Thursday 11 April 2013

Perubahan besar terbukti berlaku kepada negara kita dengan Kerajaan yang sama, kata Perdana Menteri



… maka, Kerajaan sama yang ada, pimpinan Barisan Nasional (BN) ini, tidak perlu diubah seperti yang dicita-cita dan dicanangkan oleh pihak pembangkang

KAD PENGENALAN BAHARU BUAT MENTERI BESAR... Dato' Sri Mohd Najib riang ketawa apabila beliau menyampaikan kad pengenalan yang diperbaharui oleh Dato' Sri DiRaja Adnan, di ruang pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam bangunan UTC Pahang ini. Yang turut kelihatan ialah Datin Sri DiRaja Junaini. 


DATARAN UTC PAHANG, JALAN STADIUM, KUANTAN – Perubahan besar terbukti berlaku di negara ini ketika ini, hasil usaha Kerajaan sama yang ada, pimpinan Barisan Nasional (BN).

Oleh itulah menurut Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, Kerajaan sama yang ada ini, tidak perlu diubah sepertimana kehendak dan dicanangkan oleh puak-puak pembangkang.

“… saya nak nyatakan dalam majlis ini, Kerajaan pimpinan Barisan Nasional telah terbukti selama empat tahun ini bahawa, perubahan yang besar mam…pu diusahakan oleh kita, tanpa perubahan Kerajaan,” katanya dalam ucapan luar teks 17-minitnya merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang pagi Khamis, 11 April di sini.

“Jadi, kalau orang kata, canang sana-sini nak perubahan, (kononnya) Kerajaan mesti diubah kepada yang baru; ini tidak semestinya, sebab apa…? Sebab Kerajaan hari ini telah membuktikan bahawa perubahan yang besar boleh berlaku kepada negara kita dengan Kerajaan yang sama, yang ada pada hari ini.

“Kalau kita tidak melakukan perubahan, saya tak berani bercakap sedemikian. Saya tidak mahu bohong kepada rakyat,” katanya sambil memberi contoh kejayaan mewujudkan UTC dan pula pertumbuhan  ekonomi negara tahun sudah, lebih tinggi iaitu 5.6 peratus berbanding unjuran oleh Bank Dunia pada 4.5 peratus.

KEMESRAAN YANG TERSERLAH... Dato' Sri Mohd Najib mungkin berkata sesuatu yang melucukan hingga beliau bersama-sama Dato' Sri DiRaja Adnan dan Datin Sri DiRaja Junaini, tersenyum riang. Foto dirakam semasa kenamaan masih berada di atas pentas pada majlis perasmian ini.  


BR1M 3,4, 5 AKAN DILANCAR  

“Orang tak percaya kita boleh bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada rakyat – BR1M 1, BR1M 2, dan insya-Allah, BR1M 3, 4, 5 akan kita lancar,” katanya lagi yang dituruti secara serentak, sorakan dan tepukan oleh kira-kira 30,000 khalayak yang hadir pada majlis pagi Khamis ini.

Menurutnya, perubahan sebenar memang sedang berlaku di negara ini; “Orang putih kata, ‘real change and real progress is taking place in Malaysia’. Oleh itu, tak timbul sama sekali, kita perlu mengubah Kerajaan. Sebab yang penting, bukan mengubah Kerajaan, yang penting ialah perubahan untuk kesejahteraan rakyat”.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat dapat menilai kemampuan dan keberkesanan Kerajaan yang ada berdasarkan perubahan yang telah diusahakan, yang membawa manfaat kepada rakyat juga.

“Dan inilah mesej utama, tak payah saya cakap perkara lain,” katanya lagi.

Dato’ Sri Mohd Najib seterusnya menempelak pihak pembangkang yang membuat gesaan supaya membuat perubahan kepada Kerajaan yang ada ini, sambil mempersoalkan  kemampuan mereka sendiri untuk membawa perubahan kepada negara.

KHIDMAT KAUNTER RUANG PEJABAT MPK... Dato' Sri Mohd Najib yang turut sempat menjengah ke ruang pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), menanyakan sesuatu pada borang yang disediakan di kaunter berkenaan. Yang turut kelihatan di belakang ialah, Yang Dipertua MPK, Dato' Zulkifli Yaakob. 


KARAM, JIKA SATU KAPAL TIGA NAKHODA

“… macam mana dia nak bawa perubahan kalaulah dalam satu kumpulan itu (dalam Pakatan Rakyat) ada tiga nakhoda. Cuba bayangkan sebuah kapal ada tiga nakhoda. Apa nasib kepada kapal tu?

“Apa dia?” tanya beliau kepada khalayak yang secara spontan menjawab, “Karam…”.
“Karam… orang Pahangpun dah faham, karam dia sebut. Orang Pekan sebut, mengkarak…,” katanya, disusuli ketawa oleh khalayak sekelian.

Beliau turut berkata, betapa pengalaman dan ‘track record’ perlu diambil kira dalam penilaian rakyat untuk memberikan kepercayaan kepada mana-mana pihak untuk menerajui negara.

“Lebih-lebih lagi waktu dalam Kerajaan dulu. Apa dia buat? Apa hasil dia dalam Kerajaan ? Bagaimana bila dia berdepan dengan krisis? Macam mana nilai kepimpinan dia? Itulah patut kita kaji, ” katanya, tidak menamakan sesiapa tetapi difahami umum yang menjurus kepada seorang pemimpin parti pembangkang.

Dalam peringkat awal ucapannya, Dato’ Sri Mohd Najib menggariskan tiga (3) kriteria utama yang harus ada, dalam usaha mewujudkan UTC, dan juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negara ini.  

PERDANA MENTERI DALAM KHALAYAK 30,000 ORANG... 


KOS UTC PAHANG PAHANG CUMA RM37 JUTA

Ketiga-tiganya ialah; pelaksanaannya mesti pantas, lalu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan kerana dapat menyiapkan projek UTC Pahang dalam tempoh cuma lima (5) minggu.

Kedua, ia mesti merupakan projek atau program yang dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan paling minima dan kos yang dibelanjakan untuk pengwujudan UTC Pahang ialah RM37 juta sahaja.

Dan ketiga, ia perlu beri kesan yang besar kepada rakyat misalnya, UTC Pahang memberi kemudahan kepada rakyat untuk berurusan dengan jabatan dan agensi tertentu dengan pembukaannya tujuh (7) hari seminggu dari 8.30 pagi hingga 10 malam.

“Saya dah pergi banyak negara dan saya berani bertanya, adakah mana-mana negara di dunia yang menyediakan perkhidmatan seperti ini untuk kesejahteraan rakyat, dari pukul 8.30 pagi sampai pukul 10 malam tiap-tiap hari?

“Tuan-tuan…, tak ada negara lain di dunia macam mana yang kita lakukan di Malaysia ni. Ini belum sebut lagi, ‘amende’ yang ada di dalam tu. Ini orang Pahang sebut amende ni. Apa benda maknanyalah.

DARI PENUNGGANG VESPA KE 'SUPERBIKE'... Dato' Sri DiRaja Adnan yang sememangnya terkenal sebagai peminat nombor satu motosikal 'vespa', telah sempat singgah ke ruang pejabat Pahang All Bikers Club serta bergaya di atas motosikal 'superbike' ini. 
  

MACAM-MACAM ADA DI UTC PAHANG

“Macam-macam benda ada dalam UTC ni. Macam Dato’ Nan sebut tadi, dari segi perkhidmatan Kerajaan, pusat dan negeri, swasta, NGO (Pertubuhan bukan kerajaan),” katanya yang selain itu ialah ‘gymnasium’, dan gelanggang memanah.

Begitu juga 55 buah gerai manakala di bahagian luar di Dataran UTC ini turut disediakan ialah sebuah gelanggang futsal serta 380 petak pasar tani yang akan beroperasi tiga (3) kali seminggu.  

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Dato’ Sri Jamaluddin Jarjis; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin;

Ketua Setiausaha Negara, Dato Sri Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Dato’ Sri Dr Irwan Siregar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; serta para kenamaan, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar