, antara misi perdagangan yang telah Kerajaan Negeri jayakan
adalah misi perdagangan ke Belgium, Belanda, Singapura dan terkini ke China.
Insya-Allah,
selepas ini Kerajaan Negeri akan mengkaji peluang sektor pertanian di Thailand
terutamanya dalam penggunaan teknologi moden.
33.
Forum Pelaburan Pahang 2019 yang telah berlangsung di Singapura pada 1 dan 2
Ogos 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan
kira-kira 1.134 bilion ringgit apabila menandatangani sebelas (11) Memorandum
Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat di Singapura.
34.
Antara pelaburan komited berimpak tinggi ialah MoU yang telah ditandatangani
bersama Syarikat Hercules Technologies Sdn. Bhd. yang akan melabur sehingga 450
juta ringgit melibatkan tiga projek berlainan.
Projek-projek
itu ialah 200 juta ringgit untuk membangunkan pusat pembekalan simen, konkrit,
dan 200 juta ringgit bagi pembinaan kilang bio-komposit, manakala baki 50 juta
ringgit bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk yang
akan beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng.
Pihak
syarikat dijangka akan menandatangani perjanjian usahasama dengan Perbadanan
Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada tahun hadapan.
35.
Selain itu, syarikat lain yang berminat untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai
destinasi pelaburan adalah Syarikat Zhong Hai Resources Group Private Limited,
dengan jumlah pelaburan berjumlah 400 juta ringgit untuk membangunkan kawasan
seluas 654 ekar di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.
Bagi
status terkini, pelan perniagaan bagi usahasama ini telah dirangka dan
selanjutnya cadangan bagi mewujudkan terma perkongsian antara syarikat dan PKNP
akan dilakukan dalam masa yang terdekat.
36.
Pahang juga dijangka akan menerima pelaburan daripada IBN Corporation Private
Limited berjumlah 100 juta ringgit bagi projek pembinaan kolam takungan dan
pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting
Highlands.
Dengan
pembekalan air terawat ini, IBN akan menjadi pelengkap kepada kawasan yang
tidak mampu dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd.
37.
Pahang juga bakal menerima kemasukan pelaburan dari China berjumlah 1.386
bilion ringgit ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara
Kerajaan Negeri dengan enam (6) syarikat dari negara tembok besar tersebut.
Keenam-enam
syarikat terlibat ialah:
a.
ND Paper (M) Bhd. dengan pelaburan 522.2 juta ringgit yang akan membina
kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan pulpa.
b.
Syarikat TNP Power Sdn. Bhd. dengan nilai pelaburan berjumlah 341.74 juta
ringgit bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China
(MCKIP) 1, Kuantan untuk penjanaan bersepadu tenaga dan haba;
c.
Syarikat lain, adalah China Travel Service Meizian Company Limited yang
melibatkan jumlah pelaburan 200 juta ringgit bagi mewujudkan Eco Tourism City
di Bukit Tinggi, Bentong;
d.
Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn. Bhd., dengan 122.48 juta
ringgit nilai pelaburan bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik di
MCKIP 1.
Bagi
tujuan pelaburan ini, Zhongxin Resources telah pun mendapat lesen pengilang
daripada MIDA;
e.
Wuxi Jinxie Industrial Company Limited dengan nilai pelaburan 100 juta ringgit
bagi projek pembinaan turbin angin untuk menjana tenaga di Pulau Tioman,
Rompin; dan
f.
Power China Construction Group, dengan nilai pelaburan 100 juta ringgit bagi
pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman di Kawasan
Perindustrian Gebeng, Kuantan.
38.
Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terlibat secara langsung dalam
projek pelaburan yang baharu, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk menetapkan
satu peratus (1%) Golden Share diberikan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan
(PSK) dan lima peratus (5%) Preference Share (Syer Keutamaan) diberikan kepada
Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (State GLC) seperti Perbadanan Kemajuan
Negeri Pahang (PKNP), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan
sebagainya yang akan ditentukan pihak kerajaan.
39.
Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) akan terus menjadi taman
industri utama di Negeri Pahang.
Pelabur
utama ialah Alliance Steel Sdn. Bhd. (ASSB) yang telahpun menjalankan
pengeluaran percubaan dengan kapasiti pengeluaran produk besi keluli antara 25
hingga 50 peratus.
Kilang
ASSB ini dijangka memulakan pengeluaran sepenuhnya pada 2020 dengan kapasiti
3.5 juta tan setahun. Pelaburan ASSB di MCKIP telah menawarkan 3,789 peluang
pekerjaan yang mana 2,874 orang atau 75 peratus adalah pekerja tempatan.
40.
Antara pelaburan lain yang komited dan berpotensi tinggi di MCKIP ialah:
a.
Dongguan Jianhui Paper Company Limited bagi projek pengeluaran kertas dan pulpa
dengan jumlah pelaburan 3.35 billion ringgit dan dijangka menyediakan
sekurang-kurangnya 2,000 peluang pekerjaan;
b.
TNP Power Sdn. Bhd. dengan pelaburan bernilai 250 juta ringgit dalam projek
melibatkan tenaga dan haba; dan
c.
MiGao Private Limited iaitu projek dalam bidang pembuatan baja potash (potash
fertilizer) bernilai 300 juta ringgit.
41.
Jumlah pelaburan yang diluluskan di MCKIP dari tahun 2016 sehingga tahun 2019
adalah sebanyak 8.279 billion ringgit, majoritinya melibatkan pelabur-pelabur
dari Negara China.
42.
Melihat kepada impak positif yang akan diterima dari segi limpahan ekonomi,
ianya dijangka akan dapat membantu merancakkan lagi pembangunan dan penggunaan
Pelabuhan Kuantan.
Melalui
projek East Coast Rail Link (ECRL), selain pembinaan sebuah stesen penumpang
berhampiran Pelabuhan Kuantan yang akan dinamakan sebagai Stesen Kuantan Port
City 1, satu laluan keretapi kargo (spurline) ke dalam kawasan operasi
Pelabuhan Kuantan akan turut dibina dalam fasa 2 projek tersebut.
Apabila
siap kelak, laluan keretapi ini akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan ke
Pelabuhan Klang yang bakal mewujudkan land bridge yang dijangka dapat
meningkatkan mobiliti kargo di antara keduadua pelabuhan.
Projek
yang melibatkan laluan yang menghubungkan lima (5) buah negeri iaitu Selangor,
Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan ini dijangka akan siap
sepenuhnya pada Disember 2026.
43.
Ini menunjukkan betapa Kerajaan Negeri amat serius dan komited untuk terus
bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan apa jua pelaburan yang dibuat
akan terus berjaya.
Antara
usaha yang dilaksanakan adalah dengan menyediakan segala prasarana industri
yang terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi memenuhi keperluan pihak
pelabur. Ini termasuklah dua (2) projek bagi mengatasi masalah bekalan air di
Kawasan Perindustrian Gebeng dan Semambu telah diluluskan oleh Kerajaan
Persekutuan berjumlah 619 juta ringgit.
Dengan
pelaksanaan Projek Bekalan Air ini, maka sistem bekalan air akan menjadi lebih
baik.
44.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pelabuhan Kuantan sedang
berusaha meningkatkan keupayaan, kecekapan dan kapasiti pengendalian Pelabuhan
Kuantan dengan kerjasama ECERDC dalam melaksanakan perancangan untuk
membesarkan Pelabuhan Kuantan yang telah dimulakan sejak tahun 2013 lagi.
45.
Pembesaran ini merangkumi pembinaan Terminal Baru Laut Dalam atau New Deep
Water Terminal berserta kemudahan-kemudahan lain berkaitan antaranya pembinaan
pemecah ombak sepanjang 4.7 kilometer, pembinaan tangki air untuk bekalan air
ke Pelabuhan Kuantan, pembangunan infrastruktur jalan raya baharu melibatkan
pembinaan trumpet interchange di Pintu Utara Pelabuhan Kuantan dan pembinaan prasarana
yang berkaitan.
Pembinaan
New Deep Water Terminal ini dapat meningkatkan kapasiti pengendalian kargo
daripada 24 juta tan setahun kepada 50 juta tan setahun.
Sejak
memulakan operasi pada Mac 2019, New Deep Water Terminal telah mengendalikan
kargo mineral sebanyak hampir 3.5 juta tan atau purata hampir 500 ribu tan
sebulan atau 30 peratus daripada jumlah pengendalian keseluruhan Pelabuhan
Kuantan.
Ia
juga telah membuka laluan baru kepada kapal-kapal yang lebih besar sehingga
150,000 displacement tonne, berbanding hanya 53,000 displacement tonne sahaja
sebelum ini.
Kemasukan
kapal-kapal yang lebih besar dapat membuka peluang bagi Pelabuhan Kuantan untuk
menjadi pelabuhan pilihan dan utama ke Asia Timur dan lebih berdaya saing
berbanding hanya menjadi pelabuhan sokongan (feeder port) sebelum ini.
Yang
Berhormat Tuan Yang Dipertua,
46.
Industri Pelancongan dijangka akan terus berkembang pada tahun 2020, terutama
melalui kempen Visit Malaysia 2020 yang dianjurkan oleh Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya bagi meningkatkan sasaran kedatangan pelancong ke
Malaysia iaitu seramai 30 juta pelancong antarabangsa.
47.
Pada tahun 2018, Negeri Pahang merupakan destinasi teratas yang dikunjungi
pelancong domestik iaitu seramai 9.2 juta pelancong. Angka ini meletakkan
Negeri Pahang sebagai penerima pelawat domestik tertinggi diikuti Negeri Johor
dan Negeri Perak.
Pada
tahun 2020, Kerajaan Negeri menyasarkan ketibaan seramai 15 juta pelancong
domestik dan dijangka akan menerima limpahan pelancong terutama di destinasi-destinasi
seperti Cameron Highlands, Kuantan, Genting Highlands, Pulau Tioman dan
destinasi-destinasi lain.
48.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 6 juta ringgit bagi memperkukuhkan
industri ini melalui pembangunan infrastruktur untuk menarik pelaburan swasta
di kawasan berpotensi tinggi seperti Mossy Forest Cameron Highlands, pintu
masuk kedua ke Taman Negara Merapoh (Caving Paradise) dan Taman Negeri
Endau-Rompin.
49.
Kerajaan Pahang juga komited untuk melindungi dan melestarikan hidupan liar
dengan mempertingkatkan lagi pewujudan Koridor Hidupan Liar (Wild Life
Corridor) di beberapa daerah seperti Raub, Temerloh dan Lipis.
Ini
amat penting bagi membolehkan pergerakan hidupan liar yang lebih bebas dan
selamat serta mengelakkan kepupusan setempat.
50.
Umum mengetahui, di bawah Kerajaan Negeri, setiap daerah mempunyai rumah
rehatnya sendiri yang mempunyai nilai sejarah dan estetika yang diuruskan oleh
Pihak Berkuasa Tempatan.
Kerajaan
Negeri melihat ini sebagai satu peluang untuk penjenamaan semula rumah-rumah
rehat ini.
Dengan
itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak 4.4 juta ringgit
bagi kos baik pulih dan peralatan bagi kesemua rumah rehat yang terlibat.
Urusan penjenamaan semula rumah rehat ini akan dipertanggungjawabkan kepada
Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
51.
Pada masa ini, Negeri Pahang dihubungkan secara terus ke negara jiran Singapura
melalui perkhidmatan penerbangan Firefly, Scoot, AirAsia dan Malaysia Airlines,
dengan kapasiti 975 tempat duduk dalam seminggu.
Bagi
meningkatkan lagi pelaburan serta pelancong dari Negara China, Kerajaan Negeri
dalam perbincangan bersama Guangxi Beibu Airlines bagi penerbangan terus dari
Nanning-Kuantan-Singapura dan sebaliknya.
Langkah
ini diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke Negeri Pahang dan
sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan sejajar dengan peningkatan penggunaan
Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.
52.
Kerajaan Negeri turut melihat kepentingan muzium dalam konteks pengekalan
warisan, pendidikan dan sektor pelancongan. Mulai 2019, Perbadanan Muzium
Negeri Pahang sedang menaik taraf Muzium Seni Pahang dan bangunan bekas pejabat
Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) di Kuantan kepada Muzium Sultan Haji
Ahmad Shah.
53.
Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan sokongan Kerajaan Negeri juga akan
sentiasa menambah baik dan mengemaskini maklumatmaklumat berkaitan dengan
pameran di dalam galeri-galeri sedia ada, mempelbagaikan program dan aktiviti
bagi menarik minat pengunjung.
Antara
program yang telah dijalankan seperti Program Bermalam di Muzium dan The Young
and Our Heritage iaitu mewujudkan Mini Muzium di sekolah yang terpilih.
54.
Tenun Pahang Diraja merupakan tradisi menenun sejak berabad lalu yang
memperlihatkan secara halus hubungan di antara tradisi menenun ini dengan alam
sekitar yang mencerminkan pemikiran serta jiwa rakyat masyarakat Pahang.
Eratnya
hubungan dan ikatan antara raja dan rakyat seperti jalinan antara benang loseng
dan pakan, jika tiada salah satunya maka kain tenun yang cantik tidak akan
dapat dihasilkan, begitulah simboliknya hubungan antara raja dan rakyat.
55.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah
memainkan peranan yang penting bagi memartabatkan seni Tenun Pahang Diraja ini.
Peranan
dan usaha baginda dalam membantu serta mengangkat martabat Tenun Pahang Diraja
ke peringkat yang lebih tinggi telah membuahkan hasil dengan tertubuhnya
Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam bertempat di
Pulau Keladi Pekan yang bertujuan untuk melahirkan golongan muda yang
berketerampilan serta menjadi penenun mahir di dalam institusi Tenun Pahang
Diraja.
56.
Bagi memperkasakan lagi industri Tenun Pahang Diraja, Kerajaan Negeri berhasrat
agar hari Khamis minggu pertama setiap bulan dijadikan Hari Tenun Pahang
Diraja.
57.
Bagi sektor pertanian, pada tahun 2020, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan
sebanyak 9.23 juta ringgit bagi memartabatkan industri pertanian melalui
Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pengairan dan
Saliran.
58.
Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan Program Pembangunan Industri Asas Tani
dan buah-buahan dengan memperuntukkan sebanyak 5 juta ringgit secara
keseluruhannya untuk membantu Jabatan Pertanian Negeri Pahang dalam usaha
meningkatkan pengeluaran bahan makanan terutamanya buah-buahan dan
sayur-sayuran untuk keperluan rakyat.
59.
Selaras dengan hasrat pucuk pimpinan Kerajaan Negeri yang ingin melihat Negeri
Pahang sebagai pengeluar utama bahan makanan di negara ini, Jabatan Pertanian
akan membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang terbesar bagi
sayur sayuran dan tanaman kontan seluas 80 hektar bersamaan 200 ekar di daerah
Kuantan.
Sebanyak
1.3 juta ringgit disediakan pada tahun 2020 bagi Projek TKPM ini antaranya
termasuklah di TKPM Jelai, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 250 ribu
ringgit untuk menambah baik kemudahan dan penyelenggaraan di kawasan projek
pertanian berkenaan.
60.
Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak 4.97 juta ringgit untuk
Program Pembangunan Ruminan (PROPER) dan Projek Rintis Tenusu bagi memastikan
pembangunan industri ternakan ditingkatkan sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri
bagi mencapai hasrat sebagai pengeluar utama ternakan dan makanan negara.
61.
Latihan kepada petani juga turut dilaksanakan bagi mempelbagaikan kemahiran
petani dan pengusaha industri asas tani. Justeru itu, sebanyak 414 kursus dan
latihan telah dirancang sepanjang tahun 2020 dengan penglibatan seramai 8,280
orang petani di seluruh Negeri Pahang.
62.
Pembangunan industri pengeluaran makanan berasaskan ternakan terutama dalam
industri ruminan iaitu pedaging dan tenusu boleh menjadi sumber kekayaan baru
bagi Negeri Pahang.
Nilai
pengeluaran ternakan bagi Negeri Pahang pada tahun 2018 hampir mencapai 1.47
bilion ringgit di mana komoditi daging ayam merupakan penyumbang utama iaitu
711 juta ringgit.
Ianya
diikuti pengeluaran sarang walit berjumlah 463 juta ringgit, telur ayam 123
juta ringgit, daging lembu dan kerbau sebanyak 108 juta ringgit, susu 17.8 juta
ringgit dan komoditi lain berjumlah 47.2 juta ringgit.
63.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 450 ribu ringgit bagi sektor perikanan
yang meliputi tiga (3) projek pemuliharaan sumber perikanan darat iaitu 150
ribu ringgit untuk Khidmat Pengembangan Akuakultur, 100 ribu ringgit
diperuntukkan bagi Program Pembangunan Komuniti Nelayan Darat dan 200 ribu
ringgit untuk Pengurusan Sumber Perikanan Marin Secara Mapan.
64.
Selain itu, sejumlah 1.27 juta ringgit telah disediakan bagi membaiki dan
menaik taraf Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri, daerah dan Pusat Veterinar
termasuk kuarters yang telah uzur bagi memastikan keselesaan kepada pelanggan
dan kakitangan terjamin.
Ini
termasuklah kerja-kerja menaik taraf Pusat Sumber Genetik Ternakan (PSGT) Bukit
Kajang, Raub dan PSGT Lepar, Kuantan dengan kos 600 ribu ringgit bagi
menghasilkan baka lembu Kedah-Kelantan dan Brahman yang berkualiti untuk
diagihkan kepada penternak.
65.
Sumber hutan merupakan aset semulajadi yang terpenting dalam pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan negeri.
Pengurusan
hutan memerlukan kebijaksanaan bagi mengimbangi permintaan pasaran terhadap
pelbagai keluaran dan perkhidmatan hutan yang sentiasa berubah.
Jumlah
keluasan hutan di Negeri Pahang sehingga Oktober 2019 adalah seluas 2.05 juta
hektar bersamaan 6 juta ekar atau 57 peratus daripada keluasan tanah negeri
yang bersaiz 3.6 juta hektar bersamaan 8.8 juta ekar.
66.
Sektor perhutanan akan terus memainkan peranannya sebagai salah satu penyumbang
utama kepada hasil Kerajaan Negeri. Sehingga 15 November 2019, pungutan cukai
hasil hutan adalah sebanyak 80.7 juta ringgit.
Sektor
ini akan terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber pendapatan
negeri dengan jangkaan sumbangan hasil bagi tahun 2020 berjumlah 165 juta
ringgit melalui kutipan bayaran premium, royalti dan caj-caj lain.
67.
Projek-projek teras dan utama akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri
dalam memperkukuhkan sektor perhutanan merangkumi projek pembangunan
berlandaskan penghutanan semula, penanaman semula dan pemulihan hutan.
68.
Dalam meningkatkan usaha bagi kutipan hasil hutan, Kerajaan Negeri juga akan
terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan
melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah untuk memastikan
pengekalan dan penggunaannya secara terurus dan terancang.
Projek-projek
yang berkaitan dengan eko-pelancongan dan biodiversiti hutan akan terus
dijalankan bagi memastikan aspek kestabilan dan pengekalan alam sekitar
terpelihara.
Usaha
Kerajaan Negeri dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi dan
khazanah biodiversiti diteruskan lagi dengan perancangan ke arah penggubalan
Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang.
Enakmen
ini dirangka bagi melindungi kepentingan negeri dan rakyat daripada kehilangan
hasil penyelidikan serta pengetahuan turun-temurun kepada orang luar tanpa memberi
apa-apa pulangan kepada pihak yang sepatutnya.
69.
Bagi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di Pahang, Kerajaan Negeri telah
menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan Carbon Trading bersama
sektor korporat.
Memorandum
ini bertujuan untuk menjalankan kajian bersama bagi melihat potensi penjanaan
pendapatan baharu melalui penggunaan Carbon Credit di kawasan-kawasan
konservasi di Negeri Pahang di samping menilai keupayaan terhadap potensi
pelaksanaan projek bagi memelihara dan memulihara alam sekitar.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
STRATEGI
KEDUA: MEMPERKASA PERKHIDMATAN DAN MODAL INSAN
70.
Dalam usaha memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri, Pusat Pentadbiran Sultan
Ahmad Shah (PPSAS) sedang dibangunkan yang bakal menggantikan Wisma Sri Pahang
yang telah berusia 49 tahun.
Semua
pentadbiran kerajaan akan dikelompokkan dalam satu kawasan yang lebih terancang
bagi memudahkan rakyat berurusan dan di samping mempercepatkan sistem
penyampaian.
71.
PPSAS bakal menjadi ikon terbaharu Negeri Pahang dengan reka bentuk bangunan
kompleksnya diinspirasikan daripada Jata Negeri. Ia juga mengaplikasikan
teknologi hijau demi penekanan kepada pemuliharaan alam sekitar.
Tarikh
pemilikan dan pembinaan projek ini bermula pada tahun 2016 dan dijangka akan
siap pada tahun hadapan.
72.
Pahang Corporation Sdn. Bhd (Pahang Corp.) merupakan syarikat milik penuh
Kerajaan Negeri yang ditubuhkan pada 21 Mac 2019.
Ia
memainkan peranan sebagai satu badan komersial khas yang bertanggungjawab
memantau, menyelaras dan menjalankan kerjasama strategik dengan badan-badan
berkanun negeri di samping menilai cadangan-cadangan pelaburan agar Kerajaan
Negeri mendapat pulangan terbaik.
73.
Pahang Corp. kini sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan
pembaharuan dalam pengurusan aset-aset kerajaan bagi tujuan peningkatan
kecekapan dan mengurangkan perbelanjaan modal dan kos selenggara.
Contohnya
menerusi model Penyumber Luaran Fleet Kenderaan Kerajaan, melalui model
pengurusan yang baharu, Kerajaan Negeri tidak lagi perlu membuat perolehan
kenderaan yang baharu tetapi hanya membayar kos penyewaan kenderaan tersebut.
Dengan
ini, Kerajaan Negeri tidak perlu menanggung kos selenggara yang tinggi dan
semakin meningkat setiap tahun.
74.
Kerajaan Negeri juga melalui anak syarikatnya PahangGo telah pun membangunkan
platform kutipan hasil negeri secara digital. Bayaran bil utiliti, cukai dan
pembayaran kompaun kini boleh dibuat melalui aplikasi mobile dan portal.
Dengan
adanya platform ini, rakyat akan lebih mudah untuk membuat semakan tunggakan
dan seterusnya membuat pembayaran. Usaha ini akan meningkatkan kutipan kompaun
yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 20 peratus menjelang
tahun 2020.
PahangGo
juga akan mewujudkan pusat pengumpulan data berpusat dengan menempatkan pelayan
(server) dan pangkalan data untuk agensi kerajaan dan PBT di satu lokasi.
Langkah
ini akan membolehkan pemeriksaan bertindih (cross checking) dilakukan bagi
setiap urusan.
Selain
itu, dalam meningkatkan mutu pengurusan Kerajaan Negeri, PahangGo
dipertanggungjawabkan untuk memoden dan mendigitalkan sistem pengurusan
kerajaan melalui sistem yang lebih terkini dan memudahkan rakyat.
75.
Antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah sistem parkir secara mobile di
mana 50 ribu petak parkir milik sebelas (11) PBT akan diuruskan secara digital
yang merupakan salah satu pilihan kepada kaedah pembayaran parkir menggunakan
kupon pada ketika ini telah boleh dimuat turun bermula 23 Oktober 2019.
76.
Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu Unit Antarabangsa untuk membina jaringan
strategik dengan agensi-agensi di peringkat antarabangsa bagi tujuan
pembangunan kapasiti, sumber manusia, peluang pelaburan dan perniagaan.
Melaksanakan Reformasi Pengurusan Pentadbiran
77.
Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam meningkatkan perkhidmatan sistem
penyampaian kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
Penubuhan
Daerah Kecil Muadzam Shah dan Daerah Kecil Jelai adalah bukti kesungguhan
Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pengukuhan penyampaian perkhidmatan kerajaan
kepada masyarakat, selain bertindak sebagai barisan hadapan jentera kerajaan
dalam memudahcara penyampaian dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan kepada
masyarakat setempat sama ada dari kawasan bandar mahupun luar bandar.
Inisiatif
ini dibuat bagi memastikan tadbir urus dan perkhidmatan yang lebih berkesan dan
cepat dapat disalurkan kepada rakyat.
78.
Kerajaan Negeri dalam sidang dewan ini akan membentangkan kertas penubuhan
Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) yang bertujuan untuk merancang
pembangunan di daerah Cameron Highlands selain bertindak sebagai agen pelaburan
di daerah tersebut, selain itu juga, PKCH ini akan merangka, merancang dan
mengawal pembangunan kawasan tanah tinggi secara bersepadu dengan mengekalkan
kelestarian tanah tinggi dan mengambil kira keperluan pembangunan ekonomi
meliputi pelancongan, pertanian dan penempatan.
PKCH
ini kelak akan mengolah semula sistem Lesen Pendudukan Sementara bagi aktiviti
pertanian dengan cara pajakan jangka pendek dan secara tidak langsung akan
dapat membangunkan sosio-ekonomi setempat.
79.
Pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)
sedang dalam kajian untuk menubuhkan semula Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara
(DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) yang telah dibubarkan secara
rasmi pada 1 November 2000.
80.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyokong cadangan penubuhan semula DARA dan
LKWJ dengan syarat peruntukan tahunan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan
wilayah berkenaan perlu disalurkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar
Bandar (KPLB) atau agensi Persekutuan lainnya, sama seperti Lembaga Kemajuan
Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga
Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
dan Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA), manakala pentadbirannya hendaklah
tidak menghakis kuasa dan kawalan negeri ke atasnya.
Kaedah
terbaik bagi pelaksanaan cadangan ini juga hendaklah dirunding dengan pihak
negeri sebelum dimuktamadkan.
81.
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan perantara di peringkat akar
umbi yang akan menyalurkan maklumat, dasar-dasar kerajaan, permasalahan atau
aduan rakyat kepada pihakpihak yang berkuasa dan berkaitan terhadap sesuatu isu
yang timbul.
MPKK
telah ditubuhkan atas persetujuan bersama antara Kerajaan Negeri dan
Persekutuan sebelum ini telah berjalan dengan baik dan harmoni.
Walau
bagaimanapun, kini Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk mewujudkan MPKK
Persekutuan yang berasingan. Ini merupakan langkah yang ke belakang. Tindakan
ini hanya akan mewujudkan jurang persefahaman antara dua (2) organisasi yang
akan memecah belahkan penduduk kampung.
Justeru,
Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan dengan MPKK yang telah ada dengan
memperuntukkan sebanyak 7 juta ringgit bagi tahun 2020 dan sekiranya ianya
tidak dipersetujui di Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak
untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK)
bermula pada 1 Januari 2020.
82.
Bagi sektor pendidikan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang turut
menyediakan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM)
kepada murid di seluruh Negeri Pahang.
Sepanjang
lebih tiga (3) dekad, jumlah bantuan pendidikan dan kebajikan yang telah
dikeluarkan adalah lebih 1.2 bilion ringgit melibatkan 1.4 juta penerima.
Sejak
diperkenalkan pada 2001, Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) telah memanfaatkan 108
ribu murid dengan implikasi kewangan berjumlah lebih 74 juta ringgit. Di
peringkat sekolah menengah, Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) yang telah
dibelanjakan adalah sebanyak 290 juta ringgit dan telah memanfaatkan seramai
169 ribu murid.
83.
Bagi tahun 2020, agihan biasiswa ini akan memberi manfaat kepada 49,720 pelajar
penerima Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan penerima Biasiswa Sekolah Menengah
(BSM) dengan peruntukan berjumlah 23.59 juta ringgit.
Yayasan
Pahang juga akan memperuntukkan 5 juta ringgit bagi meneruskan pemberian Geran
Bantuan Belajar ke IPT secara one-off kepada 11 ribu anak Pahang yang berjaya
melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana
(Masters) dan Kedoktoran (PhD).
84.
Program pendidikan agama akan terus memberi fokus kepada pengukuhan pendekatan
ajaran Islam bagi melahirkan generasi yang mempunyai jati diri dan berdaya
saing dalam menghadapi cabaran transformasi dan arus globalisasi.
Sehubungan
itu, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak 114 ribu ringgit
bagi membiayai Program Kelas Tahfiz Bistari di Sekolah Kebangsaan Tg. Gahai,
Kuala Lipis dan 27 ribu ringgit bagi Program Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain
Remaja di FELDA Sungai Koyan bagi tahun 2020.
85.
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak 3 juta ringgit bagi pembayaran
elaun kepada 350 orang guru kelas Al-Quran asrama yang bertanggungjawab
mendidik para pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di asrama
seluruh Negeri Pahang sama ada di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri
(SMAN), mahupun di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Menengah Kebangsaan.
86.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan sistem e-Munakahat yang
melibatkan kos berjumlah 929 ribu ringgit yang mempunyai fungsi lebih
terperinci bagi memastikan setiap urusan penceraian dan permohonan khidmat
nasihat direkodkan dengan lebih berkesan.
Kerajaan
Negeri juga kini dalam melaksanakan proses pengimejan digital bagi sijil nikah,
cerai dan rujuk dengan kerjasama kerjasama Percetakan Nasional Malaysia Berhad
(PNMB) yang dimulakan awal tahun 2019.
87.
Bagi melahirkan pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang lebih
kompetitif, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 72.6 juta ringgit
dalam belanjawan tahun 2020 bagi memperkasakan misi pendidikan bagi melahirkan
pelajar aliran agama yang lebih kompetitif.
Ini
termasuklah emolumen guru SMAN berjumlah 30.77 juta ringgit, elaun guru agama
dan Al-Quran asrama berjumlah 4.32 juta ringgit dan 37.55 juta ringgit bagi
bekalan dan perkhidmatan.
88.
Bagi menyediakan persekitaran yang kondusif kepada semua pelajar, 3 juta
ringgit juga telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi tujuan
penyelenggaraan bagi semua Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang.
89.
Bagi memperkasakan ilmu falak, Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan 558
ribu ringgit bagi perolehan peralatan falak dan percetakan buku sukatan
Kokurikulum Falak SMAN bagi melahirkan pelapis sebagai penyambung, pengembang
serta pengamal ilmu falak yang memenuhi piawaian pihak berkuasa kepada generasi
akan datang.
90.
Kerajaan Negeri melalui Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah
(KUIPSAS) juga telah mengambil inisiatif dengan menjadi pusat rujukan dalam
memperkasakan tulisan jawi dan Pusat Akademik Hadis sebagaimana yang telah
dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong.
Sehingga
kini, KUIPSAS telah menawarkan 28 program asasi sehinggalah ke peringkat
Sarjana dan akan berkembang ke peringkat PhD pada tahun 2020.
Kerajaan
Negeri juga memperuntukkan bagi tahun 2020 sebanyak 832 ribu ringgit untuk
pembangunan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bagi
tujuan langganan buku jurnal, menambah baik kemudahan asrama, pemberian Geran
Pembangunan dan penyelidikan inovasi, pembangunan akademik kakitangan serta
naik taraf infrastruktur rangkaian kawasan setempat (WiFi).
91.
Kerajaan Negeri melalui inisiatif Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang
Skills) akan terus menyediakan latihan kemahiran dengan menekankan aspek
pembangunan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan serta
relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Selain
itu, Pahang Skills telah menandatangani MoU dengan dua belas (12) syarikat
antaranya Lynas Malaysia Sdn. Bhd., MKRS Bumi (M) Sdn. Bhd. dan Perbadanan
Kemajuan Pertanian Negeri Pahang dan lain-lain bagi menjalin kerjasama
strategik dalam bentuk sumbangan kepakaran atau mesin peralatan untuk melatih
tenaga kerja mahir dalam bidang khusus yang amat diperlukan dalam industri.
92.
Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 1.18 juta ringgit bagi
tujuan penggantian, naik taraf, selenggara peralatan makmal sedia ada dan
makmal baru, penyenggaraan bangunan dan kampus.
93.
Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang telah
membuat inisiatif memperkenalkan Program Buat Kerja Sekolah.
Inisiatif
ini berikutan maklum balas dan keluhan oleh ibu bapa kepada pihak Perbadanan
Perpustakaan Awam Negeri Pahang bahawa masih ramai anak-anak yang tidak
menyiapkan kerja sekolah.
Program
ini juga mendapat kerjasama erat daripada Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan
yang telah melibatkan seramai 13,350 orang pelajar turut serta dalam program
ini di seluruh daerah dalam Negeri Pahang.
94.
Matlamat daripada Program ini adalah untuk membantu pelajar membuat kerja
sekolah dengan selesa di perpustakaan serta dapat membantu pelajar memperolehi
bahan yang diperlukan dari koleksi sedia ada dan internet.
Selain
itu, melalui program ini juga pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dapat
bekerjasama dengan ibubapa dalam menggalakkan anak-anak mereka membuat kerja
sekolah di perpustakaan sekaligus memanfaatkan kemudahan yang ada.
95.
Pihak Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan awam
ke arah people centric serta meningkatkan produktiviti, kecekapan dan
keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Bagi
mencapai hasrat ini, penggunaan teknologi maklumat perlu digarapkan bersekali
dan disimulasikan dalam proses kerja semasa demi menghasilkan penyampaian
perkhidmatan yang memenuhi aspektasi pelanggan dan rakyat.
96.
Pihak Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tambahan sewaan rangkaian sebanyak
1.6 juta ringgit bagi menghubungkan pejabatpejabat kerajaan di daerah dan mukim
dengan ibu pejabat masing-masing menggunakan sambungan rangkaian internet yang
lebih baik bagi membolehkan semua penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan.
Bagi
memastikan capaian ini dapat berfungsi dengan baik, pembaharuan lesen-lesen
perisian Information and Communications Technology (ICT) juga perlu
dilaksanakan di mana peruntukan adalah berjumlah 1.5 juta ringgit akan
disediakan.
Bagi
tahun 2020, peruntukan sebanyak 1.7 juta ringgit akan disediakan bagi menaik
taraf kapasiti simpanan data di Pusat Data Utama Negeri, naik taraf server di
Pusat Pemulihan Bencana (DRC), penggantian infrastruktur switch rangkaian di
empat belas (14) Pejabat Agama Islam Daerah dan lapan belas (18) buah Sekolah
Menengah Agama Negeri serta penggantian kemudahan ICT di kaunter-kaunter kutipan
hasil yang telah dikenalpasti.
Dengan
peningkatan kapasiti rangkaian dan penggunaan perisian yang terkini ini,
diharapkan penyampaian perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan Negeri akan menjadi
lebih baik dan produktif.
97.
Selain dari itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhkan Unit Komunikasi
dan Media Negeri Pahang (UKOMP) sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan
imej Kerajaan Negeri melalui strategi penyampaian maklumat perkhidmatan yang
cepat dan berkesan.
Melalui
UKOMP, penyaluran maklumat dari pihak Kerajaan Negeri akan dapat disampaikan
kepada kumpulan sasaran dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
98.
Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat. Dalam
keadaan situasi kewangan yang sedia ada, Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan
usaha dan program pembangunan untuk mensejahterakan kebajikan rakyat dengan
meneruskan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti Orang Kelainan Upaya
(OKU), pesakit kronik, ibu tunggal yang miskin dan anak-anak yatim.
99.
Bagi tahun 2020, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperuntukkan sejumlah
13.71 juta ringgit untuk penerima Bantuan Am. Seramai 3,808 orang akan terus
mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut dengan kadar bantuan 3 ratus
ringgit sebulan.
Selain
daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperuntukkan maksimum 1 ribu ringgit
kepada mangsa bencana alam yang layak melalui Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa
Malapetaka Negeri Pahang.
100.
Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa prihatin dan mengambil berat berkaitan
perkembangan aktiviti sukan dengan memastikan program pembangunan sukan negeri
dirancang dan dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh bagi mencapai
objektif yang ditetapkan.
101.
Untuk menghadapi SUKMA ke-20 pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri telah
memperuntukkan sejumlah 2 juta ringgit sebagai persediaan atlet. Selain
daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan 120 ribu ringgit bagi
pembelian tiga (3) unit perahu layar di bawah Majlis Sukan Pahang.
Sebanyak
200 ribu ringgit juga telah diperuntukkan pada tahun 2020 bagi tujuan penyenggaraan
dan pembaikan kemudahan sukan.
102.
Golongan belia akan terus diperkasakan dengan pelbagai aktiviti dan program
yang dapat membentuk jati diri. Mereka akan dibentuk dengan acuan yang
berteraskan pelbagai kemahiran, pengetahuan dengan menampilkan semangat
patriotisme yang tinggi bagi menghadapi cabaran globalisasi di samping menjadi
penyumbang utama pembangunan sosial dan ekonomi negara.
103.
Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap Pembangunan Orang Asli dengan
pelaksanaan program-program pembangunan infrastruktur asas, peningkatan intelek
dan pendidikan, dan pengupayaan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat.
Pada
tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Unit Orang Asli bagi memantau 262
buah Kampung Orang Asli yang menempatkan hampir 76,697 orang penduduk.
Ianya
berfungsi sebagai agen penyampaian perkhidmatan dan maklumat dari Kerajaan
Negeri kepada penduduk Orang Asli selain mengurangkan kebergantungan Kerajaan
Negeri kepada Agensi Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
104.
Selain itu juga, usahasama Kerajaan Negeri dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan
Negeri (S-GLC) bagi penanaman durian di kawasan rizab Orang Asli di Pantos,
Jelai sebagai satu usaha bagi meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi Orang
Asli.
Jabatan
Perhutanan dalam proses mengenalpasti kesesuaian tapak lokasi yang dipilih.
105.
Kerajaan Negeri juga bersetuju meneruskan Program Pembangunan Tamadun
Masyarakat Orang Asli (PETAMA) untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar ajaran
Islam kepada masyarakat Orang Asli.
Kurikulum
PETAMA telah diiktiraf dan dinaiktaraf mengikut keperluan pembangunan sumber
manusia negara.
106.
Wanita merupakan tulang belakang kepada pembangunan bangsa dan agama. Justeru,
peranan yang dimainkan oleh wanita adalah penting dalam pembentukan keluarga,
perpaduan, pembangunan masyarakat dan negara.
Bagi
memastikan usaha ini lebih fokus, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju
mewujudkan Unit Pembangunan Wanita yang akan merangka pelan tindakan bagi
memastikan keterlibatan dan membolehkan capaian komunikasi kepada akar umbi
dapat dibuat dengan cepat dan tepat.
Majlis
Pembangunan Wanita Pahang di peringkat Parlimen turut akan diwujudkan di mana
peruntukan sebanyak 140 ribu ringgit disediakan bagi menampung perbelanjaan
penubuhan majlis ini.
Pengerusi
Majlis Pembangunan Wanita di peringkat Parlimen akan dipilih daripada
wanita-wanita yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan berkongsi
kesungguhan dalam memperkasakan peranan wanita.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
STRATEGI
KETIGA: MENSEJAHTERAKAN KEHIDUPAN
107.
Kerajaan Negeri terus memberi penekanan yang serius ke atas pembangunan di
setiap pelusuk daerah untuk terus mendapat kemudahan terbaik. Kesejahteraan
ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memanfaatkan hampir
1.67 juta penduduk di Negeri Pahang.
108.
Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah 120 juta ringgit bagi
memacu agenda pembangunan dengan membiayai lebih daripada 150 projek, sejumlah
85 juta ringgit akan menggunakan pembiayaan cara langsung, manakala baki 35
juta ringgit adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai
Projek Bekalan Air.
109.
Bagi memberi impak terus kepada golongan sasaran, sejumlah RM23 juta ringgit
telah diperuntukkan bagi pelbagai Projek Pembangunan antaranya adalah projek
kecil negeri, projek khas kampung serta projek kecil yang berupaya meneruskan
momentum pembangunan masyarakat luar bandar di samping menjamin pentadbiran
daerah yang berkesan.
110.
Perumahan merupakan Sektor Utama yang sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan
Negeri dalam memastikan usaha menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti
untuk dinikmati oleh rakyat.
Melalui
Projek rumah mampu milik iaitu PR1MA Pahang, sehingga Oktober 2019, 17 projek
yang telah lengkap Certificate of Completion and Compliance (CCC) iaitu
bersamaan dengan 3842 buah rumah yang siap diduduki oleh rakyat di seluruh
Negeri Pahang.
111.
Kerajaan Negeri juga turut mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah
dengan memperkenalkan Projek Rumah Makmur yang menawarkan rumah teres setingkat
mampu milik berharga 80 ribu ringgit bagi isi rumah yang berpendapatan di bawah
5 ribu ringgit sebulan.
Sehingga
31 Oktober 2019 sebanyak 21 projek dengan jumlah rumah sebanyak 7,088 unit
rumah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuh (7) daerah.
112.
Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 1,000 buah unit PRIMA
Pahang akan dapat disiapkan dan 2,000 tawaran rumah yang merangkumi projek
PRIMA Pahang dan Rumah Makmur.
113.
Dalam pembentangan belanjawan tahun 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri telah
meluluskan penubuhan Tabung Perumahan Rakyat Pahang. Sebagai permulaan, tabung
ini telah pun mula menerima sumbangan iaitu sebanyak hampir 216 ribu ringgit
bagi tahun pertama.
Nilai
ini dijangkakan akan bertambah sehingga 6 juta ringgit pada tahun 2020.
114.
Tabung Amanah Bencana Kerajaan Negeri diwujudkan untuk membantu mangsa-mangsa
bencana dari aspek keperluan asas rumah, pakaian, persekolahan dan
pengangkutan, selain itu, ianya turut digunakan untuk penyenggaraan dan
pembaikian rumah dan premis yang terlibat dengan bencana.
Pada
tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah 441 ribu ringgit untuk
membantu mangsa-mangsa yang ditimpa bencana.
115.
Selain itu, sebagai contoh bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh ini,
Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak 2 juta ringgit
kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perbelanjaan menghadapi bencana.
116.
Negeri Pahang merupakan negeri yang mempunyai sumber air yang terbesar di
Semenanjung Malaysia.
Namun
begitu, bagi pembekalan air bersih kepada rakyat, sumber air ini perlulah
dirawat terlebih dahulu dan dengan kadar tarif sedia ada, sehingga 31 Mei 2019,
Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menanggung kos operasi dan pentadbiran
sebanyak 300 juta ringgit setahun, erti kata yang lain, pihak PAIP beroperasi
dengan kerugian sebanyak 25 juta ringgit sebulan.
117.
Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri juga amat merasai keluh resah rakyat
berkenaan gangguan bekalan air yang sering berlaku contohnya di daerah Temerloh
dan Raub.
Bagi
memastikan rakyat Negeri Pahang mendapat bekalan air yang berkualiti dan
berterusan, Kerajaan Negeri bercadang untuk meliberalisasikan industri
perkhidmatan bekalan air di mana langkah ini akan memberikan lebih banyak
pilihan kepada pengguna dan menghasilkan tarif yang lebih berdaya saing.
118.
Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang memperhalusi beberapa cadangan daripada
pemain-pemain industri berkenaan seperti Ranhill Holdings Berhad, YTL Power
International Berhad dan Salcon Berhad yang menunjukkan minat untuk melabur di
Pahang.
Walau
bagaimanapun, perkara ini akan diteliti dengan rapi bagi memastikan kepentingan
Kerajaan Negeri terpelihara dan rakyat memperoleh manfaat yang sepatutnya.
119.
Kerajaan Persekutuan memberikan persetujuan supaya pinjaman Kerajaan
Persekutuan berkaitan bekalan air diambil alih daripada Kerajaan Negeri dan
dinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Kerajaan
Negeri tidak lagi akan bertanggungjawab ke atas pinjaman tersebut. Melalui
penstrukturan ini, pinjaman bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar yang berjumlah
1.01 billion ringgit akan dihapus kira dan baki pinjaman ini akan ditanggung
semula oleh Pengurusan Air Pahang (PAIP) secara sewa pajakan selama 45 tahun.
120.
Bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), Kerajaan Persekutuan melalui
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah memperuntukkan lebih 1.019 bilion ringgit
untuk melaksanakan projek-projek pembangunan fasiliti kesihatan melibatkan 26
projek sambungan dan empat (4) projek baru terdiri daripada dua (2) projek
hospital baru, lapan (8) Projek naiktaraf Hospital, 14 projek Klinik Kesihatan
dengan kuarters, dua (2) Projek Klinik Kesihatan sahaja, tiga (3) Projek
Pembinaan Kuarters dan satu (1) Projek Klinik Pergigian. Jaminan Keselamatan
Awam
121.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus
berusaha supaya kadar Indeks Jenayah di Negeri Pahang berada dalam keadaan
terkawal.
Antara
program yang telah dirangka bagi meneruskan usaha pada tahun 2020 bagi
membendung kejadian jenayah dan masalah sosial di kalangan masyarakat Pahang
adalah OPS RUMAH SELAMAT di musim perayaan dan Program Pencegahan Jenayah yang
dijalankan di peringkat sekolah dan kampung-kampung.
Melalui
program ini diharapkan pihak masyarakat dapat memberikan kerjasama kepada polis
insya-Allah kadar jenayah akan dapat dikurangkan.
PENUTUP
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
122.
Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan ini untuk menyembahkan
setinggi-tinggi junjung kasih ke sisi Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah
Al-Musta’in Billah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
123.
Di sebalik komitmen dengan urusan seharian selaku Raja Pemerintah untuk negara
yang bersemayam di Istana Negara, hal-hal berkaitan negeri tumpah darah Baginda
di Negeri Pahang Darul Makmur sentiasa dekat dihati.
124.
Oleh sebab itulah juga apakala rakyat jelata di negeri ini ditimpa musibah dan
bencana, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berkenan
bercemar duli menziarahi serta menitahkan bantuan segera dilaksanakan oleh
pihak-pihak berkenaan khususnya Kerajaan Negeri.
125.
Dengan ini, Kerajaan Negeri sendiri sentiasa sahaja bersiap-siaga dalam apa jua
keadaan sekalipun dan ini tentunya baik demi kemakmuran negeri dan
kesejahteraan rakyat jelata. Menjunjung kasih, Tuanku.
‘Kapal
tidak akan mampu belayar tanpa nahkhodanya, kapal tanpa pembantu juga, tidak
akan mampu memacu arah tujunya, begitulah moleknya hubungan kerjasama dan
kebergantungan sesama kita’.
126.
Dengan ini saya mewakili pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih
kepada kesemua Ahli Exco Kerajaan Negeri dan kesemua Ahli Dewan Negeri sama ada
daripada kerajaan, rakan-rakan ADUN PAS menerusi gagasan Muafakat Nasional,
mahupun pembangkang, yang telah memberikan kerjasama baik semasa kita berada
pada persidangan Dewan Negeri ini.
127.
Tidak lupa juga sekalung tahniah atas segala jasa dan pengorbanan penjawat awam
selaku jentera pelaksana kepada segala dasar dan pembangunan negeri.
Penjawat
awam diibaratkan tulang belakang kerajaan dan pencapaian yang kita kecapi
sehingga kini tidak akan dapat diperolehi tanpa komitmen yang jitu, tanpa
mereka pincanglah urus tadbir negeri.
Marilah
kita bersatu padu,
Tekadkan
hati berganding bahu,
Agenda
Pembangunan telah diseru,
Kini
tibalah masa yang ditunggu-tunggu.
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
128.
Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi
Bantuan Khas Kewangan sebanyak 750 ringgit kepada kesemua kakitangan kerajaan
tanpa pengecualian gred, kerana pencapaian yang kita perolehi hari ini adalah
hasil usaha padu kita semua.
Seramai
8,000 penjawat awam akan menerima manfaat tersebut dan pembayaran dibuat pada
bulan Disember ini. Jumlah peruntukan untuk Bayaran Khas Kewangan ini adalah
sebanyak 6 juta ringgit.
129.
Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas
yang berjumlah 500 ringgit dan insya-Allah, pada tahun yang mendatang,
sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah kukuh, tidak mustahil Kerajaan
Negeri akan memberikan Bantuan Khas Kewangan ini dengan lebih lagi, dalam
bahasa mudahnya ‘Bagi tetap bagi, sikit banyak je tak tahu lagi’.
130.
Harapan Kerajaan Negeri ialah agar pemberian ini dihargai semua, dan dapatlah
juga kita sama-sama memahami akan falsafah saya sendiri betapa ‘Jika berbelanja
janganlah sampai boros, dan jika berjimat janganlah sampai kedekut’.
Ke
pinggir hutan bersama rakan,
Memungut
petai berpapan-papan,
Selesai
sudah saya bentangkan,
Belanjawan
negeri tahun hadapan
Memungut
petai berpapan-papan,
Sesudah
pungut pulang ke rumah,
Belanjawan
negeri tahun hadapan,
Mohon
bahaslah dengan berhemah
Sesudah
pungut pulang ke rumah,
Peraih
dah tunggu di dalam lori,
Mohon
bahaslah dengan berhemah,
Demi
kemuliaan Dewan Negeri
Yang
Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
131.
Saya dengan ini membentangkan Belanjawan 2020 dan saya mohon mendapat sokongan
semua, insya-Allah.
Saya
mohon mencadangkan.