… sembah-sebut
Menteri Besar tentang uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong dalam memerintah negara.
SENYUM... KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku turut perkenan bercemar duli, bersama-sama Dato' Sri Wan Rosdy dan isteri, serta Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad dan isteri; serta juga Ahli Jawatankuasa KGDP diketuai Dato' Sri Omar (lima dari kanan) pada sesi berfoto kumpulan.
DEWAN WAWASAN
2020, RESORTS WORLD AWANA, GENTING HIGHLANDS, BENTONG – ‘The
Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ – inilah yang disembah-sebut oleh Menteri Besar
Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong dalam memerintah negara ketika ini.
“Jika sebelum
ini, Patik ada menyembah-sebutkan tentang ‘the golf diplomacy’, kali ini Patik ingin
mengambil kesempatan untuk menyembah-sebutkan tentang satu lagi ‘diplomasi’
yang lebih penting.
“Diplomasi ini
ialah berkaitan dengan kekaguman Patik yang teramat sangat betapa terserlahnya
pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku,
sungguhpun baharu beberapa bulan sahaja ditabalkan sebagai Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Kekaguman ini
pula ialah kerana pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi yang telah Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat hadir, termasuklah yang
secara ‘spontaneous’ seperti membantu rakyat kemalangan jalanraya; hingga
terbit rasa kecintaan yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap
pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.
“Dan inilah ‘diplomasi’
tinggi dan bersahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang
mana, Patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang sudah lama sedar dan mengambil
maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh
rakyat-jelata negara.
“Dan inilah juga
apa yang Patik hendak menyembah-sebutkan tentang ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’,” kata Dato’ Sri
Wan Rosdy dalam persembahan ucapannya pada Majlis Santapan Kelab Golf DiRaja
Pahang (KGDP) 2019 – Jasamu Menggunung Sepanjang Hayat; Dikenang dan Disanjung’
malam Sabtu, 9 November di sini.
GANDINGAN
SERASI – KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG
KDYMM
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah telah bercemar duli berangkat serta menyempurna dan
menyerikan lagi majlis anjuran KGDP ini.
Dengan
diplomasi tahap tertinggi yang diserlahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda
Tuanku ini sehingga telah menawan hati-nurani rakyat seluruh negara, Dato’ Sri
Wan Rosdy turut menyembah-sebut betapa beliau penuh berkeyakinan, pemerintahan Baginda
di negara ini, akan mencatatkan kegemilangan semata-mata.
“Apatah pula
dengan gandingan serasi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri di sisi, yang
pasti dapat memantap dan menyerlahkan lagi kegemilangan tersebut, In Sya Allah,” sembah-sebut
Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.
Mengenai
Majlis Santapan KGDP 2019 katanya, matlamatnya ialah untuk mengutip dana demi
memenuhi Tabung KGDP, yang akan digunakan untuk secara terus-menerus dalam
menambah-baik kemudahan Kelab, sekaligus dapat memberi keselesaan yang lebih
kepada Ahli-ahli KGDP serta para pengunjungnya.
KGDP
dengan keanggotaan kira-kira 1,300 orang katanya, ialah antara Kelab Golf yang berprestij
bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara.
PERKHIDMATAN
KELAB MESTILAH SENTIASA ‘TIP-TOP’
Bagi
memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahli Kelab serta menjaga dan
memelihara prestijnya katanya lagi, sudah pastilah kemudahan dan perkhidmatan
yang disediakan mestilah juga sentiasa berada pada kedudukan ‘tip-top’.
Oleh
sebab itulah, dari masa ke semasa, apa juga kemudahan yang disediakan katanya, hendaklah
ditambah-baikkan apatah pula kemudahan-kemudahan ini tentunya menjalani proses
‘wear and tear’ yang cepat setelah sekian lama ianya digunakan.
“Sehubungan itu,
Patik mohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku
untuk patik mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia, Dato’ Sri Omar Othman,
yang mengetuai selaku Pengerusi, bagi Jawatankuasa Pengelola Majlis Santapan
KGDP 2019 ini.
“Patik
sedia-maklum, ini bukanlah kali pertama Dato’ Sri Omar telah mengetuai
Jawatankuasa Pengelola sepertimana Majlis Santapan KGDP 2019 ini. Sebelum
inipun, beliaulah yang mengetuainya dan ternyata, tidak menghampakan malah
berjaya dengan bergayanya.
“Kejayaan ini
Patik pasti, ialah ekoran pengalaman luas beliau sebelum ini termasuklah
sebagai Ahli Dewan Negeri Jelai yang kini Patik pula sandanginya, begitu juga
selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semasa Kerajaan Negeri di bawah
kepemimpinan Menteri Besar ketika itu, Tuan Yang Terutama, Tun Mohd Khalil
Yaakob.
KETOKOHAN DATO’
SRI OMAR
“Dengan
ketokohan Dato’ Sri Omar serta dibantu oleh Ahli-ahli jawatankuasanya serta pengurusan
Kelab yang penuh berdedikasi, Patik yakin matlamat penganjuran Majlis
Santapan KGDP 2019 akan tercapai juga akhirnya,” katanya.
Beliau
seterusnya menyatakan penghargaannya kepada para penaja yang turut
hadir dan menjayakan Majlis Santapan ini.
Selain
syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC), penghargaan tertinggi
tentunya katanya, ialah kepada konglomerat - Genting Malaysia Bhd, yang
merupakan penaja utama.
Ternyata
konglomerat ini katanya lagi, merupakan ‘a very reliable and responsible
corporate citizen of the State’, yang sentiasa sahaja tidak mengecewakan
apabila hal-hal berkaitan sumbangan dana yang diharapkan daripadanya.
Semoga
dengan ini beliau berharap, konglomerat itu akan terus berjaya dalam apa juga
perniagaan yang diceburinya khususnya dalam sektor hartanah terutamanya perhotelan
di negeri ini.
“Penghargaan
juga sewajarnya juga diberikan kepada para penaja yang lain yang rasanya, tidak
perlulah Patik sebutkan satu-persatu. Namun, bak kata orang, ‘Terima kasih daun
keladi’, lain kali, tambahlah lagi,” katanya. – Khabar