Friday 11 December 2020

Tambahan 90 juta liter sehari (MLD) menjelang akhir tahun 2022 bagi tampung keperluan air terawat Kuantan khususnya Gebeng

… Kerajaan Negeri perolehi pinjaman RM115 juta bagi projek pembinaan paip agihan air sepanjang 30 KM dari tangki Bukit Kolam, Kemaman ke tangki Bukit Pengorak, Gebeng.

 

SERAH-MENYERAH DOKUMEN PERJANJIAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy; yang turut kelihatan dalam foto tengah hari Jumaat ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak (berbaju Melayu); serta wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan ECERDC. 

 

PEJABAT ECERDC NEGERI, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Kuantan akan memperolehi tambahan 90 juta liter sehari (MLD) pada akhir tahun 2022 apabila siapnya projek pembinaan paip agihan air sepanjang 30 KM dari tangki Bukit Kolam, Kemaman, Terengganu ke tangki Bukit Pengorak, Gebeng dekat sini.

Dengan ini dapat memenuhi keperluan bekalan air terawat daerah ini khususnya kawasan perindustrian Gebeng di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 2, yang bakal menerima kemasukan pelaburan yang rancak termasuk dua (2) kilang bernilai pelaburan ribuan juta ringgit dan berkehendakkan bekalan air terawat yang banyak ketika itu (tahun 2022). 

Setakat ini, keperluan air terawat Kuantan termasuk kawasan perindustrian Gebeng, mampu ditampung oleh Loji Rawatan Air (LRA) Semambu berkapsiti 290 MLD, dan Kerajaan Negeri sudahpun memperolehi pinjaman lebih RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik-taraf LRA Semambu tersebut menerusi Fasa Ketiganya.

Bakal meningkatkan kapasitinya lagi 145 MLD menjadi keseluruhannya 435 MLD, namun projek penaik-tarafan ini dijangka hanya dapat siap pada tahun 2025 yang oleh itulah perlunya projek pengagihan air Bukit Kolam, Kemaman-Bukit Pengorak, Gebeng ini.

Projek pengagihan ini dimungkinkan menerusi pinjaman RM115 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang Majlis Menandatangani dan Pertukaran Dokumen mengenainya disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tengah hari Jumaat, 11 Disember di sini.

PADA MESYUARAT BIL 3/2020 JAWATANKUASA PELAKSANAAN DAN PENYELARASAN WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ICC ECER) NEGERI PAHANG...

TENDER KELUAR PADA MAC 2021

Tender bagi projek ini dijangka dikeluarkan pada Mac 2021 menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, “… kerja-kerja akan dimulakan pada Jun 2021 dan insyaAllah, akan siap pada akhir tahun  2022, mungkin November, mungkin Disember”.

“(Dengan) kapasiti 90 MLD, kita yakin dapat menyelesaikan masalah keperluan air (terawat) di Gebeng serta di Kuantan sekali. Maknanya, keadaan akan jadi jauh lebih baik daripada sekarang apabila projek ini siap nanti,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy kepada wartawan yang menemuinya kemudian.

Sehubungan itu, beliau ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan pinjaman RM115 juta tersebut dan direalisasikan menerusi Majlis Menandatangani dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Pinjaman ini.

Pengurus Besar Bahagian Pelaksanaan Projek ECERDC, Encik Arizan Arifin yang turut ditemui wartawan berkata, projek pengagihan air Kemaman-Kuantan bertujuan mengukuhkan lagi kapasiti bekalan air terawat yang telah sedia ada di Kuantan.

“… di Kuantan, bekalan airnya kebanyakan datang dari LRA Semambu, (dan) pihak PAIPpun akan ada projek ‘to upgrade’nya. Saya difahamkan, (sehingga) 300 MLD – ‘this is something’ PAIP akan buat tetapi akan siap pada tahun 2025.

MATLAMAT SERAMPANG DUA (2) MATA PROJEK

“Tapi, pada masa yang sama, kita ada investors yang akan datang ke MCKIP 2 yang sudah (dikira) ‘confirmed investors’ yang mempunyai keperluan air yang besar, selewat-lewatnya pada penghujung 2022.

“Itu satu. Kedua, kitapun nak wujudkan satu sistem bekalan air ‘alternative’ untuk kawasan ini (daerah Kuantan) sebab selama ini, semuanya (bekalan air terawat) datang dari LRA Semambu (yang) bila LRA Semambu ada masalah – ‘for example’ dulu (Empangan) Kobat ada masalah; there is no water in this area.

“So, ada dua (2) (matlamat projek pembinaan paip agihan air Kemaman-Kuantan); satu (1) ‘to support the existing supply of water’ kepada yang sedia ada, dan nombor duanya, untuk ada satu alternative sumber bekalan air,” katanya.

Menurutnya, tangki air Bukit Kolam, Kemaman mempunyai lebihan air terawat yang sebab itulah, hanya diperlukan ialah untuk sekadar membina paip sepanjang kira-kira 30 KM merangkumi 5 KM dalam daerah Kemaman dan 25 KM lagi dalam Kuantan termasuk stesen/pam penggalak di kawasan bergraviti rendah.

Saluran paip berkenaan kemudian katanya, akan disambungkan kepada sistem pembekalan air sedia ada bermula di Bukit Pengorak dekat kawasan perindustrian Gebeng, seterusnya dapat dibekalkan ke seluruh Kuantan.

PAIP AKAN URUSKAN SELEPAS ‘COMMISSIONING’

“Sekarang, ‘consultant’ kita dah ‘appoint’, ‘they are doing the design’. Kita harapkan bulan tiga (3) tahun depan kita boleh panggil tender, bulan enam (6) kita akan mula. ‘The construction period’ selama 18 bulan, ‘end of 2022’ akan siap,” katanya lagi.

Setelah siap termasuk melepasi tempoh ujian dan ‘commissioning’ kelak katanya, PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) sebagai tuanpunya aset, akan diserahkan tanggungjawab untuk menguruskannya.

Mengenai penglibatan ECERDC dalam projek ini kata Encik Arizan, sebelum ini, ia (ECERDC) sudah banyak terlibat dalam projek pembekalan air di negeri ini termasuk dalam pembinaan LRA Panching yang siap tahun 2013, dan LRA Ganchong yang siap baru-baru ini. – Khabar