Saturday, 9 November 2019

Takziah buat keluarga Allahyarham adik Muhammad Amin

… Menteri Besar mohon polis siasat rapi bagi kenal pasti punca kematian dan bawa pesalah ke muka pengadilan

ANAK SYURGA, 7-TAHUN, ALLAHYARHAM ADIK MUHAMMAD AMIN... Al-Fatihah.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham adik Muhammad Amin Nurul Amin, tujuh (7) tahun – pelajar sekolah tahfiz tidak berdaftar yang meninggal dunia di sebuah klinik di Lanchang, Temerloh.

Sambil itu beliau berharap, pihak berwajib terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematiannya kerana dilaporkan, ditemukan kesan-kesan lebam pada tubuh badan adik Muhammad Amin.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media dikeluarkan petang Sabtu, 9 November, merujuk kepada laporan berita mengenai kematian Allahyarham adik Muhammad Amin kira-kira 2 petang Khamis, 7 November di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh setelah ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama di sekolah tahfiz berkenaan.

Ekoran kejadian itu juga, tiga (3) pelajar berusia 13 tahun dari sekolah yang sama – termasuk abang tiri kepada Allahyarham, telah ditahan reman sehingga Khamis depan, bagi membantu siasatan.

Berikut disiarkan sepenuhnya, kenyataan media oleh Menteri Besar –

SEKOLAH TAHFIZ TIDAK SAH

Dengan dukacitanya saya ucapkan takziah kepada keluarga adik Muhammad Amin Nurul Amin, tujuh (7) tahun – pelajar sekolah tahfiz tidak berdaftar yang meninggal dunia di sebuah klinik di Lanchang, Temerloh.

Sambil itu saya berharap, pihak berwajib terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematiannya kerana dilaporkan, ditemukan kesan-kesan lebam pada tubuh badan adik Muhammad Amin.

Sungguhpun mungkin sekolah tahfiz tersebut dengan 14 pelajar dan seorang sahaja guru, tidak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) lalu beroperasi secara tidak sah sejak Januari lepas, tetapi kematian melibatkan seorang muridnya telah berlaku.

Sudah tentu Kerajaan Negeri memandang serius mengenainya maka meminta pihak-pihak berwajib melakukan apa juga usaha agar kebenaran dapat diperolehi dan pesalah dibawa ke muka pengadilan, In Sya Allah. – Khabar