Thursday 3 December 2020

Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma untuk miskin tegar; Daripada sasaran 98 buah, ada yang sudah siap dan selebihnya dijangka siap tahun ini juga.

“Dan saya rasa ini tidak mustahil kerana di sini boleh siap; saya umumkan (26) Februari 2020 tentang RRP ini, tapi awal Disember sudah siap (atau hanya dalam tempoh 9 bulan),” kata Menteri Besar.

BANGGANYA DI DEPAN RUMAH RRP KAMPUNG KELEDEK... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan penerima ialah (dari kanan) Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato' Abdul Rahim Muda; Pegawai Daerah Lipis, Dato' Mohd Hafizi Ibrahim dan ADN (BN - Cheka), Encik Lee Ah Wong.   

 

KAMPUNG KELEDEK, LIPIS – Begitu seriusnya Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat miskin tegar untuk memperolehi rumah bernilai RM65,000 secara percuma di bawah program Rumah Rakyat Pahang (RRP), sehinggakan tempoh siap setiap 98 buah yang disasarkan di seluruh negeri dititik-beratkannya.

Natijahnya hari ini, Khamis, 3 Disember atau hanya kira-kira sembilan (9) bulan selepas RRP diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 26 Februari lepas, lima (5) buah daripada sasaran 98 buah telah siap dan diserahkan kunci kepada penerimanya.

Selain daripada dua (2) buah bagi Dewan Negeri (DN) kawasan Jelai yakni di Kampung Keledek ini sendiri dan di Kampung Serau; ialah dua (2) buah lagi di Kampung Menson dan Kampung Kuala Boh bagi DN Tanah Rata; dan sebuah (1) di Kampung Terakit bagi Parlimen Cameron Highlands   

Bakinya lagi 93 buah kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui wartawan pada Majlis Penyerahan Kunci RRP di Kampung Keledek ini, sebahagiannya sudah lebih 90 peratus siap dan dijangka siap tahun ini juga.

Kesemua 98 buah RRP yang disasarkan pembinaannya tahun ini bagi meliputi dua (2) buah bagi setiap 42 kawasan DN atau semuanya 84 buah, serta sebuah (1) bagi setiap 14 kawasan Parlimen atau semuanya 14 buah lagi.

LANCAR ALIRAN AIRNYA...

TAK NAK DENGAR PROJEK TERBENGKALAI

“Saya rasa ini tidak mustahil kerana di sini (Kampung Keledek) boleh siap; saya umumkan Februari 2020 tentang RRP ini, tapi awal Disember sudah siap (atau hanya dalam tempoh 9 bulan),” katanya.

“Dan ini (siapnya kesemua 98 buah dalam tahun ini juga) merupakan satu perkara yang saya sangat hargailah. Kita tak nak dengar projek terbengkalai, tak siap, ada masalah itu ada masalah ini sebagainya,” katanya lagi.

Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Jelai, turut menyatakan kebanggaan bahawa RRP di Kampung Keledek ialah yang pertama siap dan diserahkan kunci kepada penerima hari ini juga.

Beliau juga berkata, mereka yang layak sebagai penerima RRP ialah yang miskin tegar yang tersenarai dalam daftar e-kasih dan ditentukan oleh sebuah Jawatankuasa Penilaian yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah-Pegawai Daerah (DO) yang berkenaan.

RRP menurutnya, akan diteruskan pada tahun 2021 dengan setiap DN masih akan dibina dua (2) buah dan Parlimen, sebuah dengan terus memastikan pemantauan ketat agar yang dirancang siap menurut jadual.

BERAMAH MESRA DENGAN PELAJAR... Yang turut diadakan ialah penyerahan secara simbolik, insentif pembelajaran secara atas talian bagi calon-calon SPM 2020 Dewan Negeri Jelai yang jumlah kesemuanya, 141 orang. 

ARAHAN KEPADA DATO’ DO

“Januari (2021) terus bermula. Kita sudah bagi arahan supaya Dato’ DO akan terus menghubungi ADN-ADN di kawasan masing-masing dan ADN-ADN diminta bagi (senarai) nama penerima dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian yang dipengerusikan oleh Dato’ DO,” tegasnya.

Mengenai kemungkinan setiap kampung di negeri ini memperolehi RRP katanya, sememangnya hasrat Kerajaan Negeri begitu tetapi bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.

Di DN Jelai misalnya katanya, terdapat 14 buah kampung yang apabila Kampung Keledek dan Kampung Serau telah memperolehi RRP maka pusingan keduanya akan menyusul hanya setelah 12 kampung lain turut sudah menikmatinya.

“… kita nak ‘selerakkan’ (pembinaan RRP) ke semua kampung sebab saya percaya, ada kampung lagi yang ada penduduknya yang di bawah senarai e-kasih yang memerlukan rumah,” katanya.

Menurut maklumat disediakan, RRP bermatlamat menyediakan rumah yang selamat dan selesa secara percuma kepada golongan B40 yang tidak memiliki rumah atau rumah sedia ada berkeadaan daif dan tidak selamat diduduki.

MENGAMATI FOTO RUMAH USANG DIGANTI RRP DI KAMPUNG ORANG ASLI MENSON PULA... Mengiringi Dato' Sri Wan Rosdy dan kelihatan dalam foto ini ialah Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato' Ishak Md Napis.

DANA DARIPADA TABUNG PERUMAHAN RAKYAT PAHANG

Sumber kewangan RRP ialah Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) dan sumbangan Kerajaan Negeri dan keseluruhannya, peruntukan diluluskan bagi 98 buah RRP ialah sebanyak RM6.37 juta iaitu daripada TPRP sebanyak RM5.39 juta dan Kerajaan Negeri sebanyak RM980,000.

Kriteria kelayakan penerima pula antara lainnya ialah, mestilah disahkan miskin tegar atau miskin, dan berdaftar dalam bank data kemiskinan nasional atau e-kasih atau diperaku dan disahkan layak oleh mesyuarat Focus Group Daerah (FGD) atau Focus Group Negeri (FGN).

Penerima juga disahkan tidak mempunyai rumah atau rumah sedia ada diperakui usang, daif atau tidak selamat diduduki, dan penerima juga mestilah yang memiliki tanah sendiri atau sebahagian (yang perlu mendapatkan kebenaran pemilik tanah yang lain).

Spesifikasi bagi setiap RRP ini pula ialah jenis rumah sesebuah setingkat, berkeluasan binaan     750 kaki persegi, tiga (3) bilik tidur, masing-masing satu (1) ruang tamu, dapur dan ruang makan, serta dua (2) bilik air dilengkapi jubin seramik. 

RUMAH ASAL DIGANTIKAN DENGAN RRP... Asalnya, rumah diperbuat daripada buluh yang kelihatan amat usang maka sewajarlah penerima dihadiahkan dengan rumah konkrit dan lebih selesa, RRP. – Khabar