Thursday 14 May 2020

Junjung Kasih atas perkenan lanjutkan khidmat Menteri Besar, Ahli Exco Kerajaan Negeri


MENJUNJUNG KASIH TAK TERHINGGA...


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan persembahan ucapan menjunjung kasih Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melanjutkan perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya.    


Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun.

Patik, mewakili pacal-pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menjunjung kasih tidak terhingga ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melanjutkan khidmat patik sebagai Menteri Besar serta pacal-pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hingga ke tarikh Dewan Negeri Pahang Ke-14 dibubarkan.

Khidmat patik sebagai Menteri Besar serta lapan (8) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sepatutnya berakhir 14 Mei 2020 atau genap dua (2) tahun, sejak diperkenankan untuk patik pacal-pacal, mentadbir negeri bermula 15 Mei 2018.

Khidmat dua (2) lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula sepatutnya berakhir 4 Jun 2020 atau juga genap dua (2) tahun juga, sejak pelantikan pada 5 Jun 2018.  

Patik serta pacal-pacal Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan ini, menzahirkan janji serta tekad untuk meningkatkan lagi mutu khidmat-bakti patik pacal-pacal sekalian.

Ini terutamanya dalam menangani hal-ehwal semasa negeri khususnya bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, serta mengambil langkah-langkah bagi menyemarakkan semula ekonomi negeri dalam bagi tempoh pasca wabak ini kelak, In Sya Allah.

Ampun Tuanku.

Menjunjung kasih Tuanku. – Khabar