SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA ESOK, JUMAAT, 31 JULAI 2020...
PERUTUSAN
MENTERI BESAR PAHANG
SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA 1441 HIJRAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1441 Hijrah kepada umat Islam seluruh negara khususnya di negeri Pahang Darul Makmur.
Pertamanya saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatnya, kita dapat mengharungi penularan wabak pandemik COVID-19 dengan jayanya, Alhamdulillah.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hampir kesemua sektor ekonomi dan pendidikan sudah mula beroperasi seperti biasa.
Peniaga-peniaga kecil sudah mula kembali berniaga, anak-anak sudah mula bersekolah dan industri pelancongan sudah mula kembali aktif.
Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa ancaman wabak pandemik COVID-19 masih lagi belum berakhir. Meskipun negara dapat mengekang penularannya tetapi ia bukanlah satu jaminan ancaman wabak pandemik ini sudah berakhir.
Sejak kebelakangan ini, kes positif sudah mula kembali di negara ini dan Pahang tidak terkecuali merekodkannya. Inilah yang amat membimbangkan ketika kita sedang dalam fasa pemulihan.
Walaupun kes positifnya kecil, kita tidak sesekali boleh memandang mudah dan langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan.
Saya yakin, pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan pasukan ‘Task Force COVID-19’ yang dibentuk, dapat membendung penularannya sepertimana yang dilakukan sebelum ini.
Kepada rakyat negeri Pahang, teruslah mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti memakai pelitup muka di tempat-tempat awam, sentiasa mencuci tangan denagn sabun atau ‘hand santizer’, mengamalkan penjarakan sosial dan elak bersentuhan atau bersalaman.
Segeralah dapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya ada dalam kalangan kita mempunyai gejala atau ‘symptom’ COVID-19 seperti batuk, selesema dan demam atau suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius.
Kerajaan juga telah mengeluarkan amaran bagi mana-mana individu yang gagal memakai pelitup muka di tempat awam mulai 1 Ogos 2020, mereka ini boleh diambil tindakan denda RM1,000.
Bersempena sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini, marilah kita meraikannya dengan cara yang berhemah dan penuh rasa kesyukuran.
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudahpun mengeluarkan garis panduan dalam melaksanakan ibadah korban dalam tempoh PKPP, dan saya harap kita semua dapat mematuhinya.
Sekali lagi diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1441 Hijrah daripada saya, keluarga dan Kerajaan Negeri kepada semua. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melindungi negeri Pahang dan rakyatnya daripada segala musibah dan bencana.
‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.
DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
30 Julai 2020 - Khabar