Friday, 18 July 2014

Terawih di Surau Al-Baraqah


… surau baharu RM180,000 yang mula digunakan sejak 1 Ramadan 1435H ini di De Rhu Beach Resort milik LKPP Negeri

BERSOLAT JEMAAH DI SURAU SERBA-BAHARU, AL-BARAQAH...


SEBUAH BILIK STANDARD, DE RHU BEACH RESORT, BESERAH, KUANTAN – Al-Baraqah – bukan nama sebenar. Ia nama yang sengaja penulis reka kepada sebuah surau baharu dan mula digunakan sejak 1 Ramadan yang terletak dalam halaman hotel milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri ini.

Kenapa ‘Baraqah’? Adakah hotel selain daripada De Rhu Beach Resort yang menghadap Laut China Selatan ini, sanggup membina dan memiliki sebuah suraunya tersendiri demi manfaat para tetamu dan pekerjanya?

Sementelah pula, yang dibelanjakan untuk pembinaannya bukanlah calang-calang angka – RM180,000, yang kalau hendak difikirkan tentang ‘financial returns’nya  tentulah tiada.

Oleh itulah, insya-Allah, apa yang dilakukan oleh pengurusan hotel ini termasuk pemiliknya LKPP Negeri yang pengerusinya ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; akan mendapat baraqah Allahu Taala juga.

Inilah yang penulis sebutkan dalam terserempaknya penulis dengan Timbalan Pengurus Besar, LKPP Negeri, Encik Abdul Rahim Abdullah dan Pengurus hotel ini, Encik Mohd Reza Abdul Rashid, setelah menunaikan solat terawih lapan rakaat disusuli witir tiga rakaat pada malam Jumaat, 18 Julai di sini.

TEMPAT AMBIL WUDHU' YANG MODERN LAGI KEMAS...

LANDSKAP INDAH, MENGHALA KE SURAU AL-BARAQAH... Serta kemasan dalamannya yang menarik, mendamaikan kita menunaikan solat di dalamnya. 


HAFIZ DARI SEKOLAH AGAMA SG KARANG BAWA TERAWIH DAN WITIR

Dan terawih serta witir pada malam ini – 21 Ramadan dan malam-malam sebelumnya sepanjang Ramadan ini, diimam dan dibilalkan oleh anak-anak muda al-Hafiz kita, menurut Encik Mohd Reza, didatangkan dari sebuah sekolah agama di Sungai Karang yang berhampiran.

Yang turut menyertai jemaah malam ini termasuklah bekas Pengurus Besar, LKPP Negeri yang kini ialah Pengarah Urusan, LKPP Corporation Bhd, Dato’ Adnan Sulaiman. 

Semoga, bertambah-tambah baraqahlah yang LKPP Negeri perolehi menerusi pelbagai aktiviti perladangan dan hartanah yang sedang rancak dibangunkannya, Insya-Allah. 

DAN, INILAH DE RHU BEACH RESORT... Yang sungguhpun 3-tingkat, atas rasa kasihan terhadap tetamu-tetamu wargatua untuk menaiki tangga, kemudahan lif di bahagian depan bangunan kini sedang rancak dalam pembinaan.

KUNJUNGAN YANG TIDAK MENGHAMPAKAN... Berbelanja untuk tinggal semalaman bersama-sama keluarga sambil menikmati juadah berbuka puasa hidangan ala-Arab hasil air tangan Chef Ammar ini, disusuli sahur pada awal pagi Sabtu, 19 Julai, tidaklah menghampakan.  – Khabar