… demi atasi karenah
birokrasi, memudah-cara dan mempercepatkan tempoh kemasukan pelaburan tempatan
dan asing ke negeri ini.
“… YAB Perdana
Menteri telah bersetuju supaya format OSC di negeri Pahang dan YAB Perdana
Menteri juga telah minta supaya ianya diperluaskan ke negeri-negeri yang lain,”
kata Dato’ Sri Wan Rosdy
SERAHAN CENDERAHATI... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menerima cenderahati daripada Ir Dr Ahmad Fadzil sambil Dato' Sri Shahiruddin memerhatikan.
HOTEL ZENITH,
KUANTAN
– Demi mengatasi karenah birokrasi bagi memudah-cara dan mempercepatkan tempoh kemasukan
pelaburan tenmpatan dan asing ke Pahang, sebuah Pusat Sehenti (OSC; One-Stop-Centre)
ditubuhkan yang diurusetiakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECERDC) Pahang.
Berpusat
di kawasan perindustrian Gebeng dekat sini, perkara utama ditekankan oleh OSC
ialah memendekkan tempoh kemasukan pelaburan tersebut daripada 44-hari sebelum
ini, kepada cuma 22-hari.
“Sebab itulah kita
sekarang ini menubuhkan One-Stop-Centre (OSC) yang kalau dulunya 44-hari untuk
mendapat kelulusan, sekarang ini telah dipendekkan kepada 22-hari,” kata Menteri
Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ini
juga menurutnya pada persidangan media sempena Program Keterlibatan
SIRIM-Industri Peringkat Negeri pagi Selasa, 21 Julai di sini, telah beliau bangkitkan
pada mesyuarat ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“… YAB Perdana
Menteri telah bersetuju supaya format OSC di negeri Pahang dan YAB Perdana
Menteri juga telah minta supaya ianya diperluaskan ke negeri-negeri yang lain,” katanya lagi.
RM9,000 JUTA
PELABURAN KE PAHANG TAHUN LEPAS
Dato’
Sri Wan Rosdy sebelum itu menyebut tentang penubuhan OSC dan fungsi berkesannya
itu, dalam ucapan luar teks kira-kira 17-minitnya pada program sehari anjuran
SIRIM Bhd ini.
Dalam
ucapan sama, beliau turut menyebut tentang ‘angka tidak pernah berbohong’ betapa
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) melaporkan kira-kira RM9,000
juta nilai pelaburan – tempatan dan asing; memasuki Pahang sepanjang tahun
lepas (2019).
Tahun
2020 ini antara Januari dan Mac bagaimanapun katanya, kemasukan hanyalah RM91
juta ekoran penularan wabak pandemik COVID-19 serta pengenalan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP), disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi
menanganinya.
Ketika
mengulas lanjut pada persidangan media sama katanya, susulan itu jugalah maka
Kerajaan Negeri kini menyasarkan kemasukan pelaburan – tempatan dan asing;
kira-kira RM5,000 juta sehingga hujung tahun 2020 ini.
Ke
arah itu, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (M-TEN) yang Kerajaan Negeri tubuhkan
bagi menangani era pasca COVID-19, telah mencadangkan pelaksanaan beberapa
perkara bagi turut meningkatkan kemasukan pelaburan ke negeri ini.
KUANTAN HAB PENGELUARAN/PENDARATAN
IKAN TERBESAR NEGARA
Antaranya
ialah bagi menjadikan Kuantan khususnya Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
(LKIM) di Kamunting sebagai hab pengeluaran ikan terbesar negara menerusi usaha
menaikkan lagi taraf dan kemudahannya.
“Kita ingat
sebelum ini Kelantan ataupun Terengganu (ialah negeri terbanyak berlakunya pendaratan
ikan) tetapi sebenarnya di negeri Pahang. Ekoran itu, kita telah berusaha untuk
mendapatkan – mungkin ada pelabur swasta yang berminat; untuk kita menaik
tarafkan kompleks tersebut,” katanya.
Menurut
rekod, Kompleks LKIM di Kamunting yang berkeluasan 8.09 hektar di pinggir
Sungai Kuantan ini, berjaya mendaratkan ikan kira-kira 54.2 juta kilogram
bersamaan 54,200 tan, bernilai kira-kira RM164.2 juta sepanjang tahun lepas (2019).
Tahun
2020 setakat Jun ini pula, jumlah pendaratannya sudahpun mencecah kira-kira
24.9 juta kilogram bersamaan 24,900 tan, bernilai kira-kira RM70.5 juta.
“Dan satu lagi ialah
kita ingin mewujudkan Pusat Pengumpulan Sayur-sayuran yang sebelum ini sayur-sayuran
dari negeri Pahang khususnya Cameron Highlands, kita terus hantar ke Pasar
Borong Selayang.
PUSAT KUMPUL
SAYUR-SAYURAN DI BENTONG
“Sekarang, kita
sedang kenal pasti tapak di Bentong dan saya dimaklumkan bahawa tapak tersebut
telahpun dikenalpasti dan insyaAllah dalam masa terdekat kalau segalanya
berjalan elok, kita akan buat pengumuman,” katanya.
Mengenai
program hari ini, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada SIRIM Bhd kerana
memilih Pahang untuk menganjurkan program ini demi; “… meningkatkan lagi penggunaan teknologi dan perkara-perkara baharu
yang boleh menguntungkan ‘industrial players’ di negeri Pahang”.
Selain
kepemimpinan SIRIM Bhd diketuai oleh Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Ir Dr
Ahmad Fadzil Mohamad Hani, dan Pengarah SIRIM Bhd Pahang, Puan Mazlina Mansor;
yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang
(PKPP), Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin yang juga wakil rakyat negeri (BN-Dong). –
Khabar