Saturday 11 April 2015

"In-sya-Allah, we'll win"



… jangkaan Dato’ Sri DiRaja Adnan mengenai Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Rompin pada 5 Mei nanti

MEMANDU-UJI KERETA SOLAR... Dato' Sri DiRaja Adnan tidak melepaskan peluang, memandu-uji kereta solar rekaan penuntut-penuntut kejuruteraan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang turut dipamerkan sempena Program Bersama Komuniti TNB ini. 
 

DATARAN ILMU, RANCANGAN TANAH FELDA CHEMOMOI, BENTONG – Berasaskan beberapa faktor termasuk perkhidmatan baik Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis sebelum ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menjangka, Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kerusi pada Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Rompin pada 5 Mei nanti.

“Rompin tak ada masalah. Allahyarham (Tan Sri Dr Jamaluddin, telah) kerja kuat (dalam memberi perkhidmatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu, sebelum ini).

“Kemudian itu, pemimpin-pemimpin UMNO, ahli-ahli (UMNO Bahagian) Rompinpun bersepakat,” kata Menteri Besar itu yang juga Pengerusi bagi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan BN Negeri.

“In-sya-Allah, we’ll win,” katanya lagi, ketika menjawab soalan wartawan mengenai PRK tersebut, pada persidangan media sempena Program Bersama Komuniti TNB 2015 Peringkat Negeri pada pagi Sabtu, 11 April, di sini.

“But, it’s (more on) the question of majority (that could be garnered), and also, based on the turnout. Kalau ramai keluar mengundi, in-sya-Allah (BN boleh menang dengan majoriti besar),” katanya lagi.

ALATAN ELEKTRIK BUAT PEMENANG CABUTAN NAMA BERTUAH... Selain cabutan nama bertuah, sumbangan TNB sempena pogram hari Sabtu ini termasuk juga tujuh (7) unit 'Arabian Canopy' kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Chemomoi; serta, bantuan kepada 12 orang pesakit kronik dalam kalangan penduduk di Rancangan Tanah Felda Chemomoi ini. 


CALON DIPILIH BERDASARKAN MAKLUM-BALAS AKAR-UMBI

Menurutnya, beliau telahpun mempunyai idea sendiri ke arah memastikan ‘turnout’ atau jumlah keluar mengundi yang ramai pada PRK kali ini, tetapi mahu turut mendengar pendapat rakan-rakannya yang lain dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Bahawa, hari pengundian 5 Mei, Selasa, merupakan hari bekerja lalu boleh menjejaskan ‘turnout’ tersebut katanya, ia bukanlah perkara luar biasa kerana pernah juga ada PRK sebelum ini yang diadakan pada hari-hari berkenaan. 

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan mengenai calon yang bakal BN turunkan kali ini, yang menurutnya, akan dipilih berdasarkan maklum-balas yang diterima dari peringkat akar-umbi.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan betapa pihak-pihak tertentu akan mencalonkan nama-nama tertentu, yang menurutnya, merupakan perkara biasa dalam menghadapi satu-satu pilihanraya.  

“Saya percaya, semua orang boleh agak calonnya siapa. Ha… nak khabar begitu sahaja. Saya percaya, semua orang boleh agak calonnya siapa. Ha… itu terpulanglah,” katanya lagi sebagai menjawab soalan yang masih berlegar tentang calon tersebut.

PEMIMPIN KITA YANG JUGA SEORANG YANG 'ICT-SAVVY'... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang diberi penerangan mengenai sesuatu menerusi 'gadjet' ICT terkini oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Pelanggan, TNB Pahang, Cik Rozianis Mohd Nor sambil Dato' Ir Sharuddin (berdiri di tengah) dan Dato' Azhar (kanan sekali) memerhatikan.   
 

ISU GST ; AKAN ADA KESAN SIKIT

Mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan katanya, isu-isu nasional mungkin tidak begitu mempengaruhi pengundi Rompin sementelah ia lebih merupakan ‘rural-based area, rural-based voters’.

Bagaimanapun, isu nasional berkaitan penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lepas katanya, mungkin “… itu ada kesan sikit (sebab) orang (ramai) tak faham…”.

“Bagilah masa sesetahun-dua… (untuk lihat kesan baiknya pengenalan GST). Kalau nak tunggu masa sesuai (untuk menguatkuasakannya), bila masa sesuainya. Memang tak pernah (nak dapat masa) sesuai,” katanya lagi.

“I think (issues surrounding the implementation of)  GST might in a way, have some effects (on the outcome or the majority that could be gained by BN candidate at this Rompin by-election). So, we need to explain,” tegasnya.

Berhubung dengan isu-isu tempatan pula, beliau percaya, isu-isu berkaitan tanah termasuk soal geran tanah, perumahan dan masyarakat Orang Asli, akan terus ditimbulkan dan BN boleh tanganinya.

HADIRIN PAGI SABTU... 
 

DATO’ SRI HISHAM DIJEMPUT HADIRI MESYUARAT KHAS

Dalam pada itu, apa-apa projek yang belum terlaksana yang sebelum itu merupakan permintaan penduduk di sana kepada wakil rakyat mereka kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, akan cuba Kerajaan BN laksanakan menurut kemampuan.

Beliau juga memberitahu bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin disusuli Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Negeri pada Selasa, 14 April ini di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Naib Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Sri Hishammudin Hussein yang ditugaskan untuk menyelia PRK kawasan Rompin katanya, turut dijemput hadir khususnya pada Mesyuarat Khas itu yang bakal membincangkan mengenai PRK tersebut.

Kepada soalan wartawan mengenai persiapan jentera BN bagi mengahadapi PRK itu katanya;

“Oh, ini perkara biasa. Pilihanraya kita dah banyak kali dah. PRK di Pahang ini dah kali kelima. Sejak saya jadi Menteri Besar, ini kali kelima PRK, tak ada masalah...

“Bila kita (selesai) bermesyuarat nanti, jentera akan bergeraklah”.

SIAPA PANDU KERETA 'BATMAN'?... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memandu-uji kereta solar berkenaan, melalui beberapa batang jalan dalam rancangan tanah Felda ini.


TNB BELANJA RM139 JUTA UNTUK SELURUH PAHANG

Dalam ucapan luar teks 25-minitnya ketika merasmikan Program Bersama Komuniti TNB 2015 Peringkat Negeri, beliau antara lain menyebut tentang peruntukan RM139 juta yang telah TNB khaskan untuk tahun kewangan 2014/2015 bagi penyediaan infrastruktur, rangkaian kabel dan pencawang-pencawang di negeri ini.

Untuk daerah Bentong sahaja katanya, beberapa lagi projek sedang TNB laksanakan yang kesemuanya menelan belanja kira-kira RM27 juta.

Beliau turut mengucapkan tahniah atas kejayaan TNB mencatatkan tempoh gangguan bekalan di seluruh negeri ini ke tahap terendah pada tahun lepas (2014), iaitu hanya selama 66.02 minit bagi setiap pengguna untuk setahun.

Selain Pengurus Besar Negeri (Pahang), Bahagian Pembahagian, TNB, Dato’ Ir Sharuddin Mohd Simin; antara yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; dan, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Encik Mohammad Shahid Ismail;

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor; Ketua Kawasan, Suruhanjaya Tenaga Pahang, Che Aziz Abdullah; dan, Pengurus, Rancangan Tanah Felda Chemomoi, Encik Ahmad Kamal Hussain. 

MELAYANI SOALAN-SOALAN WARTAWAN... Sungguhpun panas terik, Dato' Sri DiRaja Adnan masih mahu melayani wartawan dengan mengadakan persidangan media secara spontan di bawah pondok berdekatan. 

Sepertimana diduga, soalan banyak tertumpu kepada hal berkaitan PRK kawasan Rompin yang mana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah umumkan semalam, Jumaat, 10 April bahawa, hari penamaannya ditetapkan pada Rabu, 22 April disusuli hari pengundian awal pada 30 April dan hari pengundian pada Selasa, 5 Mei. 

Jumlah pengundi berdaftar untuk PRK kawasan Rompin ini seperti yang dinayatakan oleh SPR juga, ialah seramai 53,294 orang. – Khabar