Saturday 4 July 2020

Calon BN kita – Sdr Mohd Sharim; mengundi

CALON DISARING TAHAP SUHU BADANNYA... Inilah yang dikatakan normal baharu pada PRK N23 Chini sepertimana foto BERNAMA yang dipetik/siar ini . 



PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini, Sdr Mohd Sharim Md Zain, mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bersebelahan Dewan Semai Bakti, Rancangan Tanah Felda Chini 3 dekat sini.

Sdr Mohd Sharim, 41, dan isterinya Norhiliyana Abd Hamid, 27, tiba di sini serta mengundi pada kira-kira 9.15 pagi, Sabtu, 4 Julai. 

Pasangan suami-isteri yang sedondon berbaju Melayu dan baju kurung warna hijau, tiba di perkarangan KAFA itu pada 9.10 pagi, diiringi bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai mengundi, Sdr Mohd Sharim berharap pengundi di kawasan N23 Chini ini dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka, walaupun mungkin berdepan kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi, bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19. 

“Alhamdulillah, seperti tidak percaya sudah selamat mengharungi tempoh berkempen dua (2) minggu. Kini saya berserah kepada ketentuan Allah dan doakan yang baik-baik sahaja,” katanya seperti yang BERNAMA laporkan.

BEGITU JUGALAH PADA ISTERI CALON BN KITA... 


PENGUNDIAN BERJALAN LANCAR

Beliau berkata, akan melawat ke beberapa pusat mengundi di sekitar DN Chini selepas ini, dan berharap proses pengundian hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini. 

PRK N23 Chini menyaksikan Sdr Mohd Sharim – dalam kalangan generasi kedua FELDA, ditentang oleh dua (2) calon bebas, iaitu ahli perniagaan YM Tengku Dato’ Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Sdr Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.

YM Tengku Dato’ Zainul Hisham dan Sdr Mohd Shukri bukan pengundi berdaftar bagi DN tersebut.

PRK itu diadakan ekoran pulang ke Rahmatullah Dato’ Sri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada lewat 6 Mei lepas (2020) di Hospital Kuala Lumpur. Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar mula bergelar wakil rakyat DN Chini sejak 2004.

Pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 lalu, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar mempertahankan kerusi DN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperolehi 10,027 undi, menewaskan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, 5,405 undi; dan, Encik Mohamad Razali Ithnain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 1,065 undi.

AMALAN PENJARAKAN SOSIAL... Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Negeri sedang memantau perjalanan hari pengundian. Antara yang turut kelihatan ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri - Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin (dua dari kiri) dan Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kiri sekali); 

Ahli Dewan Negeri kawasan Padang Tengku, Dato' Mustapa Long (tiga dari kanan); Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Sdr Wan Mohamad A'zam Wan Rosdy (kanan sekali); serta, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri, Sdr Fadzli Mohd Kamal (dua dari kanan).          


69 PERATUS KELUAR MENGUNDI SETAKAT 3 PETANG

Sementara itu, beberapa sumber melaporkan sebanyak 59 peratus pengundi telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi setakat 1 petang, kemudian meningkat kepada 69 peratus pada 3 petang.

Sumber-sumber itu juga melaporkan bahawa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan itu akan meningkat lagi menjelang tempoh akhir mengundi pada 5.30 petang.

Sebelum ini, SPR telah menyebut tentang jangkaan 70 peratus keseluruhan pengundi akan keluar mengundi di kesemua 13 pengundian melibatkan 65 saluran di kawasan DN Chini.

Waktu keluar mengundi yang bermula sejak 8 pagi, turut ditambah selama 30 minit bagi memberi ruang kepada semua pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka dalam kelaziman baharu.

Sehingga kini, keadaan dilaporkan terkawal di semua pusat pengundian dengan kawalan ketat pihak keselamatan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

PRK N23 Chini menyaksikan 20,990 pengundi – termasuk 18 pengundi awal seperti anggota PDRM; layak mengundi serta memilih wakil rakyat mereka menggantikan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar. – Khabar