Monday, 28 July 2014

Selamat Hari Raya Puasa


… sambutan sederhana di seluruh negeri, tanpa Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar bagi menghormati kejadian malang menimpa pasawat MH17.

BAGINDA DIIRINGI PADUKA-PADUKA ANAKANDA, CUCUNDA SERTA MENANTU... KDYMM Sultan Pahang dengan KDYTM Tengku Mahkota Pahang di sisi, sedang mengangkat 'takbiratul-ihram', untuk menunaikan solat sunat 'tahiyatul masjid'. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sambutan sederhana terasa di seluruh negeri, menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada hari ini, Isnin, 28 Julai bersamaan 1 Syawal 1435H.

Satu ‘feature’ yang terasa ketiadaannya pada sambutan kali ini bagaimanapun, ialah penganjuran Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, yang sepatutnya berlangsung antara 11 pagi dan 4 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, dekat sini.

Ia ekoran pembatalannya seperti diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada Jumaat, 25 Julai menyusuli pengumuman yang sama oleh Kerajaan Persekutuan pada hari yang sama.

Pembatalan ialah sebagai tanda menghormati serta bersimpati dengan kejadian yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang mengorbankan kira-kira 300 penumpangnya di timur Ukraine baru-baru ini.

Sambutan pagi Syawal sepertimana sambutan-sambutan sebelum ini, bermula dengan solat sunat Aidil Fitri dengan umat Islam bertumpu ke masjid-masjid berdekatan bagi menunaikan solat sunat 2-rakaat itu.

BERSALAMAN DAN BERAMAH-MESRA... Kelihatan para jemaah tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan beramah-mesra dengan Baginda sebaik selesai solat sunat Aidil Fitri pagi Isnin ini. 

AMALAN KUNGJUNG-MENGUNJUNG TERUS BERLAKU

Di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, KDYMM Sultan Pahang diiringi KDYTM Tengku Mahkota Pahang, telah tiba kira-kira 8.40 pagi untuk bersama-sama jemaah lain mengerjakan solat tersebut.

Solat diimamkan oleh Encik Mohd Khalil Mohd Zari manakala khutbah pula dibacakan oleh Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Sri Abdul Rahman Osman. Berlaku sedikit kesilapan yang bagaimanapun tidak membatalkan solat apabila Imam – setelah melafazkan takbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama, tidak pula menyebutkan takbir itu untuk rakaat kedua (sebanyak lima kali).

Selepas solat inilah, amalan kunjung-mengunjung terus berlaku yang memeriahkan suasana sambutan. 

  
SUMBANGAN DUIT RAYA... Baginda kelihatan sedang mencemar duli, menyampaikan sumbangan duit Raya kepada kanak-kanak yang beratur panjang untuk menerimanya.  

KUNJUNGAN PERIBADI DI KEDIAMAN MB... Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob yang kurang sihat pada sebelah pagi lalu tidak hadir ke solat sunat Aidil Fitri, kelihatan sedang berbual mesra dengan KDYTM Tengku Mahkota yang tiba sekeluarga ke kediaman beliau di Kubang Buaya untuk berHari Raya bersama-sama. 

Yang turut memerhatikan ialah KDYTM Tengku Puan Pahang dan isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim. - Khabar