Friday 5 April 2013

Sarapan pagi cuma RM18 untuk 4-sekeluarga, yang berselera lagi mengenyangkan!



… di De Kuala Café, RTC Pahang, Kuala Pahang.

Bagusnya bentuk perniagaan ini ialah, konsep dan susun-aturnya dicetus dan dibiayai oleh ECERDC tetapi, lantik penduduk setempat mengusahakannya lalu beri peluang-niaga yang baik kepada mereka.

PELANGGAN TERAWAL, PAGI SABTU... Anak-anak penulis - Siti Aisyah dan Siti Amirah, sedang menikmati juadah berselera di De Kuala Cafe ini. 


DE KUALA CAFÉ, RTC PAHANG, KUALA PAHANG, PEKAN – Selamat Datang ke restoran ini, yang ‘setting’ dan ‘ambience’nya umpama restoran di bandar-bandar besar, tetapi seleranya bagus dan pula, harga yang dikenakan amat berpatutan.

Inilah De Kuala Café yang terletak di RTC Pahang, Kuala Pahang yang perasmiannya dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga ahli Parlimen Pekan (sebelum Parlimen bubar, 3 April) pada 1 Mac lepas.

Dengan sarapan pagi untuk empat-sekeluarga – nasi lemak telur goreng, nasi briyani ayam serta dua set roti bakar selain minuman panas; yang dicaj cuma RM18.20. Mungkin kerana menjadi pelanggan pertama, ada diskaun 20 sen pula lagi, lalu bayarlah cuma RM18!  

Maka, berbaloi sangatlah perjalanan penulis sekeluarga pagi Sabtu, 6 April yang selama kira-kira 30-minit dari kediaman di Kuantan ke sini, semata-mata untuk menikmati sarapan pagi ini.

Selain aspek keenakan makanan dan harganya, satu lagi perkara yang membanggakan ialah; konsep dan susun-atur restoran ini dicetus dan dibiayai oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP);

SELAMAT DATANG KE DE KUALA CAFE... Daripada banyak-banyak unit yang terdapat di RTC Pahang ini, cuma restoran ini yang berbuka. Mungkin kehadiran penulis sekeluarga awal sangat kot... kira-kira 8 pagi. 


TEROWONG PENYEDUT ASAP BELUM BERFUNGSI

Tetapi, ia (ECERDC) melantik penduduk setempat bagi mengusahakan operasi hariannya dengan dikenakan sewaan bulanan yang wajar, lalu memberi peluang-niaga yang sangat baik kepada mereka.

“Tapi setakat ni, makanan dimasak di rumah, (kemudian) dibawa ke sini sebab yang itu tak siap lagi,” kata kakak yang dilantik sebagai pengusaha restoran ini kepada penulis, menunjuk ke arah 'smoke suction hood' (corong penyedut asap) di bahagian dapur yang belum berfungsi lagi.

Dan selepas kami sekeluarga, ada dua-tiga pelanggan lagi yang memasuki restoran ini termasuk seorang kanak-kanak – abangnya menanti di atas basikal di luar, yang kelihatan memesan kemudian membawa pulang, ‘tapau’; beberapa bungkus nasi lemak. 

RUMAH NELAYAN KUALA PAHANG KITA, YANG SELESA... Terletak di bahagian belakang RTC Pahang ialah perumahan nelayan kita yang terletak di tebing Kuala Sungai Pahang. 

Kebanyakan menyatakan syukur kepada Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN) namun kunjungan penulis ke situ mendapati, masih terdapat rumah yang di bahagian depannya dipacakkan bendera parti pembangkang, seolah-olah hendak mencabar dengan mengatakan 'rumah diberi aku terima, undi tidak...'. 

MEGAH BERKIBAR, BENDERA BN DAN UMNO KITA... Foto ini dirakam di persimpangan jalan berhampiran 'Mahligai Mahkota' - istana hinggap KDYTM Tengku Mahkota Pahang di Pekan, yang bersebelahan dengan kediaman Dato' Sri Mohd Najib.  

RESTORAN LEBIH 'TRENDY' DI PEKAN... Ini pula ialah rakaman foto di dalam restoran makanan segera McCafe di Pekan, yang baharu dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang. 

Sesungguhnya, Pekan dahulu dan Pekan sekarang, jauh bezanya... – Khabar