Tuesday, 8 July 2014

Bencana di Belo Horizonte


… Brazil 1 Jerman 7, keputusan yang tidak terduga!

MALANG SI JULIO CESAR... Inilah wajah sedih penjaga gol Brazil, selepas tamat perlawanan sepenuh masa 90-minit dan tambahan masa lagi 1-minit, dengan melepaskan tujuh gol atau kira-kira satu gol dibolosi selang 13-minit. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bencana buat Brazil di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, setelah tewas 1-7 kepada Jerman pada perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Bolasepak Dunia FIFA 2014 awal pagi Rabu, 9 Julai.

Bencana ini – yang turut disaksikan oleh kira-kira 200 juta penonton seluruh dunia hasil liputan langsung oleh 110 stesen penyiaran, bukan setakat menimpa pasukan bolasepaknya;

Malah dikatakan seluruh negara sementelah protes kemarahan daripada rakyat-jelatanya yang tidak pernah padam, terhadap ‘pembaziran’ sehingga kira-kira RM35,000 juta (RM35 billion) bagi Kerajaan Brazil menganjurkan kejohanan ini.

Kekalahan teruk dan memalukan oleh pasukan terkenal dengan rentak sambanya – tanpa penyerang Neymar Jr akibat kecederaan tulang belakang, dan ketua pasukan dan pemain pertahanan Thiago Silva akibat dua kad kuning yang diterima sebelumnya; hanya akan menyemarakkan lagi api kemarahan itu.

Dan perlawanan awal pagi Rabu itu boleh dikatakan ‘terbungkus’ cuma dalam tempoh 29 minit pertama perlawanan dengan jaringan-jaringan pasukan Jerman oleh Thomas Mueller (minit ke-12), Miroslav Klose (ke-22), Toni Kroos (ke-24 dan ke-26), Sami Khedira (ke-29), dengan keputusan 0-5 pada akhir separuh masa pertama.

WAJAH SEDIH SEORANG PEMINAT... 


GOL SAGU HATI BRAZIL SUMBANGAN OSCAR

Pada separuh masa kedua, Jerman menambah dua lagi menerusi Andre Schuerrle (ke-69 dan ke-79), sebelum pemain Brazil, Oscar menjaringkan gol sagu hati untuk pasukannya pada minit ke-90.

Dan ketua pasukan yang menggantikan Thiago Silva, David Luiz - dalam linangan air mata, hanya dapat memohon maaf kepada rakyat Brazil atas kekalahan tersebut pada temubual dengan televisyen negara itu. – Khabar