Wednesday 23 December 2020

Syukur dan tetap tegas hal penguatkuasaan

“Ini (ketegasan Kerajaan Negeri serta kerja-kerja penguatkuasaan ke atas penerokaan tanah haram) ialah sepertimana diambil dan terbukti berjaya di Sungai Ichat dan Lembah Bertam di Cameron Highlands,” kata Menteri Besar.

SYUKUR DAN KETEGASAN YANG SENTIASA KONSISTEN @ ISTIQOMAH... Foto ini dirakamkan pada sesi persidangan media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang petang Rabu, 23 Disember.
 

DEWAN CASHMERE, HOTEL ZENITH, KUANTAN – Bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan mengenai penerokaan tanah secara haram oleh pekebun-pekebun durian Musang King di Raub, serta ketegasan memulakan semula operasi penguatkuasaan ke atas kawasan/tanah terbabit.

“Pertama sekali saya berasa begitu bersyukur Alhamdulillah, terima kasih atas keputusan mahkamah dan insyaAllah, Kerajaan Negeri akan teruskan gerakan penguatkuasaan terhadap mereka yang meneroka tanah secara haram,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Pahang petang Rabu, 23 Disember di sini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada soalan wartawan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pagi tadi, menolak permohonan 204 pekebun terbabit untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan tanah berkenaan. 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Zainal Aznam memutuskan, pekebun-pekebun tersebut tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan itu ekoran kedudukan mereka sebagai penceroboh di tanah yang diteroka. 

Selain itu, Dato’ Zainal juga memutuskan bahawa notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah terlibat bukan satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah. 

SUDAH BERI MASA MENCUKUPI

Seramai 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lepas manakala bakinya, 94 pekebun membuat permohonan serupa pada 9 September, menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Negeri, Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Pada prosiding itu, semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Puan Noor Fadzila Ishak.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri yang didakwa memberi pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Mereka juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Kepada soalan lanjutan wartawan kemungkinan Kerajaan Negeri memberi tempoh masa tertentu untuk memulakan semula operasi penguatkuasaan kata Dato’ Sri Wan Rosdy, “Kita dah bagi masa yang sangat-sangat mencukupi.

EXCO PUTUSKAN OPERASI PENGUATKUASAAN DALAM KADAR SEGERA

“(Oleh itu, operasi penguatkuasaan semula akan dibuat) pada bila-bila masa. Dalam mesyuarat Exco tadi bila kita dapat tahu keputusan ini, Exco bersetuju supaya tindakan penguatkuasaan diambil dengan kadar yang segera”.

“Ini (ketegasan Kerajaan Negeri serta kerja-kerja penguatkuasaan ke atas penerokaan tanah haram) ialah sepertimana diambil dan terbukti berjaya di Sungai Ichat dan Lembah Bertam di Cameron Highlands,” katanya lagi.

Menurutnya, ketegasan dan operasi penguatkuasaan di Sungai Ichat misalnya – sungguhpun mendapat bantahan segelintir pekebun/pihak termasuk kes dibawah ke mahkamah kemudian menarik balik; telah menyebabkan alam sekitar khususnya sungai yang tercemar teruk di situ, kembali pulih sepenuhnya. – Khabar