“Tetapi, penyakit
ini mungkin menyebabkan kematian saya atau kematian kamu. Mereka kata
(usaha-usaha) pemulihan lebih buruk daripada penyakit ini. (Tetapi) penyakit
ini bersamaan dengan kematian. Takkanlah (usaha-usaha) pemulihan lebih buruk
daripada penyakit ini apabila penyakit ini berpotensi menyebabkan kematian?” –
Gabenor New York.
SURAH AL-INSYIRAH, AYAT 4 & 5...
NOTA
EDITOR ;
Usaha
untuk mengimbangkan antara keperluan menjaga nyawa (live) dan kehidupan
(livelihood) rakyat. Inilah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan dalam
berdepanan penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini khususnya berkaitan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan sehingga kita
diminta #DudukDiRumah sahaja.
Dalam
proses itu, pelbagai pandangan diluahkan termasuk rungutan-rungutan yang
terpaksa dihadapai dan ditangani oleh Kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan
mahupun Kerajaan Negeri.
Apatah
pula ada yang berpandangan; kita mungkin sedang menghadapi ‘ribut besar di
tengah lautan tetapi kita berada dalam kapal-kapal berasingan dengan pelbagai
saiz dan kemudahannya’ yang dengan itu, bukanlah kerja mudah untuk Kerajaan menangani
dan mengatasinya.
Namun,
sebagai Kerajaan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyat, ia tetap
bertekad dan berusaha untuk melepaskan kita daripada kemelut ini dengan jayanya.
Kita sebagai rakyat, perlulah terus memberikan kerjasama kepada Kerajaan dalam
apa juga usaha yang diambilnya.
Sambil
itu kita hendaklah tetap berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala serta percaya
kepada ketetapanNya betapa; “Sesungguhnya, pada setiap kesusahan itu akan datang
bersamanya kesenangan. Setiap kesusahan itu akan datang bersamanya kesenangan” –
Ayat 4 & 5, Surah Al-Insyirah.
Artikel
berikut ditulis adalah bersandarkan apa yang turut dikatakan di atas ini.
Alamaya, INDERA
MAHKOTA 5, KUANTAN
– Memang lumrah bahawa, dengan segala bantuan yang Kerajaan hulurkan demi
membantu rakyat terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan Kawalan (PKP)
bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, masih ada dalam kalangan
rakyat yang merungut.
Mereka
merungut sama ada langsung tidak menerima atau memanfaatinya ataupun, bantuan
itu terlalu sedikit dan tidak mencukupi berbanding sengsara dan keperitan yang
mereka hadapi.
Ini
disebalik Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin
Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250,000 juta (RM250 billion) yang daripadanya, kira-kira RM128,000 juta (RM128 billion) ialah untuk melindungi kebajikan mereka.
Tambahan
kepada itu, Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri turut mengambil daya-usaha
memperkenalkan pelbagai langkah dan inisiatif untuk saling melengkapi kepada
langkah Kerajaan Persekutuan itu.
Kerajaan
Negeri Pahang turut tidak terkecuali. Sehingga kini, Menteri Besar Dato’ Sri
Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan 28 inisiatif bagi membantu rakyat pelbagai
kaum serta latar kerjaya dan ekonomi bernilai hampir RM25 juta dan dimanfaati
lebih 100,000 keluarga di negeri ini.
MELONGGARKAN PERATURAN
DEMI RAKYAT
Inisiatif-inisiatif
ini termasuklah bantuan kewangan dan barangan dapur ke suluruh 542 kampung hinggalah
kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR)
Felda, dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baharu (JKKB).
Begitu
juga kepada golongan nelayan serta veteran tentera tidak berpencen dan
bekas-bekas polis. Turut tidak ketinggalan ialah kepada pemandu-pemandu teksi
dan pengusaha ‘e-hailing’, begitu juga pelajar – sama ada dalam dan luar
negara; yang tidak sempat pulang ke rumah masing-masing kerana PKP.
Sungguhpun
begitu, rungutan masih tetap kedengaran dan Kerajaan Negeri tetap mengambil
peduli mengenainya lalu memikirkan lagi apakah usaha lanjutan yang perlu
dilakukan, dengan mengambil kira kemampuan kewangannya.
Selain
rungutan tentang bantuan, ada pula yang mengadukan tentang pelaksanaan PKP itu
sendiri termasuk soal melonggarkan sedikit peraturan khususnya pada bulan
Ramadan Al-Mubarak ini.
Di
Pahang, ada dalam kalangan peniaga yang meminta misalnya, melanjutkan tempoh
kebenaran berniaga – bagi peniaga-peniaga daging di pasar awam; daripada pukul
7 pagi hingga 12 tengah hari kepada bermula 7 pagi hingga 2 petang.
KERAJAAN NEGERI
YANG RESPONSIF
Bagi
peniaga-peniaga premis makanan bukan Islam (setakat menjual secara COD - tunai
semasa penghantaran) pula, meminta mengekalkan tempoh operasi semasa PKP antara
7 pagi hingga 7 petang, daripada peraturan bermula 12 tengah hari hingga 7
petang.
Alasan
diberi oleh peniaga daging ialah, pelanjutan masa dua (2) jam membolehkan
peluang lebih besar untuk daging-daging mereka terjual setelah mengambil masa
lama untuk kerja-kerja melapah. Alasan oleh peniaga premis makanan bukan Islam
pula ialah bagi membolehkan makanan sebelah pagi mereka turut terjual.
Dengan
ini kata mereka, akan dapat menambahkan lebih sedikit pendapatan daripada
jualan harian masing-masing, yang sangat diperlukan dalam menempuhi keadaan
susah dan getir sekarang.
Atas
alasan-alasan itulah dan sebagai Kerajaan Negeri yang responsif dan mengambil
berat ke atas kebajikan mereka, permintaan-permintaan itupun ditunaikan dalam
kadar yang tidak lama selepas aduan dibuat.
Apa
sekalipun, inilah gambaran saling bertoleransi dalam kalangan rakyat kita dan
Kerajaan yang memerintah. Oleh itulah juga, situasi penularan wabak pandemik
COVID-19 di negara kita menurut kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Nor
Hisham Abdullah, sedang berada dalam tahap pemulihan, dan kita amat bersyukur
dengannya.
LAIN HALNYA DI
NEGARA ‘UNCLE SAM’
Perkara
yang sama nampaknya, tidak berlaku di luar negara khususnya di negara ‘Uncle
Sam’. Daripada Presidennya hinggalah kepada sebahagian besar rakyatnya, telah membantah
tindakan sesetengah negeri di bawah pentadbiran Gabenor, melaksanakan langkah
‘lockdown’ ke atas negeri-negeri berkenaan.
Maka
tidak menghairankanlah jumlah rakyat Amerika Syarikat yang positif dijangkiti
COVID-19, telahpun melepasi angka 1 juta beberapa hari lepas, dengan hampir
60,000 kematian.
Dalam
hal ini, saya tertarik dengan saling jawab-menjawab antara Gabenor New York,
Andrew Cuomo dengan wartawan dianggap pro-Presiden Donald Trump tentang
perlunya rakyat Amerika Syarikat kembali dibenarkan bebas bekerja berbanding
arahan Gabenor tersebut kepada penduduk New York supaya kekal duduk di rumah.
Ini
berlaku semasa persidangan media harian oleh Andrew Cuomo – yang sebelah
bapanya berketurunan imigran Itali, pada 22 April lepas. Saya petik kembali
serta terjemahkan apa yang disebut oleh kedua-duanya –
“Ini merupakan
rakyat biasa yang tidak ada pendapatan. Dan mereka berkata yang mereka tidak
mempunyai masa untuk menunggu bagi mendapatkan segala macam ujian dan mereka
perlu kembali bekerja supaya dapat menyara keluarga mereka,” kata wartawan
tersebut
APA YANG LEBIH
BURUK DARIPADA KEMATIAN?
“Maksud mereka
ialah, pemulihan (yang sedang diusahakan) mestilah tidak boleh lebih teruk
daripada penyakit itu sendiri. Apa kata Tuan kepada kata-kata mereka ini?” tanya wartawan
sama.
Respon
Andrew Cuomo ialah; “Penyakit ini ialah
(menjurus kepada) kematian! Apakah yang lebih buruk daripada kematian?”.
Tidak
mengalah, wartawan itu bertanya balik;
“Apa kata jika ada orang bunuh diri sebab tidak mampu bayar bil-bil mereka?”.
Andrew
Cuomo; “Tetapi, penyakit ini mungkin
menyebabkan kematian saya atau kematian kamu. Mereka kata (usaha-usaha)
pemulihan lebih buruk daripada penyakit ini. (Tetapi) penyakit ini bersamaan
dengan kematian. Takkanlah (usaha-usaha) pemulihan lebih buruk daripada
penyakit ini apabila penyakit ini berpotensi menyebabkan kematian?”.
Wartawan;
“Apa kata jika ekonomi yang gagal
bersamaan dengan kematian?”.
FAHAMILAH KONSEP ‘KITA’
Andrew
Cuomo; “Tetapi, ianya tidak demikian. Ia
(ekonomi yang gagal) tidak bersamaan kematian. Kesengsaraan ekonomi, ya, sangat
buruk (tetapi ia) bukan kematian. Tekanan emosi akibat terperap dalam rumah,
sungguh buruk (tetapi ia) bukan kematian. Keganasan rumahtangga semakin
bertambah, sangat buruk (tetapi ia) bukan kematian dan bukan juga (menyebabkan)
kematian orang lain”.
“Cubalah fahamkan
tentang konsep ‘kita’. Fikirkanlah tentang keluarga kita mengenai kemungkinan
anak-anak kita dijangkiti. Dan apabila kamu fikirkan tentang keluarga kamu
sendiri, kamu akan mempunyai perspektif yang berbeza”.
Mengambil
pengajaran daripada ini, bersama-samalah kita di negara dan negeri tercinta ini,
terus memberi kerjasama kepada Kerajaan dengan mematuhi apa juga arahan yang
dikeluarkan, yang akhirnya akan menentukan kesejahteraan dan keselamatan kita
bersama juga, insyaAllah. – Khabar