Sunday 13 July 2014

Manifestasi seriusnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) - pusat mahupun negeri, dalam laksanakan akujanji pilihanraya, kata Perdana Menteri


… dengan merujuk kepada akujanji Kerajaan BN Negeri untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun (2014 – 2018), tetapi kini lebih 80 peratus sudahpun dalam pelbagai peringkat pelaksanaan

AKSI SEBELUM MAJLIS TAKLIMAT... 

BILIK GERAKAN, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Seperti mengiktiraf keupayaan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri dalam melaksanakan akujanjinya pada Pilihanraya Umum ke-13 lepas khususnya dalam pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun ini (2014 – 2018);

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak menyebut mengenainya dengan menyatakan betapa setakat ini, lebih 80 peratus atau lebih 13,000 unit daripada jumlah itu, sudahpun dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“… dan projek pertama akan disiapkan pada bulan Oktober nanti,” katanya pada persidangan media selepas menghadiri taklimat pembangunan negeri petang Ahad, 13 Julai di sini, sempena lawatan rasmi seharinya ke Kuantan.

Taklimat disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri I yang juga Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Roslan Harun.  
                         
“Ini adalah merupakan manfestasi betapa seriusnya kita mengambil kira akujanji pilihanraya sama ada dibuat oleh Kerajaan Pusat mahupun oleh Kerajaan Negeri,” katanya lagi. 

MENGHADAPI MEDIA... 

INPUT UNTUK PENYEDIAAN BAJET NEGARA DAN RMK-11

Yang dimaksudkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib itu ialah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang yang merupakan projek perumahan mampu milik sebagai lengkap-melengkapi kepada PR1MA Persekutuan.

Dengan harga seunit ditetapkan pada RM150,000, PR1MA Negeri Pahang disasarkan kepada anak muda 40 tahun ke bawah, rakyat KDYMM Sultan Pahang, dengan pendapatan seisi rumah kurang daripada RM3,000.  

Beliau juga berkata betapa taklimat yang diterimanya tadi bertujuan bagi mendapatkan maklumat ke arah penyediaan bukan sahaja Bajet Negara tetapi juga Rancangan Malaysia ke-11 (2016 – 2020).  

“Saya mendapat manfaat daripada pandangan dan cadangan yang spesifik dan keutamaan pembangunan yang akan ataupun telah diserahkan oleh Kerajaan Negeri untuk pertimbangan saya dan Kerajaan Pusat,” katanya.

Dato’ Sri Mohd Najib seterusnya akur bahawa, projek pencegahan banjir untuk daerah Kuantan ini sebagai contoh, memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menjayakannya.

SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA ANAK-ANAK MISKIN... Ini merupakan majlis kedua dihadiri Perdana Menteri iaitu majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak miskin di Masjid Sultan Ahmad 1, Kuantan. 
 

NAK BINA BAN ATAU KOREK SUNGAI?

Dan dalam taklimat tadi menurutnya, ada membincangkan tentang penyelesaian khususnya penyelesaian teknikal terbaik ke arah mengatasi masalan banjir tersebut dan Kerajaan Negeri akan memantapkannya lagi sebelum menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan.

Menjawab soalan susulan oleh wartawan NST katanya, yang nampak kritikal dalam soal bencana banjir ialah daerah Kuantan maka daerah Kuantanlah akan diberi keutamaan tertinggi apabila dipertimbangkan oleh Kerajaan Pusat nanti.

“Cuma ‘solution’ tu kita perlu kajian yang lebih dan pertimbangan yang lebih. Sama ada kita nak buat ban ke, korek Sungai Kuantan ke; kita perlu kaji keberkesanan dan apakah ‘impact’ antara kedua-dua cadangan tersebut,” katanya.

Keutamaan tertinggi itu perlu menurut Dato’ Sri Mohd Najib, “Sebab bila saya lawat kawasan Sungai Isap sewaktu banjir tahun sudah tu, saya lihat betapa azabnya mereka yang tinggal di kawasan itu bila kena banjir secara mendadak”.

“Saya juga minta supaya projek bekalan air termasuk ke kawasan luar bandar sama ada kampung-kampung yang belum ada bekalan air bersih lagi ataupun dah ada tapi putus bekalan air atau tekanan air tak kuat.

SABAR MENANTI DETIK 7.24 PETANG... Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan, disertai Dato' Sri Ismail dan yang lain, sedang sabar menanti waktu - beralaskan tikar plastik, menyertai ribuan penduduk Kuantan untuk berbuka puasa di Padang MPK 1 berdepan Masjid Sultan Ahmad 1 ini.


DATO’ ROSLAN SAMPAIKAN TAKLIMAT

“Ini merupakan antara projek yang perlu diberi keutamaan tinggi apabila kita meluluskan peruntukan nanti (di bawah Bajet Negara atau RMK-11),” kata Dato’ Sri Mohd Najib lagi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang turut hadir pada persidangan media ini ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis;

Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Md Salleh dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.

Sebelum itu, taklimat yang turut dihadiri oleh ahli-ahli parlimen dan wakil-wakil rakyat negeri serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri I yang juga Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Roslan Harun. 

TURUT BERSAMA-SAMA... Isteri kepada Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor dan isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim turut tidak ketinggalan untuk merasai kesyahduan dan keceriaan berbuka puasa di Padang MPK 1 yang sudah terkenal sebagai destinasi berbuka puasa popular bagi rakyat Pahang khususnya Kuantan ini. – Khabar