Friday 12 April 2013

Bekalan air di Kuantan kembali pulih!

… ia setelah satu daripada tujuh enjin pam sedia ada di Sungai Kobat yang rosak, kembali pulih, campur dua daripada tiga enjin pam baharu mula ‘commission’ (operasi). 

Rancangan bina tiga enjin pam baharu serta rumahnya bernilai RM42 juta, tercetus sejak lima tahun dulu lagi – pandangan jauh Kerajaan demi kelancaran urusan pembekalan air daerah ini.

Lynas pula bukan penyebab kepada masalah air daerah ini. Selain ‘line commercial’ untuk salur air kepadanya tidak sama dengan ‘line’ bagi saluran air kepada pengguna biasa;

Lynas juga hanya guna 0.3 peratus atau 1.5 juta liter sehari berbanding PAIP menyalurkan 308 juta liter sehari bagi kegunaan penduduk dan industri di daerah ini.

MENJELASKAN ISU BEKALAN AIR KUANTAN KEPADA MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menjelaskan kepada media sambil Dato' Mohd Zahari memerhatikan.  


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Masalah bekalan air di daerah Kuantan kembali pulih sepenuhnya sejak malam Khamis (11 April) ekoran siapnya kerja-kerja pembaikan ke atas satu (1) daripada tujuh (7) enjin pam di Sungai Kobat yang rosak;

Selain, lancarnya semula operasi dua (2) daripada tiga (3) enjin pam baharu yang menghadapi kebocoran pada saluran paipnya, setelah enjin pam itu di‘commision’kan tiga (3) minggu lepas.

(Fungsi utama enjin-enjin pam ini ialah bagi menyalurkan air mentah ke loji rawatan air di Semambu, yang dari loji rawatan inilah air bersih terawat disalurkan semula kepada pengguna-pengguna di daerah Kuantan ini).  

“Sekarang ni,” menurut Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “… berjalan tujuh (7) enjin pam lama, campur dua (2) enjin pam baharu. Satu sedang dipasang dan akan di‘commission’kan dalam tiga (3) minggu lagi.

“Bila tujuh (7) campur dua (2) ini berjalan, bekalan (air) balik kepada ‘normal’,” katanya pada persidangan media bagi menjelaskan isu pembekalan air daerah ini pagi Jumaat, 12 April di sini.

PEMBANGKANG PULA MEMFITNAH, DAN MEMBESAR-BESARKAN ISU... Satu daripada aksi Dato' Sri DiRaja Adnan semasa persidangan media. 

Beliau juga berkata, "... dan memang kerja pembangkang terutama sekalinya PKR, pandai ‘spin’, pandai propaganda semacam zaman (Adolf) Hitler gunakan (Joseph) Goebbels tapi akhirnya Goebbelspun jalan, Hitlerpun habis".


‘LIP SERVICE’ PEMBANGKANG

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Dato’ Mohd Zahari Md Isa.

Tidak dinafikan, gangguan bekalan air ada berlaku di daerah ini kebelakangan ini, yang turut melibatkan kediaman Menteri Besar di Kubang Buaya; tetapi diperbesar-besarkan oleh puak-puak pembangkang dengan segala fitnah mereka.

“Saya tak nampak kenapa pihak PKR, Fuziah Salleh, (bekas) ahli Parlimen Kuantan yang tidak pernah buat apa-apa – kerjanya hanya buat protes, buat kritikan, perlu buat tunjuk perasaan di depan Masjid (Negeri, Sultan Ahmad 1) dikatakan pada petang ini, apa perlunya?

“Nanti, bekalan balik normal, dia akan kata ‘ha tengok, (hanya setelah) kita buat tunjuk perasaan, (baharulah) bekalan air balik ‘normal’ (di) Kuantan’,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan sambil menegaskan betapa sejak lima (5) tahun lepas lagi, cadangan dicetus dan usaha diambil bagi membina tambahan tiga (3) lagi rumah serta enjin pam baharu tersebut, yang kesemuanya bernilai RM42 juta.

Selain dua (2) buah rumah dan enjin pam baharu yang telah di‘commission’, satu (1) lagi menurutnya, sedang dalam pembinaan, yang dijangka siap dan boleh turut di‘commission’kan kira-kira tiga (3) minggu lagi.  

LYNAS GUNA CUMA 0.3 PERATUS DARIPADA JUMLAH AIR KE KUANTAN

Kepada tohmahan bahawa punca masalah pembekalan air daerah ini ekoran kilang pemprosesan tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng menggunakan air dalam kuantiti yang banyak, beliau menafikannya.

“Sebenarnya ‘line’ ke Lynas tu, lain. Bukan pakai line (yang sama di)pakai di bandar Kuantan, tak sangkut-paut langsung… Dan saya telah semak dengan PAIP ‘adakah melibatkan juga kampung di Beserah, ataupun di Balok?' Pun tidak.

“… dan Lynas hanya menggunakan 0.3 peratus sahaja air yang dihasilkan oleh PAIP di Kuantan ini. Sedangkan kita ada setakat ini, PAIP membekalkan 308 juta liter sehari di Kuantan. Lynas gunakan 0.3 ‘percent’ sahaja, lebih kurang 1.5 juta liter sehari. Tak jejas langsung,” tegasnya.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan menyusur-galurkan punca kepada masalah pembekalan air tersebut yang menurutnya, akibat rosaknya satu (1) daripada tujuh (7) enjin pam sedia ada, hingga menyebabkan kurang tekanan untuk mengepam dan menyalurkan air mentah ke loji rawatan di Semambu.

Sedang kerja-kerja pembaikan dijalankan ke atas enjin pam tersebut katanya, dua (2) daripada enjin pam baharu yang di‘commission’ pula menghadapi masalah kebocoran pada saluran paipnya.

PENDUDUK KUANTAN FAHAMI KEADAAN SEBENAR

“Ha… ini orang kata, ‘teething problem’. (Yang ber)makna, (seperti) budak-budak yang nak tumbuh gigi, dia sakit gigilah. Enjin (pam) baharu itu, bila di‘commission’, saluran paip itu bocor pula.

“Jadi, terpaksa dilakukan kerja-kerja ‘repair’. Semasa (saluran paip) bocor inilah, ketika yang sama, satu enjin pam daripada tujuh yang ada tu, rosak – yang itu masalah (pembekalan air) timbul di Kuantan ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Kuantan dapat memahami keadaan sebenar termasuklah betapa PAIP perlu menyenggara sepanjang 2,300 km paip di daerah Kuantan ini, dengan melibatkan 120,000 akaun pengguna daripada kira-kira 500,000 penduduk.

Mengenai bekalan air mentah katanya, ia bukanlah masalah sementelah Empangan Chereh di Sungai Lembing – yang menakung air mentah, kemudian dialirkan ke dalam Sungai Kuantan yang menjadi sumber air mentah untuk dirawat oleh loji rawatan air yang ada; mampu menampung keperluan air penduduk daerah ini sehingga tahun 2050! – Khabar