Friday, 31 July 2020

Rasional jajaran ECRL dikembalikan kepada asal

Antaranya, dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di Lebuhraya Karak-Gombak khususnya pada musim-musim perayaan dan cuti persekolahan.  

ECRL DAN JAJARANNYA...


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Mengembalikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke jajaran asal khususnya Kuantan-Mentakab-Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang, dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di Lebuhraya Karak-Gombak pada musim-musim perayaan dan cuti persekolahan.

Ini antara rasional Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai isu jajaran tersebut sepertimana turut disebutnya dalam ucapan luar teks 18-minit pada pelancaran Majlis Pembukaan ‘Central Spine Road’ (CSR) Subpakej 3E1 Mentara, Gua Musang ke Merapoh, Lipis petang Ahad, 26 Julai 2020.

Selain jajaran ini merupakan yang asal sebelum Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan selama 22-bulan mengubahnya kepada Kuantan-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya-Pelabuhan Klang katanya;

Ada beberapa lagi sebab kenapa jajaran asal Kuantan-Mentakab-Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang perlu dikembalikan termasuklah soal kepadatan penduduk lebih tinggi di jajaran asal ini yang dengan itu, pengguna perkhidmatan ECRL dijangka lebih tinggi. 

Dengan melalui jajaran asal juga katanya, dapat memberi nilai tambah impak sosio-ekonomi ke kawasan terlibat khususnya daerah Bentong, yang boleh menyebabkan pertambahan pembinaan kilang dan perumahan.

SEPERTIMANA SIARAN PADA HALAMAN 14 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 12 OGOS 2020... Ini merupakan rencana pertama berkaitan Dato' Sri Wan Rosdy dalam akhbar bercetak Utusan Malaysia yang dihidupkan semula bermula Isnin, 20 Julai 2020, selepas kira-kira 10 bulan terhenti.    


BOLEH BERULANG-ALIK DENGAN SELESA BENTONG-KUALA LUMPUR

Rakyat Pahang juga katanya, boleh terus bermastautin di negeri ini khususnya di Bentong, dan gunakan ECRL untuk berulang-alik bekerja ke Kuala Lumpur. Ini juga menyebabkan rakyat negeri ini tidak perlu tinggal di ibukota serta menghadapi kos kehidupan tinggi.

“Dan, jajaran Mentakab-Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang juga ialah jarak lebih pendek lalu mengambil masa perjalanan lebih singkat untuk ke Kuantan dan negeri-negeri Pantai Timur,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Tambahan kepada Dato’ Sri Wan Rosdy sebut ini, beberapa lagi rasional dikemukakan sepertimana diperolehi daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri; dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) – penyelia projek ECRL tersebut.

Antaranya;

# Kurangnya kemusnahan hutan kerana jajaran baharu Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang pastinya akan merentasi Hutan Simpanan Kekal (HSK) Kemasul yang dengan itu menyebabkan kemusnahan kepada hutan tersebut.

DAPATKAN TINGKATKAN HUBUNGAN PAHANG DENGAN NEGERI-NEGERI UTARA

# Mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan Persekutaan dengan -

i) Memperkasakan penggunaan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT; Integrated Transport Terminal) Gombak yang telah siap.

ITT Gombak ialah terminal bas ekspres bagi perjalanan ke Pantai Timur. Dari ITT Gombak ialah perjalanan mudah ke Stesen LRT Gombak berdekatan, membolehkan penumpang ke pusat bandaraya Kuala Lumpur.

ii) ‘Serendah-Port Klang Rail Bypass’ telah lulus peruntukan untuk menjalani kajian oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

Dengan pembinaan landasan ini kelak, dapat menjimatkan lagi kos bagi pembinaan landasan baharu khusus untuk ECRL semata-mata.  

iii) Dangan adanya ‘Serendah-Port Klang Rail Bypass’ khususnya stesen keretapi di Serendah, Selangor, dapat meningkatkan hubungan negeri Pahang dengan laluan ke negeri-negeri utara menerusi pertukaran penumpang dan kargo ECRL di stesen Serendah ini.  

JAJARAN ALTERNATIF TAK GANGGU RABUNG KUARZIT KLANG GATES

# Jajaran asal Mentakab-Bentong-Gombak sudahpun mendapat kelulusan Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) yang YAB Perdana Menteri pengerusikan, manakala jajaran baharu Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang belum lagi.

Tidak dinafikan bahawa jajaran asal yang diminta oleh Kerajaan Negeri dibantah oleh sesetengah pihak.

Misalnya, pembinaan terowong bawah tanah ‘Klang Gates Quartz Ridge @ Rabung Kuarzit Klang Gates menghubungkan Bentong dan Gombak dibantah Kerajaan Selangor dan oleh penduduk persekitaran khususnya di kaki rabung/bukit ini iaitu Taman Melawati.

‘Klang Gates Quartz Ridge’ ini diiktiraf sebagai pembentukan rabung kuarza semula jadi terpanjang di dunia, lebih 14 km panjang dan 200 meter lebar.

Namun, ini boleh diatasi dengan menggunakan jajaran bersebelahan yang tidak melibatkan rabung kuarza ini, sepertimana turut menjadi cadangan alternatif oleh pihak MRL.

JAWATANKUASA TEKNIKAL KAJI ECRL KEMBALI KE JAJARAN ASAL

Permintaan agar jajaran ECRL kembali ke asal ini telah dibawa oleh Dato’ Sri Wan Rosdy mesyuarat MPFN baru-baru ini dan susulan itu, Jawatankuasa Teknikal ditubuhkan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dato’ Sri Mohd Zuki Ali, dan turut dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak untuk mengkajinya.

Adalah diharapkan, kajian oleh Jawatankuasa Teknikal ini kelak akan mendapati sesuai agar jajaran asal Kuantan-Mentakab-Bentong-Gombak seterusnya ke Serendah-Pelabuhan Klang dikembalikan, In Sya Allah. – Khabar