… sanggup
beratur hingga kira-kira sejam demi menikmati keenakan nasi kandar di gerai bawah pokok
ketapang, berdepan bangunan Telekom Malaysia off Jalan Kampung Benggali
LAUK APA?... Inilah keadaan di gerai 'nasi kandaq beghatoq' ini. Lauk-lauk dan kuah sedang diceduk ke pinggan pelanggan.
SEBUAH HOTEL
BAJET, JALAN BAGAN LUAR, BUTTERWORTH – Sanggup beratur hingga sepanjang 50
meter dan menghabiskan masa hingga sejam sampai lenguh-lenguh kaki, demi
menikmati sebuah hidangan nasi kandar?
Apa
pula hendak dikatakan apabila ada antara yang beratur ini ialah mereka yang
sanggup pula bermotosikal kuasa besar dari Ipoh ke sini, semata-mata untuk menjamahnya?
“Sejam sahaja
dari Ipoh ke sini. Kalau hari biasa, dengan kelajuan 160 km sejam, cuma 45
minit,”
kata seorang anak muda yang beratur di depan penulis, ketika sama-sama menunggu
giliran untuk memesan nasi kandar di sebuah gerai bawah pokok ketapang di depan
bangunan Telekom Malaysia off Jalan Kampung Benggali di sini, malam Selasa, 29 Julai
bersamaan 2 Syawal.
Dan
menurut anak muda ini yang kemudian penulis diberitahunya ialah seorang guru di
sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak, beliau dan rakan akan kembali
ke Ipoh sebaik-baik selepas ‘pekena’ nasi kandar ini!
“Apa yang
istimewa sangat nasi kandar ini?” tanya penulis kepada anak muda ini. “Tak taulah… Mungkin kari dan kuah-kuah
lain yang di‘taruh atas’ nasi putih panas-panas,” jawabnya pula.
INI BAHARU SEPARUH DARIPADA PANJANGNYA BARISAN YANG BERATUR... Di luar sana dengan kenderaan baharu memasuki laluan ini, ialah Jalan Bagan Luar.
RM12.60 UNTUK NASI
PUTIH + SOTONG + IKAN MERAH
Sudah
agak lama juga penulis dikhabarkan mengenai nasi kandar ini khususnya oleh Ketua UMNO Bahagian Bagan, Dato' Ir Shaik Hussein Mydin yang ditemui di Bandar DiRaja Pekan April lepas. Cuma pada malam
Selasa, 29 Julai bersamaan hari kedua, Hari Raya Aidil Fitri 1435 H, penulis
yang berkunjung ke sini bersama keluarga bagi menziarahi keluarga mertua di Kubang
Semang dekat sini, berkesempatan untuk mencubanya.
Setibanya
ke kawasan tapak gerai ini berjalan kaki dari hotel 2-bintang ini pada
kira-kira 11.05 malam, barisan beratur sudahpun panjang. Ketika itu, gerai ini
masih kosong menantikan ketibaan segala nasi dan lauk-pauk yang sepatutnya.
Hanya
pada 11.20 malam, baharulah segalanya tiba dengan sebuah kereta tolak. Selepas
itu baharulah perniagaan bermula maka pesanan seorang demi seorang diterima
yang ada antaranya makan di kawasan yang disediakan atau ‘tapau’ termasuk untuk
makan di bilik hotel seperti penulis.
Tiba
sahaja giliran penulis pada kira-kira 12.10 tengah malam, Rabu, 30 Julai (selepas kira-kira sejam beratur), maka
pesanlah penulis untuk bungkus nasi putih penuh campur ikan merah, sotong dan
sayur kobis, semuanya – RM12.60.
Kemudian,
pesan dan beli pula sebungkus teh ais dari gerai bersebelahan, kembalilah
penulis berjalan menyeberangi Jalan Bagan Luar untuk ke bilik hotel ini bagi
sesi menikmati hidangan dengan sekeluarga empat beranak.
BERATUR MENUJU KEENAKAN... Terletak di bawah pokok ketapang, lauk-pauk bagi jualan di gerai ini dikatakan datangnya dari Restoran Nasi Kandar Jamal Mohamed terletak cuma kira-kira 60 meter dari tapak gerai ini.
Gerai di bawah pokok ketapang ini dikatakan dibuka sebagai saluran tambahan kepada apa yang boleh turut diperolehi di restoran berkenaan (kiri sekali, kelihatan sebahagiannya dalam foto ini).
ESOK KITA PEKENA
LAGI
Sebaik-baik
bungkusan dibuka, terasa segar dan aromanya nasi kandar ini yang hendak dicuba rasa
buat pertama kalinya. Tanpa disedari, sebungkus nasi kandar dihabiskan dalam
tempoh yang singkat sahaja. Masing-masing beri ‘thumbs-up’ kepada keenakannya.
Dan
esok, ahli keluarga penulis berpesan, kita ‘pekena’ lagi ya. “Boleh,” jawab penulis, “… tapi siapa pula yang sanggup pergi beratur?”
penulis tanya semula yang tidak memperolehi apa-apa jawapan.
RESTORAN NASI KANDAR JAMAL MOHAMED, JALAN KAMPUNG BENGGALI, BAGAN (BUTTERWORTH)... Kelihatan dalam foto ini, di hujung jalan sana. – Khabar