“… ini adalah sebagai tanda ingatan ikhlas daripada Kerajaan Negeri untuk menyuntik semangat anak-anak kita yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan Februari nanti, yang ditangguhkan (tahun ini) sebab COVID-19,” kata Menteri Besar.
SERAH-MENYERAH 'MOCK CHEQUE'... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Arif (dua dari kanan); Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Nazri Abu Bakar dan Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Encik Zaimi Abu Bakar (kanan sekali).
BILIK GERAKAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Berita gembira untuk 19,254 pelajar/calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan untuk 24,738 murid ke tahun satu (1) tahun depan (2021) di negeri ini.
Bagi pelajar/calon SPM 2020 yang hanya akan mendudukinya Februari depan (2021) akibat penangguhan tahun ini ekoran penularan wabak pandemik COVID-19; akan menerima RM50 seorang sebagai Insentif Pembelajaran Secara ‘Online’ melibatkan peruntukan RM960,700.
Manakala bagi murid tahun satu pula, akan menerima RM100 seorang yang akan dibuat pembayarannya pada awal tahun depan, melibatkan peruntukan RM2.474 juta.
Kedua-dua insentif ini dibuat sebagai tanda ingatan ikhlas Kerajaan Negeri bagi menyuntik semangat belajar dalam kalangan pelajar dan murid-murid, dalam menghadapi tempoh sukar aspek pembelajaran, semasa penularan wabak pandemic COVID-19 sekarang.
Ini sepertimana dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Penyerahan Insentif Pembelajaran Secara ‘Online’ Bagi Calon-calon SPM 2020 Negeri Pahang petang Rabu, 2 Disember di sini.
BERSAMA-SAMA PARA PELAJAR PENERIMA...
SEBAGAI TANDA INGATAN IKHLAS
Mengenai Insentif Pembejaran Secara ‘Online’ katanya, “… ini adalah sebagai tanda ingatan ikhlas daripada Kerajaan Negeri untuk menyuntik semangat anak-anak kita yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan Februari nanti, yang ditangguhkan (tahun ini) sebab COVID-19”.
Kesemua 19,254 pelajar/calon berkenaan katanya, terbahagi kepada 17,778 pelajar Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; 1,359 pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN); 68 pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR); dan, 49 pelajar Maahad Tahfiz.
“Kerajaan Negeri boleh beri sumbangan ini kerana Kerajaan Negeri berada dalam kedudukan kewangan yang agak baik.
“Kita ada lebihan setelah kita tolak berapa kita kena bayar penjawat awam, dan kos-kos lain; ada lebihan jadi kita salurkan sedikit peruntukan ini kepada pelajar-pelajar yang akan duduki SPM dan murid-murid yang akan masuk darjah satu, disamping lain-lain insentif yang Kerajaan Negeri beri,” katanya lagi.
Menurutnya, pemberian insentif pembelajaran secara ‘online’ pada hari ini, ialah pertama kali Kerajaan Negeri Pahang perkenal dan laksanakan, berdasarkan keperluan semasa ekoran wabak pandemik COVID-19.
Yang membanggakan ialah, ia berjaya dilaksanakan tidak sampai dua (2) minggu selepas pertama kali diumumkan dalam ucapan penggulungan Menteri Besar atas Belanjawan Negeri 2021 pada hari terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke-14, Jumaat, 20 November lepas.
Manakala insentif kepada murid tahun satu (1) mahupun sumbangan tunai kepada pelajar memasuki universiti katanya, telahpun dilakukan sebelum ini. – Khabar