Saturday 4 July 2020

Calon BN kita, Sdr Mohd Sharim menang 'sempoi' di Chini


… dua (2) calon Bebas kena pukulan KO, hilang wang deposit

INILAH BARISAN KEMENANGAN KITA... Sdr Mohd Sharim diapit kiri dan kanan oleh Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Mohd Najib, serta pemimpin-pemimpin BN lain seperti Presiden UMNO, Dato' Sri Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.    


PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Calon Barisan Nasional (BN) Sdr Mohd Sharim Md Zain menang besar dan bergaya pada Pilihanraya Kecil (PRK) N23 Chini dengan majoriti sehingga 12,650 undi.

Majoriti ini melangkaui sasaran 10,000 undi yang ditetapkan oleh BN khususnya bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, dan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Negeri.
   
Sdr Mohd Sharim, 41, mendapat 13,872 undi manakala pesaingnya – calon-calon Bebas iaitu bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pekan, YM Tengku Dato’ Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, menerima 1,222 undi, dan Sdr Mohd Shukri Ramli, 49, hanya 137 undi.

Dengan itu, kedua-dua calon Bebas berkenaan seolah-olah terkena pukulan maut KO (knock-out), telah hilang wang deposit sebanyak RM5,000 seorang kerana gagal memperolehi 1/8 atau minimum 1,904 undi daripada jumlah undian 15,231.

Pegawai Pengurus Pilihanraya, Dato’ Zaliza Zulkipli yang juga Pegawai Daerah Pekan, membuat pengumuman ini pada 9.04 malam, Sabtu 4 Julai di pusat penjumlahan undi rasmi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Paloh Hinai dekat sini.

SAMBUTAN KETIBAAN DI BILIK GERAKAN BN TAMAN SELASIH, PALOH HINAI... Kedua-dua 'arkitek' kemenangan cemerlang kita - Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri Wan Rosdy disambut meriah setibanya mereka dari IKBN ke Bilik Gerakan di Taman Selasih ini. 



KEJAYAAN BESAR SUMBANGAN KERJASAMA MUAFAKAT NASIONAL

Beliau juga mengumumkan 239 kertas undi ditolak dan 36 kertas undi tidak dikembalikan selepas kesemua 13 pusat mengundi ditutup pada 5.30 petang. Peratusan keluar mengundi ialah 73.87 peratus.

Majoriti 12,650 undi yang Sdr Mohd Sharim perolehi ini melebihi dua (2) kali ganda jumlah majoriti yang diraih penyandangnya juga dari BN, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun sebanyak 4,622 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas.  
Kejayaan ini tentunya banyak disumbangkan oleh wujudnya Muafakat Nasional (MN) – gagasan kerjasama UMNO dan PAS, dengan PAS kali ini tidak meletakkan calonnya untuk turut bertanding sepertimana PRK Cameron Highlands pada Januari 2019.

Yang kerana itu maka undi-undi yang seharusnya diberi kepada calon-calon PAS kini diterjemahkan sebagai undi yang sangat-sangat diperlukan yang kini diberikan kepada calon UMNO yang mewakili BN.

Kemenangan malam ini merupakan keenam buat BN daripada 11 PRK yang diadakan selepas PRU ke-14 pada 9 Mei 2018. Selain menang di Parlimen Cameron Highlands yang turut Dato’ Sri Wan Rosdy ketuai jentera pilihanrayanya;

UCAPAN TERIMA KASIH CALON KITA KEPADA SEMUA...


BN MULA MENANG DI CAMERON HIGHLANDS, KINI DI CHINI PULA

BN turut kemudian memenangi di kawasan Dewan Negeri-Dewan Negeri Semenyih, Selangor; Rantau, Negeri Sembilan serta di Parlimen-parlimen Tanjung Piai, Johor; dan Kimanis, Sabah.

PRK N23 Chini diadakan ekoran pulangnya ke Rahmatullah, Dato’ Sri Abu Bakar, 60, pada lewat malam 6 Mei lepas (2020) di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Allahyarham menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU Ke-11 pada 2004.

Pada PRU ke-14 lepas, Allahyarham menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS, Encik Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, 5,405 undi, dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Mohamad Razali Ithnain, 1,065 undi. – Khabar