Sunday 26 July 2020

Pembukaan lebuhraya CSR Subpakej 3E1 antara Mentara, Kelantan ke Merapoh, Lipis


“Sekiranya tiada apa-apa sekatan pergerakan daripada pihak Kerajaan Pusat, bolehlah gunakan lebuhraya ini (sempena balik kampung menyambut Hari Raya Aidil Adha).

“Ini memudahkan, memendekkan masa, mempercepatkan perjalanan, memberi keselesaan kepada pengguna lebuhraya,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

MENYEMPURNAKAN PEMBUKAAN...


TAPAK SEMENTARA, CSR SUBPAKEJ 3E1 MENTARA-MERAPOH, MERAPOH, LIPIS – Laluan kira-kira 5.8 KM antara Mentara, Kelantan ke Merapoh, Lipis bagi lebuhraya 4-lorong, 2-lorong sehala ‘Central Spine Road (CSR)’, dibuka kepada pengguna pada hari ini, Ahad, 26 Julai.

Pembukaan ini disempurnakan bersama oleh Menteri Besar Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof. Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang juga wakil rakyat Parlimen tempatan (BN – Lipis).   

“Hari ini secara rasminya, saya bersama-sama dengan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof merasmikan jalan Mentara ke Merapoh yang (dengan itu) telah boleh digunakan.

“Ini bermakna, mana-mana rakyat negeri Kelantan atapun rakyat negeri Pahang yang berada di negeri Kelantan atau rakyat Kelantan yang berada di Selangor, Pahang; boleh balik menggunakan lebuhraya ini sebelum Hari Raya Haji ini.

“Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan Kerajaan pada hari Isnin bersabit dengan PKPP COVID-19. Sekiranya tiada apa-apa sekatan pergerakan daripada pihak Kerajaan Pusat, bolehlah gunakan lebuhraya ini.

LAGI AKSI MENYEMPURNAKAN PEMBUKAAN LALUAN CSR MENTARA-MERAPOH... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Fadillah serta Dato' Sri Abdul Rahman (kanan sekali); yang turut kelihatan dalam foto ini ialah wakil rakyat negeri setempat (BN - Padang Tengku), Dato' Mustapa Long (depan, kiri sekali).  


KESELESAAN BUAT PENGGUNA

“Ini memudahkan, memendekkan masa, mempercepatkan perjalanan, memberi keselesaan kepada pengguna lebuhraya,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy ketika ditemui wartawan pada majlis petang Ahad ini.

Subpakej 3E1 Mentara-Merapoh yang telah siap pada 16 Februari 2020, ialah sebahagian daripada projek CSR Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Lipis, Pahang.

Sebagai latar belakang, CSR ialah projek pembinaan lebuhraya sepanjang 346.6 KM dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong yang sehingga kini, 19 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Projek ini dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan diserahkan secara rasmi menerusi Unit Kerjasama Awam dan Swasta (U-KAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 27 Oktober 2009.

Projek bernilai keseluruhan kira-kira RM8,700 juta (RM8.7 billion) ini melibatkan 6 Pakej serta 30 Subpakej. Di sebelah Pahang sahaja, kosnya kira-kira RM5,600 juta (RM5.6 billion) melibatkan 4 pakej dan 19 Subpakej.

BARISAN KEPEMIMPINAN KITA... Dato' Sri Wan Rosdy diapit kanan dan kiri oleh Dato' Sri Fadillah dan Dato' Sri Abdul Rahman; serta Dato' Mustapa dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato' Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (kiri sekali). 


LIBATKAN 6 PAKEJ, 30 SUBPAKEJ

Keseluruhan CSR sebanyak 6 Pakej dan 30 Subpakej ini meliputi –
 
Pakej 1 (4 Subpakej); Kuala Krai – Jambatan Sungai Lakit, Kelantan sepanjang 47 KM dengan kos, RM1,100 juta (RM1.1 billion); Pakej 2 (3 Subpakej); Jambatan Sungai Lakit – Gua Musang, Kelantan sepanjang 59.6 KM dengan kos, RM1,400 juta (RM1.4 billion);

Pakej 3 (11 Subpakej); Gua Musang – Kampung Relong, Lipis sepanjang 93.8 KM dengan kos, RM2,100 juta (RM2.1 billion); Pakej 4 (4 Subpakej); Kampung Relong – Raub sepanjang 44.6 KM dengan kos, RM1,300 juta (RM1.3 billion);

Pakej 5 (4 Subpakej); Raub – Bentong sepanjang 54.1 KM dengan kos RM1,200 juta (RM1.2 billion) dan, Pakej 6 (4 Subpakej); Bentong – Simpang Pelangai sepanjang 47.5 KM dengan kos, RM1,600 juta (RM1.6 billion).

Antara kesan positif yang disasarkan daripada pelaksanaan projek ini ialah meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan luar bandar;

SEMASA MENYAMPAIKAN UCAPAN 18-MINIT LUAR TEKSNYA... 


KURANGKAN KESESAKAN MUSIM PERAYAAN

Meningkatkan keboleh-sampaian (ENG; accessibility) dan pergerakan (ENG; mobility) laluan ke pantai timur; mengurangkan risiko kemalangan yang menurut rekod tahun 2010 hingga 2014, berlaku lebih 400 kemalangan antara laluan lama dari Mentara ke Kuala Lipis;

Mengurangkan kesesakan lalulintas atas Jalan Persekutuan 08 sedia ada terutamanya pada musim perayaan dan cuti persekolahan; mengekalkan ekosistem hidupan liar setempat, dengan pembinaan ‘eco-viaduct’ dekat kawasan Sungai Yu;

Dan, menjimatkan masa dari Kota Bharu ke Kuala Krai, seterusnya memasuki laluan CSR; daripada kira-kira tujuh (7) jam kepada kira-kira 4 ½ jam, dan jarak perjalanan daripada kira-kira 452 KM kepada 418 KM. – Khabar