Sunday 21 April 2013

Latihan baik untuk calon BN



… ekoran lawat-tinjau luar jadual, bertindak atas aduan rakyat tentang kejadian pokok kelapa menghempap bilik darjah  

TINJAU KESAN HEMPAPAN POKOK KELAPA... Lihat cebisan kaca yang pecah, bertaburan. Mujur kejadian berlaku pada hari rehat hujung minggu lalu tidak melibatkan kecederaan kepada guru mahupun pelajar.      


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (SMK) TANAH PUTIH, KEMUNTING, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob bersama calon-calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuantan, Dato’ Suffian Awang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad; melawat-tinjau kejadian pokok kelapa menghempap sebuah bilik darjah di sekolah ini.

Lawat-tinjau luar jadual petang Ahad, 21 April ini ekoran Dato’ Suffian menerima aduan mengenai kejadian itu, tatkala hadir bersama-sama Tengku Dato’ Zulkifli pada Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri yang Dato’ Sri DiRaja Adnan rasmikan pada sebelah pagi, di padang awam, RRM Peramu Maju dekat sini.

Sejurus tiba kira-kira 2 petang, Dato’ Sri DiRaja Adnan diiringi Dato’ Suffian dan Tengku Dato’ Zulkifli, telah melihat sendiri kesan daripada kejadian tersebut yang dikatakan berlaku petang semalam, Sabtu, 20 April.

“… secara kebutalan pula – tup tidak, tip tidak, dah pokok kelapa menghempap Sekolah Menengah (Kebangsaan) Tanah Putih, salah satu bilik darjah yang digunakan untuk menempatkan pelajar-pelajar tingkatan lima.   

“Saya pun baharu tadi dengan calon Barisan Nasional Parlimen Kuantan, Dato’ Suffian , juga calon Barisan Nasional DUN Tanjung Lumpur, Tengku Dato’ Zul; dan kita terus ke mari.

BAHU-MEMBAHU... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Suffian (kanan, berbaju-T warna jingga) kelihatan sedang cuba untuk mencabut keluar tinggalan bongkahan simen yang boleh mencederakan pelajar, jika melalui serta tidak sedar kewujudannya. 


‘LATIHAN YANG BAIK UNTUK MEREKA BERDUA’

“Saya percaya, ini adalah latihan yang baik untuk mereka berdua. Maknanya, kalau rakyat Kuantan berikan kepercayaan kepada mereka berdua, ha ini tugas-tugas yang perlu dijalankan oleh (mereka selaku) wakil rakyat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan ketika ditemui wartawan kemudian.  

“Alhamdulillah, tak ada apa-apa kemalangan yang berlaku (sementelah, pokok kelapa tumbang pada hari rehat hujung minggu). InsyaAllah, sekolah ini akan dapatlah bangunan yang akan diperbaiki secara yang lebih ‘comprehensive’,” katanya lagi.

Pada pertemuan singkat itu juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan ditanya tentang kempen hari kedua Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) bagi BN Negeri yang jawabnya, berjalan lancar disebalik ‘satu-dua perkara’ yang berlaku sebelumnya, yang berkaitan dengan penukaran calon dan kawasan tandingan.   

Pada keseluruhan katanya, bilik-bilik gerakan BN di semua kawasan pilihanraya telahpun dibuka dan ini penting memandangkan bilik gerakan merupakan asas kepada kempen pilihanraya.

“Kalau bilik gerakan dibuka, berjalan lancer maka, ianya menunjukkan bahawa jentera kita juga berjalan lancar kerana bilik gerakan dianggapkan sebagai nadi kepada segala gerakan kempen.

BERSATU KITA, 1MALAYSIA... Foto ini dirakam pada Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri di RRM, Peramu Maju yang di bawah DUN Tanjung Lumpur serta Parlimen Kuantan. Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Suffian ialah Tengku Dato' Zulkifli (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan), Dato' Azman (sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan), dan, Puan Fairojibanu (sebelah kanan Dato' Suffian). 


DARI TAK BERGERAK LANGSUNG, ‘SLOW’ SIKIT, KEPADA LAJU

“Saya akan pergi ke satu-dua tempat yang nampak ada ‘slow’ sikit dan yang ‘slow’ ini, sebelum ini, tak bergerak langsung. Saya percaya, dalam dua-tiga hari ni, yang ‘slow’ inipun akan akan jadi laju,” katanya.

Berkaitan dengan manifesto BN katanya yang juga Pengerusi BN Negeri, usaha-usaha penyesuaian sedang dilakukan ke atasnya dan dijangka dapat siap serta dilancarkan dalam tempoh dua-tiga hari lagi.

Semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri pada sebelah pagi, antara intipati ucapan luar teks 17-minitnya ialah sekali lagi mengingatkan rakyat tentang merbahayanya jika cuba-cuba untuk menukar Kerajaan yang ada.

Selain kedua-dua Dato’ Suffian dan Tengku Dato’ Zulkifli, antara yang turut hadir pada sambutan itu ialah Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan yang juga bekas Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sahfri Ab. Aziz; Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Dato’ Azman Amin Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mahadiah Mohamad;

Pengarah Pembangunan Negeri, Dato' Zulki-fly Osman; Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Lias Mohd Nor; dan, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar