Friday 5 April 2013

"Kerajaan tak kira untung. Kerajaan kira, rakyat dapat faedah. Sikit rugi tak apa, tapi rakyat senang"



… inilah kata-kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan tentang peranan dan pengorbanan Kerajaan menerusi syarikat ia punyai kepentingan, bagi menyediakan pengangkutan awam bas luar bandar, demi manfaat penduduk.

MEMANDU KE DISTINASI YANG SAMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang hendak memulakan pemanduannya petang Jumaat itu.  


PEKAN KECIL KEMAYAN, BERA – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengisahkan tentang peranan dan pengorbanan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam di kawasan-kawasan luar bandar, demi manfaat rakyat.  

Ini dikisahkan ketika menyampaikan ucapan luar teks 36-minitnya pada majlis pelancaran perkhidmatan bas laluan Kemayan-Bera-Temerloh kendalian Syarikat Sri Jengka Sdn Bhd pada petang Jumaat, 5 April di sini.    

Perniagaan pengangkutan awam menurutnya, bukanlah menguntungkan namun, pengangkutan awam seperti bas diperlukan oleh rakyat khususnya di kawasan-kawasan luar bandar.

Oleh itulah, beliau mencadangkan agar syarikat bas Sri Jengka milik Warisan Jengka Holdings Sdn Bhd yang Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) turut punyai saham di dalamnya; supaya mengadakan perkhidmatan di kawasan luar bandar seperti Kemayan ini.

“Bila saya dapat tahu sini ada ‘problem’ (berkaitan pengangkutan awam seperti bas), saya panggil Dato’ Rahim, Encik Salleh yang jalan ini bas. Saya cakap ‘apa macam? Boleh tolong ini Kemayan?’ Dia cakap, boleh,” katanya.   

SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN... Selain akan menikmati perkhidmatan bas, penduduk Kemayan ini turut bertuah kerana diberi pula sumbangan khususnya kepada golongan yang memerlukan. 


TAMBANG PERCUMA SELAMA TIGA (3) BULAN

Yang dimaksudkannya Dato’ Rahim ialah Dato’ Abdul Rahim Mohd Ali iaitu Timbalan, Ketua Eksekutif, PKNP; manakala Encik Salleh ialah Encik Mohd Salleh Omar, yang juga Pengarah, Sri Jengka Sdn Bhd.

Ekoran itulah, perkhidmatan bas Sri Jengka laluan Kemayan-Bera-Temerloh dengan empat ‘trip’ pergi-balik sehari diperkenal dan menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, akan mula beroperasi pada Isnin, 8 April ini secara percuma selama tiga (3) bulan .

Ini disebalik, syarikat bas tersebut tidak akan perolehi keuntungan. “Syarikat Sri Jengka ini akan rugi, boleh ‘cover’ 40 ‘percent’ sahaja. Kita (Si jengka) keluar RM1,000, dapat wang balik RM400 sahaja.

“Tapi, Kerajaan (Negeri) bagi ini (Sri) Jengka satu ‘business’ lain untuk ‘cover’ (perkhidmatan) ini bas (yang tidak menguntungkan). Kerajaan tak kira untung. Kerajaan kira, rakyat dapat faedah. Sikit rugi tak apa, tapi rakyat senang,” tegasnya pada majlis yang sebahagian besar khalayaknya ialah kaum Cina.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang juga ahli Parlimen kawasan Bera (hinggalah Parlimen dibubarkan serentak dengan negeri pada Rabu, 3 April lepas).


TURUT TOLONG MENYAMPAIKAN... Dato' Sri Ismail Sabri turut menggalas tanggungjawab menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. 


MANIFESTO BN NEGERI LENGKAP-MELENGKAPI MANIFESTO BN PUSAT

Selain itu ialah bekas-bekas wakil rakyat; Encik Fadzil Osman (BN – Kemayan) dan Encik Noorul Azali Sulaiman (BN – Guai); Pegawai Daerah Bera, Dato’ A.Rahman Hamzah;

Pengarah Pembangunan Negeri (SDO), Dato’ Zulki-fly Osman; Ketua Eksekutif, PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor; serta kedua-dua Dato’ Abdul Rahim dan Encik Mohd Salleh sendiri.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian memandu sendiri bas Sri Jengka berkenaan dengan ditumpangi para kenamaan, ke Dewan Kebajikan Cina berdekatan, merasmikannya sebelum kembali semula ke sini.

Pada persidangan media, Dato’ Sri DiRaja Adnan lebih ditanyakan mengenai hal-hal berkaitan persiapan Barisan Nasional (BN) Negeri pimpinannya, bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Mengenai manifesto, yang peringkat BN Pusatnya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat, pada esok, Sabtu, 6 April katanya, “Kita sudah ada manifesto sendiri, kita tak ada nak buat pelancaran. Kita hanya menambah, ‘complement’ kepada manifesto pusat”.

MUKTAMAD YANG TAK MUKTAMAD

“Adalah beberapa perkara yang penting; perumahan, belia, tanah, alam sekitar, perhutanan, pihak berkuasa tempatan, ketenteraman awam, dan juga sistem penyampaian awam,” katanya pula tentang antara kandungan manifesto BN Negeri itu.

Berkaitan dengan senarai calon pula katanya, “Selepas tiga kali berbinang dengan panel dan dengan YAB Perdana Menteri, senarai ini memang muktamad. Tapi, muktamad senarai calon pilihanraya tak muktamad macam senarai lain”. – Khabar