Friday 11 December 2020

Usaha serius bangunkan daerah-daerah Pahang Barat.

… termasuk cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus, serta menghidupkan kembali IADP Pahang Barat di bawah RMK-12.

“Oleh itu saya berharap, Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dapat memberi perhatian dan keutamaan untuk membangunkan lagi kawasan Pahang Barat,” kata Menteri Besar dalam kata alu-aluannya pada mesyuarat Bil 3/2020 ICC ECER Negeri Pahang.

MESYUARAT ICC ECER PAGI JUAMAAT INILAH, PERBINCANGAN KHUSUS TENTANG SOAL MEMBANGUNKAN DAERAH-DAERAH PAHANG BARAT DIPERINCIKAN...


PEJABAT ECERDC NEGERI, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Tidak dinafikan bahawa secara perbandingan, daerah-daerah di Pahang Barat lebih ketinggalan daripada daerah-daerah lain khususnya Kuantan yang kerana itu, Kerajaan Negeri kini menekankan keperluan untuk menyeimbangkannya.

Antara usaha-usaha itu ialah mencadangkan penubuhan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus serta menghidupkan kembali Program Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pahang Barat (1983 – 2006) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021 – 2025).

(Daerah-daerah Pahang Barat ialah Bentong (183,100 hektar), Raub (227,100 hektar), Lipis (519,800 hektar) dan Cameron Highlands (71,200 hektar), serta ‘Plus’ yang dirujuk kepada daerah Bera (221,400 hektar); keseluruhannya berkeluasan 1.22 juta hektar atau, kira-kira 34 peratus keluasan 3.6 juta hektar Pahang).

Ini sepertimana diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan Belanjawan 2021 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke-14, Isnin, 16 November lepas;

Diulanginya dalam kata-kata aluan pada mesyuarat Bilangan 3 2020 Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Pahang pagi Jumaat, 11 Disember di sini;

SEPERTIMANA TERSIAR PADA HALAMAN 17 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN KHAMIS, 24 DISEMBER 2020...

FOKUS PEMBANGUNAN PAHANG BARAT

“… fokus perbincangan kita akan tertumpu kepada cadangan pembangunan bagi kawasan di Pahang Barat, yang agak ketinggalan berbanding lain-lain daerah di Negeri Pahang menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan dan keusahawanan di Pahang Barat maka berlakulah penghijrahan penduduk dari sini ke kawasan lain.

“Oleh itu saya berharap, Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur) dapat memberi perhatian dan keutamaan untuk membangunkan lagi kawasan Pahang Barat”.    

Beliau seterusnya mencadangkan antara lain – usaha menarik lebih banyak peluang pelaburan yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan ; serta, melaksanakan projek-projek pembangunan berkaitan pelancongan dan pertanian di kawasan Pahang Barat ini.

Kedudukan Pahang Barat sebagai gerbang kemasukan pelancong ke negeri ini katanya, perlulah dimanfaatkan lagi bagi menarik kedatangan pelancong dari pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Sepertimana kita tahu, Pahang ialah pengeluar terbesar sayur-sayuran dan pengeluar terbesar kedua buah-buahan di Malaysia, dan Pahang Barat merupakan penyumbang terbesar pengeluaran buah-buahan termasuk durian, bernilai RM1.5 billion.

BERPOTENSI PROJEK PERTANIAN BERSKALA BESAR

“Ini bermakna, Pahang Barat sangat berpotensi untuk dibangunkan projek pertanian berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi terutamanya tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, serta ternakan,” katanya lagi.

Dalam hal ini, ECERDC sendiri telah merangka Pelan Strategik Pembangunan Pahang Barat berkaitan usaha membangunkan daerah-daerah Pahang Barat menerusi tiga (3) kluster ekonomi – pelancongan, pertanian dan infrastruktur.

Di bawah kluster ekonomi pelancongan; sasaran Pahang Barat ialah meningkatkan lagi pelancong domestik bagi kunjungan harian atau hujung minggu (day or weekend tripper) terutamanya dari Lembah Kelang.

Ini bukan sekadar tertumpu kepada kawasan tanahtinggi sedia popular seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands, malah ke tempat-tempat tarikan lain seperti kawasan pelancongan Eko Kembara bertemakan ‘Jejak Harimau Malaya’ (MTT; Malayan Tiger Trail) termasuk di jajaran landasan keretapi Merapoh, Lipis ke Gua Musang, Kelantan.

Menerusi inisiatif pelaburan swasta pula, pembangunan pelancongan di Bentong dan Raub khususnya di Jeram Besu misalnya, turut melibatkan pewujudan ‘high end eco resort’ termasuk kemudahan restoran dan kedai cenderamata.

INDUSRTI BIO-AROMATIK BERKAITAN WANGIAN

Di bawah kluster ekonomi pertanian; antara yang dicadangkan ialah projek perintis pembangunan industri bio-aromatik di Pusat Bio Herba, Technology Park Malaysia (TPM), Raub atas tanah/ladang seluas 20.23 hektar (50 ekar) yang akan diurus dan dibangunkan menerusi inisiatif pelaburan swasta.

Industri bio-aromatik ini berasaskan tanaman nilam (patchouli) memenuhi piawaian antarabangsa bagi pengeluaran produk wangian, minyak pati dan bahan perasa makanan; yang dapat memberi kesan limpahan hingga memanfaatkan penduduk setempat dan negara.

Pembangunan industri tenusu juga akan terus menjadi tumpuan di daerah-daerah Pahang Barat ini termasuk menjadikan kasasan ternakan tenusu berskala besar dan sederhana di kawasan padang ragut seluas 202.42 hektar milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Lipis.

Di bawah kluster ekonomi infrastruktur; tumpuan terus diberikan antaranya ke arah siapnya projek Central Spine Road (CSR) Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong sepanjang 347 KM.

Dengan siapnya projek ini, bakal membuka lebih banyak kawasan kepada pembangunan yang lebih pesat di sepanjang jajarannya, selain memudah dan memendekkan perjalanan antara satu destinasi ke satu destinasi yang berkenaan.

Selain itu, usaha menggalakkan kemasukan pelaburan ke daerah-daerah Pahang Barat yang sehingga kini (tempoh 2018 – November 2020), nilai pelaburan komited hanyalah kira-kira RM2,300 juta (RM2.3 billion) (daripada kira-kira RM10,170 juta/RM10.17 billion seluruh Pahang) yang daripadanya, RM1,920 juta (RM1.92 billion) tertumpu ke daerah Bentong. – Khabar