Wednesday 23 December 2020

Terhapuskira/Novasi pinjaman/hutang RM2,074 juta (RM2.074 billion) oleh Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air.

… susulan termeterai tiga (3) perjanjian berkaitan di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang.

'MOMENTO' BUAT MENTERI... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menyampaikan cenderahati kepada Menteri, Dato' Sri Tuan Ibrahim yang sebenarnya ialah juga anak kelahiran Pahang.


DEWAN CASHMERE, HOTEL ZENITH, KUANTAN – RM2,074 juta (RM2.074 billion)! Inilah nilai pinjaman/hutang berkaitan pembekalan air terawat oleh Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, sama ada dihapuskira atau di‘novasi’kan susulan termeterai tiga (3) perjanjian berkenaan pada petang Rabu, 23 Disember di sini.

Ketiga-tiga perjanjian ini ialah Perjanjian Utama (Master Agreement ), melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Perjanjian Pajakan (Lease Agreement), melibatkan PAAB dan PAIP dan, Perjanjian Kemudahan (Facility Agreement), juga melibatkan kedua-dua PAAB dan PAIP.

Perjanjian-perjanjian ini terangkum di bawah usaha Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Pahang yang dengannya, Kerajaan Persekutuan meluluskan hapuskira pinjaman/hutang projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kira-kira RM1,001 juta (RM1.001 billion).

Baki pinjaman/hutang kira-kira RM1,073 juta (RM1.073 billion) lagi di‘novasi’kan (ENG; ‘novation’ – the replacement of one obligation by another by mutual agreement of both parties) lalu ditanggung kini oleh PAAB.

DATO' SRI SERTA HADIRIN SEKALIAN...

PAAB BERTANGGUNGJAWAB BIAYAI PERBELANJAAN MODAL

Sehubungan itu, aset-aset bekalan air dalam bentuk struktur seperti Loji Rawatan Air (LRA) dan tanah yang setara dengan nilai baki hutang kira-kira RM1,073 juta (RM1.073 billion), diberi milik kepada PAAB untuk selama 45 tahun.

Aset-aset bekalan air ini pula kemudian akan dipajakkan semula kepada PAIP, dan PAIP akan membuat bayaran sewa pajakan kepada PAAB selama tempoh 45 tahun juga.

PAAB pula dengan itu, akan membayar baki hutang Kerajaan Negeri sebanyak kira-kira RM1,073 juta (RM1.073 billion) tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh selama 25 tahun.

Selain itu, PAAB juga bertanggungjawab untuk membiayai perbelanjaan modal bagi projek-projek pembangunan berkaitan aset bekalan air baharu bagi Kerajaan Negeri.

Inilah antara lain butiran yang turut disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis menandatangani perjanjian-perjanjian berkenaan, juga diulanginya pada persidangan media kemudian.

MENYAKSIKAN... Kedua-dua Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Tuan Ibrahim, begitu juga Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi PAIP, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (berdiri, kiri sekali) dan Pengerusi PAAB yang juga Ahli Parlimen Rompin, Dato' Sri Hassan Ariffin; sedang menyaksikan majlis menandatangani ketiga-tiga perjanjian berkenaan melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak (duduk, dua dari kiri), Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Sri Ir Dr Zaini Ujang (duduk, dua dari kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (duduk, kiri sekali).

JBA JADI PAIP/KRONOLOGI

Sebagai langkah permulaan ke arah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang katanya, Kerajaan Negeri telah mengkorporatkan Jabatan Bekalan Air (JBA) menjadi PAIP pada 1 Februari 2012 lalu PAIP mengambil alih pengurusan dan pengoperasian berkaitan perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Pada 19 Julai 2013, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) ketika itu, telah menawarkan skim mengenai penstrukturan semula bekalan air negeri ini tetapi Kerajaan Negeri tidak bersetuju lalu Kerajaan Negeri meminta menangguhkannya.

Setelah tertangguh sekian lama dan susulan surat hasrat tawaran Penstrukturan Semula  Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang daripada Menteri Air Tanah dan Sumber Asli kemudiannya, pada 27 Ogos 2018 katanya;

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang beliau sendiri pengerusikan pada 29 Ogos 2018 selepas kira-kira tiga (3) bulan, dua (2) minggu menjadi Menteri Besar pada 15 Mei 2018, bersetuju menubuhkan sebuah Pasukan Khas.

Peranan Pasukan Khas ini ialah bagi merunding dan menguruskan langkah-langkah pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang dan diurusetiakan oleh Badan Kawal Selia Air (B.K.S.A), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

SIARAN BERITA 'PAGE LEAD' UTUSAN MALAYSIA KELUARAN KHAMIS, 24 DISEMBER...

RAKYAT DAPAT MANFAAT DENGAN KUALITI BEKALAN AIR LEBIH BAIK

“Akhirnya pada 6 September 2018, Kerajaan  Negeri melalui surat saya sebagai Menteri Besar kepada Yang Berhormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ketika itu, telah  memaklumkan persetujuan Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula industri Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Pahang.

“Setelah beberapa siri rundingan oleh Kerajaan Negeri bagi menghalusi deraf perjanjian-perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang, Kerajaan Negeri melalui mesyuarat MMK Negeri 28 Oktober 2020, telah bersetuju meluluskan deraf perjanjian-perjanjian ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Kepada rakyat sekalian katanya, manfaat besar juga akan diperolehi menerusi perkhidmatan bekalan air terawat yang lebih efisien susulan kini, PAAB sebagai sebuah agensi pusat; akan memainkan peranannya sebagai pemegang taruh utama dalam perkhidmatan ini di seluruh negara.  

Beliau seterusnya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan bersama melaksanakan Penstrukturan Industri Bekalan Air Negeri Pahang ini.

Ucapan terima kasih juga ditujukannya kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim serta pegawai dan kakitangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), begitu juga di pihak Kerajaan Negeri sendiri yang melibatkan Pasukan Khas berkenaan, serta banyak pihak yang terlibat. 

INI PULA BERITA TERSIAR PADA HALAMAN 7 AKHBAR BERITA HARIAN TERBITAN JUMAAT, 25 DISEMBER 2020... - Khabar