Tuesday 23 April 2013

Masih relevankah isu dan perjuangan menentang Lynas?



… yang menjadi intipati utama kempen pilihanraya oleh calon DAP bagi parlimen Bentong, Encik Wong Tack, selain turut diperkatakan oleh calon PKR bagi Parlimen Kuantan, Puan Fuziah Salleh, serta, calon PAS bagi kerusi negeri Beserah, Encik Andansura Rabu.

Ia ekoran keputusan pada Isnin, 22 April oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, yang menolak permohonan untuk mendapat kebenaran merayu di mahkamah tertinggi itu, bagi menggantung kelulusan TOL ke atas kilang memproses tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

PEMIMPIN YANG UTAMAKAN PEMBANGUNAN DAN KEBAJIKAN... Menepati gelagat seorang pemimpin yang mengutamakan pembangunan kawasan yang diwakilinya, serta kesejahteraan dan kebajikan penduduk setempat, Menteri Kesihatan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Bentong, Dato' Sri Liow Tiong Lai telah meluangkan  masa tengah hari Selasa, 23 April, memberi penghormatan terakhir kepada jenazah arwah Mohd Isa Mat, di perkarangan Masjid Batu 1, Jalan Tras, Bentong. 

Arwah, 71 tahun, yang merupakan Ketua Kampung di situ, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam, akibat masalah jantung. Selepas dibawa ke masjid ini dan disembahyangkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Kuala Atok, Raub untuk pengebumian. 

Selain Dato' Sri Liow, antara yang turut hadir di perkarangan masjid ini ialah calon BN bagi DUN Bilut, Encik Leong Kim Soon (di belakang Dato' Sri Liow); serta, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato' Zaini Salleh (kiri sekali).      


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Masih relevankah isu dan perjuangan menentang kilang pemprosesan tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng dekat sini, apabila mahkamah tertinggi – Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memutuskan pada Isnin, 22 April, menolak permohonan untuk merayu bagi mengantung kelulusan Lesen Operasi Sementara (TOL) kilang tersebut?

Sedangkan ‘Lynas’ merupakan intipati utama kempen Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) ini kepada calon DAP bagi Parlimen Bentong, Encik Wong Tack, yang juga Pengerusi, Himpunan Hijau – sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang lantang menentang projek kilang bernilai RM2,300 juta itu.

Ia juga turut menjadi bahan kempen kepada calon PKR bagi Parlimen Kuantan, Puan Fuziah Salleh, dan juga kepada calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Beserah, Encik Andansura Rabu.

Menurut laporan berita siaran hari ini, Selasa, 23 April, panel lima (5) hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, telah menolak permohonan tiga orang – Tan Bun Teet, Syed Talib Syed Sulaiman, dan, Hamizah Ramli; bagi mendapat kebenaran merayu.  

“Mahkamah berpendapat, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh ketiga-tiga mereka, sudahpun diputuskan oleh mahkamah terdahulu tetapi dibangkitkan semula di hadapan panel lima (5) hakim tersebut.

RELEVANKAH?... Ini pula ialah puak-puak anti-Lynas yang kini 'meminjam-pakai baju DAP', dengan sepanduk memaparkan calon mereka, Encik Wong Tack bagi Parlimen Bentong menentang calon BN, Dato' Sri Liow pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) ini; serta sepanduk hijau tertera tulisan dalam Bahasa Mandarin yang bermaksud penentangan terhadap Lynas.   

Dan relevankah perjuangan ini kepada penduduk dan pengundi Bentong, sedangkan LAMP terletak jauh di luar daerah ini? Maka, adakah perjuangan mereka ibarat, 'fighting a wrong cause, at a wrong place?'  


KENA PULA BAYAR KOS MAHKAMAH RM20,000

“Tan Sri Zulkefli yang bersidang bersama-sama Dato’ Hashim Yusoff, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Dato’ Zainun Ali, dan, Dato’ Jeffrey Tan Kok Wha kemudian turut memerintahkan ketiga-tiganya membayar kos RM20,000,” menurut laporan berita yang sama.

Dalam permohonan mendapat kebenaran merayu tersebut, ketiga-tiganya telah menamakan Menteri Sains, Teknolog dan Inovasi, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Lynas Corporation Ltd dan Lynas Malaysia Sdn Bhd – pemilik LAMP, sebagai responden-responden.

Permohonan mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan itu dibuat kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Disember tahun lepas (2012), yang menolak rayuan mereka untuk menggantung kelulusan Lesen Operasi Sementara (TOL)yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk menjalankan operasi LAMP. – Khabar