Monday, 7 July 2014

Sumbangan besar Yayasan Pahang kepada pendidikan dan modal insan


… dengan perbelanjaan hampir mencecah RM1,000 juta, dimanfaati oleh lebih 900,000 pelajar

GURAUAN MENTERI BESAR DENGAN PARA PENERIMA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sempat bergurau dengan penerima sempena Majlis Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Pahang 2014 baru-baru ini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Dengan perbelanjaan hampir mencecah RM1,000 juta yang dimanfaati oleh lebih 900,000 pelajar sehingga kini, menjadi gambaran kasar mengenai peranan dan sumbangan besar Yayasan Pahang (YP) dalam mengembangkan pendidikan dan modal insan di negara ini.

Melihatkan bangunannya yang tersergam gah dan indah di Tanjung Lumpur dekat sini sahajapun sudah mendatangkan kepercayaan utuh tentang peranan dan sumbangan besarnya itu.

Sementelah pula bangunan enam (6) tingkat berharga cuma RM35 juta (termasuk kos pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang [MTNP] bersebelahan) yang siap dan mula beroperasi pada tahun 2007, dibiayai sepenuh dengan wangnya sendiri.

Apatah lagi dengan pembinaan kampus tetap Kolej Antarabangsa IKIP miliknya, di kawasan bersebelahan yang dijangka dapat menampung hingga 2,000 pelajar dan siap pada tahun 2017 dengan kos RM106 juta yang turut ditanggung sepenuhnya.

Kisah-kisah kejayaan ini menurut bekas Pengurus Besarnya, Dato’ Saariah Saad pada satu temubual, banyak disandarkan kepada kepimpinan tertinggi YP khususnya Pengerusi-pengerusinya.

MENYAMPAIKAN KEPADA PENERIMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengampaikan hadiah kepada pemenang sambil Encik Airulamri (kiri sekali) memerhatikan.


YP DITUBUH SEMASA DATO’ SRI MOHD NAJIB IALAH MENTERI BESAR

Bermula dengan Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang juga Menteri Besar ketika itu (1982 – 1986) disusuli Tun Mohd Khalil Yaakob (1986 – 1999) dan kini Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob (sejak Mei 1999).

Semasa era Dato’ Sri Mohd Najiblah, idea penubuhan Yayasan Pahang (YP) dicetuskan, kemudian diwujud dan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 29 September 1983.

“Fokus utama beliau pada ketika itu menjurus kepada memastikan anak-anak negeri mendapatkan akses pendidikan yang sempurna dan memberi perhatian langsung kepada anak-anak pelajar dari keluarga yang kurang kemampuan kewangannya dan dari sekolah-sekolah luar bandar,” kata Dato’ Saariah mengenai YP di bawah Dato’ Sri Mohd Najib.

Selaku pencetus dan penggerak, tidak hairanlah, pada lawatan rasmi pertama Dato’ Sri Mohd najib Najib ke negeri ini selaku Perdana Menteri pada 18 April 2007 – seperti masih ada ‘sentimental attachment’ pada YP, beliau turut menyebut mengenainya dalam ucapan luar teksnya;     

“Kalau Yayasan Pahang perlu suntikan, saya bersedia memberi peruntukan tambahan kepada Yayasan Pahang kerana saya yakin bahawa usaha-usaha seperti ini akan memberi kesan yang amat besar kepada rakyat Pahang”. 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG YANG GAH DAN INDAH...


IKIP DITUBUH SEMASA ERA TUN MOHD KHALIL

Di bawah kepimpinan Tun Mohd Khalil pula menurut Dato’ Saariah, fungsi YP dimantapkan lagi dengan memberi perhatian yang sama berat kepada memenuhi tanggungjawab sosialnya khususnya dalam bidang pendidikan, dengan ekonomi.

Sehubungan itu, pada tahun 1992, IKIP Education Sdn Bhd diwujudkan yang kemudiannya menubuh dan mengendalikan Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) yang kini dikenali Kolej Antarabangsa IKIP.

Pengwujudan ini dengan kenaan yuran pengajian tahunan yang berpatutan kata Dato’ Saariah, ialah bagi menambah-meluaskan peluang mendapat pendidikan tinggi dan memberi alternatif pendidikan swasta kepada anak-anak Pahang daripada pelbagai latar ekonomi.

Sehinggalah ke era Dato’ Sri DiRaja Adnan – seorang bekas guru, yang telah menambah-baikkan lagi peranan dengan memperkenalkan lebih banyak produk-produk bantuan pendidikan serta memperbanyakkan program-program kemasyarakatannya.

Dan, tingginya ‘passion’ beliau terhadap YP dan bidang pendidikan yang dimainkan, terserlah bukan sahaja pada segala usaha tersebut tetapi juga pada ucapannya ketika pembentangan Bajet Negeri 2006 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri, 15 November 2005.

TINGGINYA ‘PASSSION’ DATO’ SRI DIRAJA ADNAN KEPADA PENDIDIKAN

Ini khususnya ketika menyentuh soal pendidikan, yang dengan nada sebak beliau menyebut; “Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan meneruskan program bantuan pendidikan untuk memastikan setiap pelajar yang layak tidak tercicir, tidak tertinggal, mencapai tahap pendidikan setinggi yang mungkin.

“Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidakmampuan sesebuah keluarga meneyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya”.

Semasa era Dato’ Sri DiRaja Adnanlah, daripada segi pembangunan fizikal, YP memiliki bangunannya sendiri – Kompleks Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur, serta MTNP iaitu institusi bagi melahirkan dua dalam satu – hafiz dan hafizah serta seorang professional; dibangunkan bersebelahan.

Bangunan-bangunan ini telah dirasmikan oleh KDYMM Pahang pada 20 Jun 2007, iaitu selepas Baginda jugalah yang merasmikan penubuhan YP, kira-kira 24 tahun sebelumnya.

Banyak produk bantuan pendidikan yang dianjurkan oleh YP selepas lebih tiga dekad kewujudannya. Begitulah banyak sehingga meliputi bukan sahaja yang berkenaan dengan pelajar-pelajar cemerlang seperti adanya Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Projek Intervensi Semua A (PiSSA); yang lemah dan sederhana juga diberi peluang untuk memperbaiki pencapaian akademik mereka.  

PRODUK BANTUAN PENDIDIKAN JUGA KEPADA YANG KURANG BERJAYA

“Antaranya, Program Puncak Jaya (PPJ) dan Program Semarak Usaha dan Impian Ke Universiti (PrSUIT). Program-program ini membantu golongan pelajar sederhana atau yang biasa kita sebut ‘GALUS’ – sekali gagal, sekali lulus, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ia bagi membolehkan mereka mendapat kelayakan memasuki universiti-universiti tempatan,” kata Pengurus, Bantuan Pendidikan YP, Encik Airulamri Amran.

Sepertimana kedua-dua program itu, begitu juga dengan beberapa lagi produk bantuan pendidikannya yang turut tertumpu kepada pelajar yang sama seperti program Permata Hati Anak Yatim (PERHATI) dan Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS).

YP juga turut menubuhkan IKIP Advanced Skills Centre – sebuah institusi pendidikan kemahiran yang dijuruskan kepada pelajar yang kurang menyerlah dalam akademik maka kursus-kursus seperti dalam bidang komputer, automotif, perhotelan dan fesyen ditawarkan.

Yang menyerlah daripada banyak-banyak produk bantuan pendidikan yang YP keluarkan ialah pemberian biasiswa dan pinjaman yang termasuklah bagi peringkat sekolah rendah lagi - Biasiswa Sekolah Rendah (BSR), peringkat menengah - Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. 

YP BERJAYA KERANA DIURUS CEKAP DAN BERAMANAH TINGGI

Kesemua ini, menurut Encik Airulamri, melibatkan perbelanjaan sehingga RM662.95 juta dan dimanfaati oleh kira-kira 284,299 pelajar sehingga kini. 

Dan kira-kira RM177.92 juta lagi ialah untuk program-program bantuan pendidikan lain termasuk kemasyarakatan seperti bantuan geran ‘one-off’ RM500 dan RM1,000 kepada masing-masing pelajar memasuki institusi pengajian tinggi peringkat diploma atau ijazah serta peringkat sarjana dan kedoktoran.

Untuk ini pula sahaja, jumlah pelajar yang mendapat manfaat daripadanya ialah kira-kira 639,414 orang!

Daripada segi kewangan, YP mempunyai anak syarikat yang bertindak sebagai ‘income generating body’ iaitu YP Plantations Sdn Bhd, yang menerusi usaha gigih dan cekapnya, berjaya mendapatkan pulangan yang lumayan setiap tahun menerusi operasi ladang sawit milik YP seluas kira-kira 100,000 ekar.

Ekoran kecekapan kewangannya itulah juga, YP sudah boleh berdikari tanpa meminta atau memperolehi bantuan dalam bentuk dana tahunan daripada Kerajaan Negeri baginya menggerakkan segala aktivitinya.
   
“Jika disimpulkan, usaha-usaha yang dilakukan oleh YP merentasi keperluan setiap kategori demografi di negeri Pahang melalui pelbagai program serta peka terhadap persekitaran pendidikan atau ‘educational terrain’ anak-anak Pahang,” kata Dato’ Saariah. – Khabar