Thursday, 3 December 2020

Operasi penguatkuasaan ke atas tanah terokaan haram di Lembah Bertam berjalan lancar

“Alhamdulillah, setelah dua (2) hari, ianya telah berjalan dengan lancar dan ada antara mereka yang membuka sendiri khemah-khemah plastik dan tidak ada masalah yang besar kerana mereka memahami mereka meneroka tanah Kerajaan secara haram,” kata Menteri Besar.

OPERASI BERJALAN LANCAR... 


KAMPUNG MENSON, CAMERON HIGHLANDS – ‘Ops Bertam’ – operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penerokaan tanah secara haram yang sedang dilaksanakan di Lembah Bertam dekat sini, berjalan lancar.

“Alhamdulillah, setelah dua (2) hari, ianya telah berjalan dengan lancar dan ada antara mereka (peneroka) yang membuka sendiri khemah-khemah plastik dan tidak ada masalah yang besar kerana mereka memahami mereka meneroka tanah Kerajaan secara haram.

“Berbanding operasi penguatkuasaan di Sungai Ichat tahun lepas di mana kita mendapat bantahan yang begitu hebat daripada pihak peneroka haram tetapi di Lembah Bertam ini, tidak ada masalah, ianya berjalan dengan begitu baik,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di sini, melibatkan tiga (3) buah iaitu masing-masing satu (1) di Kampung Orang Asli Menson ini sendiri dan di Kampung Kuala Boh di bawah Dewan Negeri (DN) Tanah Rata, serta sebuah di Kampung Terakit di bawah Parlimen Cameron Highlands.  

Sehubungan itu, Dato’ Sri Wan Rosdy menyarankan kepada semua pihak agar tidak sesekali menerokai Tanah Kerajaan secara haram kerana ia sememangnya merupakan satu kesalahan.

KALAU ADA LAGI BERLAKU PENEROKAAN HARAM?

“… kalau ada (berlaku penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan di negeri ini), kita pasti akan meminta mengosongkan tanah tersebut,” tegasnya.

Menurut maklumat yang disediakan, keluasan ‘Ops Bertam’ atau juga dikenali Operasi Lestari 2 di Lembah Bertam dekat sini yang berlangsung seminggu sejak 1 Disember lepas, melibatkan 98 lot bekeluasan 34.7093 hektar.

Pecahan keluasan 34.7093 hektar tersebut ialah, 5.6152 hektar tanah Rizab Jalan, 17.4059 hektar Rizab Sungai, serta 11.6882 hektar Tanah Kerajaan.

Jumlah peneroka terbabit ialah 128 orang yang telah diberikan notis pertama pada 20 Januari 2020 dan notis kedua pada 27 Ogos 2020. Operasi yang sama sebelum ini ditangguhkan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Operasi penguatkuasaan kali ini menyasarkan kawasan terlibat dengan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat pada November 2014 sehingga mengorbankan nyawa, dengan mengambil tindakan penguatkuasakan bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negera, 1965.

TINDAKAN SUSULAN SELEPAS OPERASI PENGUATKUASAAN

Selepas selesai operasi penguatkuasaan ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands serta lain-lain agensi Kerajaan akan terus memantau aktiviti pertanian dan pembangunan di tanah tinggi tersebut.

Mekanisme pengawalan pembangunan Cameron Highlands yang ditambah baik juga akan diperkenalkan bagi memastikan aktiviti pertanian dan pembangunan dibuat menurut  undang-undang bagi mengelakkan insiden pencemaran yang berlaku sebelum ini.

Kerajaan Negeri juga telah mengadakan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MySA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), untuk menggunakan teknologi terkini termasuk data imej satelit, demi memantau aktiviti pertanian dan penerokaan tanah di Cameron Highlands.

Kerjasama ini termasuk mendapatkan bantuan MySA dalam membuat pemadanan lebihan usaha kawasan pertanian dan data pemilikan tanah di Cameron Highlands untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan lebih berkesan.

Sebuah unit khas dikenali ‘Remote Sensing Unit’ juga telah diwujudkan bagi memberi fokus kepada penggunaan teknologi terkini dalam tindakan pemantauan aktiviti pertanian dan penerokaan tanah. – Khabar