Friday 4 December 2020

Prestasi kutipan hasil sebenar negeri melangkaui jangkaan/anggaran sekali lagi

Jangkaan/anggaran hasil di bawah Belanjawan 2020 Negeri Pahang ialah RM744.02 juta tetapi hari ini, sudah perolehi hasil sebenar RM777 juta atau pencapaian 104.4 peratus!

SIJIL BUAT PEMENANG ANUGERAH... 


PADANG AWAM, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Sekali lagi – buat dua (2) tahun berturut-turut; kutipan hasil negeri sebenar melangkaui jangkaan/anggaran. Kutipan hasil sebenar setakat hari ini ialah RM777 juta iaitu, pencapaian 104.4 peratus berbanding RM744.02 juta sepertimana hasil dijangka/anggarkan di bawah Belanjawan Negeri 2020.

Sungguhpun begitu, masih berbaki 27 hari lagi menjelang akhir tahun, 31 Disember 2020 yang dengan itu dijangkakan, kutipan hasil sebenar akan bertambah lagi. Yang membanggakan, pencapaian ini ialah disebalik kesan tertentu pada sosio-ekonomi susulan pelbagai langkah ketat yang Kerajaan perkenalkan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 sejak Mac 2020. 

Kali pertama pencapaian lebih 100 peratus di bawah kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar sejak 15 Mei 2018, ialah pada tahun lepas, tahun 2019.

Hasil yang dijangka/anggarkan di bawah Belanjawan Negeri 2019 yang Dato’ Sri Wan Rosdy membuat pembentangan sulungnya pada Isnin, 19 November 2018 ialah RM703.8 juta, tetapi berjaya membuat kutipan sebenar pada akhir tahun tersebut sebanyak RM847.3 juta atau pencapaian 120 peratus.      

Dalam ucapan luar teks merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen ‘Let’s Do It Right’ anjuran PlanMalaysia@Pahang dengan kerjasama Majilis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan SWCorp Negeri pagi Jumaat, 4 Disember di sini, Dato’ Sri Wan Rosdy ada mengatakan mengenai hal berkaitan kutipan hasil negeri ini.   

BERSAMA NYANYIKAN LAGU NEGARAKU...

TERIMA KUTIPAN HASIL CUKAI TANAH PERSEKUTUAN RM31.7 JUTA

Diminta mengulas pada persidangan media, katanya; “Sebentar tadi, Pegawai Kewangan Negeri telah memaklumkan kepada saya bahawa, kita ada menerima kutipan hasil cukai tanah Persekutuan sebanyak RM31.7 juta, menjadikan kutipan hasil Kerajaan Negeri berjumlah RM777 juta”.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) kerana telah melunaskan cukai bagi tanah milik Persekutuan yang berada di negeri ini.

Sungguhpun begitu katanya, masih ada berbaki RM20 juta lagi yang beliau berharap Kerajaan Persekutuan khususnya PTP, dapat melunaskannya sebelum 31 Disember 2020 ini.   

Beliau seterusnya berterima kasih kepada pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta yang lainnya, atas kejayaan mengutip hasil sebenar melebihi daripada jangkaan/anggaran.

“Ini adalah satu kejayaan kita bersama dan insyaAllah, lebihan (daripada jangkaan/anggaran) ini kita akan gunakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya menjangkakan, ‘trend’ positif ini bakal turut diperolehi tahun depan (2021) jika semua pihak terus memainkan peranan masing-masing dalam usaha kutipan hasil termasuk menguar-uarkan kepada pihak berkenaan supaya menunaikan tanggungjawab membayar cukai masing-masing. 

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 18-MINITNYA... - Khabar