Friday, 6 April 2018

MB akan menghadap KDYMM Pemangku Raja Pahang esok, untuk dapat perkenan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13


“Saya, sebagaimana diarahkan oleh YAB Perdana Menteri; kita, Kerajaan Negeri Pahang akan bersekali. InsyaAllah esok, saya menghadap KDYMM Pemangku Raja Pahang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PADA HARI PERTAMA, MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA, DUN KE-13... Dato' Sri DiRaja Adnan ketika sesi soal-jawab pada pagi Isnin, 20 November lepas (2017). 

Persidangan 6-hari pada Isnin, 20 November; Selasa, 21 November; Rabu, 22 November; Khamis, 23 November; disambung balik pada Isnin, 27 November dan Selasa, 28 November; ialah yang terakhir sebelum DUN Ke-13 dijangka diperkenan untuk dibubarkan serentak dengan Parlimen pada esok, Sabtu, 7 April. 

Pada persidangan terakhir inilah, Bajet Negeri 2018 sebanyak RM700.64 juta telah dibentang oleh Menteri Besar, dibahas dan kemudian diluluskan sebulat suara oleh kesemua 42 Ahli DUN. 


PERKARANGAN, S.M.K FELDA CHEMOMOI, PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata yang beliau akan menghadap KDYMM Pemangku Raja Pahang esok, Sabtu, 7 April; untuk mendapat perkenan Baginda bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13.

“Saya, sebagaimana diarahkan oleh YAB Perdana Menteri; kita, Kerajaan Negeri Pahang akan bersekali,” katanya, merujuk kepada pengumuman mengenai pembubaran Parlimen berkuatkuasa esok, Sabtu, 7 April oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak menerusi siaran langsung RTM 1, tengah hari tadi.

Dengan pembubaran itu akan memungkinkan Pilihanraya Umum (PRU)-14 diadakan.

Serentak itu, Dato’ Sri Mohd Najib meminta Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri supaya menghadap KDYMM Sultan atau Yang Dipertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan DUN masing-masing secara serentak.

“InsyaAllah esok, saya menghadap KDYMM Pemangku Raja Pahang. Dokumen-dokumen semua dah siap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat PIBG sekolah ini petang Jumaat, 6 April.

MANIFESTO BN NEGERI MUNGKIN LANCAR PADA SELASA

Adalah difahamkan, majlis menghadap yang dimaksudkan berkemungkinan berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, sebaik-baik selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur di Balairung Seri pada sebelah paginya.

Ketika ditanya tentang tarikh pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri katanya, “Manifesto saya ingat Selasa kita boleh itu (lancarkan).

“Manifesto dah ada, kita nak perbaiki lagi sebab ada yang kita nak naikkan bantuan persekolahan Yayasan Pahang; bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kita naikkan sikit. Jadi itu kena masukkan”. – Khabar