Thursday 26 April 2018

Barisan Nasional (BN) Pahang kemukakan 22 calon muka baharu untuk PRU-14

… enam (6) calon muka baharu untuk Parlimen, 16 muka baharu untuk Dewan Undangan Negeri

“Yang sebenarnya, bagaimana mereka berkempen, bagaimana mereka memenangi hati rakyat di kawasan masing-masing sama ada Parlimen atau ADUN; itu akan menentukan kemenangan kita,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

MULAKAN PERJUANGAN... 


DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengumumkan calon-calon BN untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan mengemukakan 22 calon baharu.

Kesemua 22 calon baharu ini ialah kira-kira 39 peratus daripada 56 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sekali lagi dipertandingkan pada pilihanraya umum kali ini.     

Daripada 22 calon baharu itu, enam (6) ialah untuk kerusi Parlimen (atau 43 peratus daripada kesemua 14 kerusi Parlimen); manakala 16 ialah ialah untuk kerusi DUN (atau 38 peratus daripada kesemua 42 kerusi DUN).

Enam (6) calon muka baharu kerusi Parlimen ialah – Dato' Sivarraajh a/l Chandran bagi P.78 Cameron Highlands; Datin Paduka Chew Mei Fun bagi P.80 Raub; Dato’ Dr Johan Mat Shah bagi P.82 Indera Mahkota;

Dato’ Andrew Wong Kean Hwee bagi P.83 Kuantan; Encik Mohd Shahar Abdullah bagi P.84 Paya Besar; dan, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin bagi P.88 Temerloh;   

CALON-CALON MUKA BAHARU

Enam-belas (16) muka baharu kerusi DUN pula ialah – Encik Leong Tack Man bagi N.01 Tanah Rata; Encik Lee Ah Wong bagi N.04 Cheka; Encik Eng Lek Pong bagi N.07 Tras; Dato' Natalie Lim Chong Lee bagi N.10 Damak;

Dato’ Nazri Ngah bagi N.11 Pulau Tawar; Dato’ Suhaimi Jusoh @ Sulong bagi N.12 Beserah; Encik Quek Tai Seong bagi N.13 Semambu; Cik Tee Choon Ser bagi N.14 Teruntum; Encik Abd Rahim Muda bagi N.18 Lepar;

Dato' Wong Tat Chee bagi N.30 Mentakab; Dato’ Nor Azmi Mat Ludin bagi N.32 Kuala Semantan; Encik Jason Poo Mun Hoong bagi N.33 Bilut; Dato’ Lau Hoi Keong bagi N.34 Ketari; Encik Tan Tin Loon bagi N.38 Triang; Datin Samsiah Arshad bagi N.40 Bukit Ibam; serta, Encik Razali Kassim bagi N.41 Muadzam Shah.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang akan sekali lagi bertanding di DUN Pelangai – bagi penggal kelapan sejak PRU tahun 1986; membuat pengumuman ini pada majlis diadakan lewat pagi Khamis, 26 April, di sini.

Pada persidangan media kemudiannya, beliau diminta mengulas kriteria bagi pemilihan  calon-calon ini termasuk dalam mencalonkan kembali para penyandang (incumbent) – lapan (8) Parlimen dan 24 DUN.

PRESTASI YA, PERTIMBANGAN LAIN JUGA YA

“… sebenarnya, pucuk kepimpinan parti ada kaedah memantau prestasi setiap ADUN dan apabila dibandingkan dengan laporan yang didapati oleh Pengerusi Perhubungan; lebih kurang sama.

“Tetapi kebanyakannya bukanlah tidak dipilih, ditinggalkan kerana prestasi kurang memuaskan, tidak...

“Ada juga prestasi yang kita pilih sekarang ini kurang sikit daripada yang kita tinggalkan itu, bertanding juga. Prestasi itu, betullah, tapi ada masanya ada pertimbangan lain. Ada faktor-faktor – faktor Bahagian, faktor tempatan, faktor penerimaan,” katanya.  

“Yang sebenarnya bagaimana mereka berkempen. Bagaimana mereka memenangi hati rakyat di kawasan masing-masing sama ada Parlimen atau ADUN; itu akan menentukan kemenangan kita,” katanya lagi.

Mengenai kekuatan pembangkang katanya, ancaman sebenar kepada BN kali ini ialah Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Nasional (PAN).

PAKATAN HARAPAN IS BN’S REAL THREAT

“Our real threat is Pakatan Harapan. Because, for the first time they are combining, using the same symbol. This same symbol can in fact confuse the voters. That is why we are very well guarded against it.

“We have our own strategy. We will explain to the people; to the Malays we will say that voting PKR is like voting DAP. To the Chinese, we say that voting PKR is like voting PAN,” katanya.
Dato’ Sri DiRaja Adnan juga ditanya tentang penggal kelapannya kini bertanding mempertahankan kerusi di Pelangai yang beliau pernah mengumumkan diri untuk berundur tetapi tidak dapat berbuat demikian sehingga kini.   

Mengakui betapa beliau sudah lama berkhidmat – 32 tahun sebagai ADUN (sejak 1986) yang daripadanya, sudah hampir 19 tahun kini sebagai Menteri Besar (sejak Mei 1999) katanya;

“Saya sebenarnya memang sudah lama… Saya pernah menyatakan hasrat untuk berundur (tetapi) oleh sebab, faktor-faktor tertentu, saya tidak dapat berundur.

“Tapi kali ini saya percaya, inilah penggal terakhir saya bertanding. Dan saya akan berundur bila sampai masanya. Memanglah, dah lapan penggal, 32 tahun”. – Khabar