Saturday, 18 April 2015

"... yakinkan para pemilih bahawa Barisan Nasional masih lagi boleh memberikan calon lebih baik dari parti-parti lain," kata Dato' Sri DiRaja Adnan



DALAM UCAPAN RINGKAS LUAR TEKS 5-MINITNYA... Ucapan ringkas ini sebagai 'prelude' kepada ucapan luar teks 26-minit Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin yang kemudian mengumumkan nama calon BN - Dato' Hasan Ariffin, pada dua (2) minit terakhir ucapannya itu.  


PUSAT OPERASI BARISAN NASIONAL (BN), MUADZAM SHAH, ROMPIN – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahu usaha digerakkan oleh ahli-ahli Barisan Nasional (BN) bagi meyakinkan pengundi tentang calon pilihannya yang lebih baik daripada saingannya dalam menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin ini.

“In-sya-Allah, dalam Pilihanraya Kecil kali ini,” katanya, “… kita telahpun berjanji dalam beberapa mesyuarat termasuk mesyuarat tadi yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri sendiri;

“… (yang) kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk meyakinkan para pemilih bahawa Barisan Nasional masih lagi boleh memberikan calon lebih baik dari parti-parti yang lain”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi bagi kedua-dua Badan Perhubungan UMNO Negeri dan BN Negeri berkata demikian dalam  ucapan luar teks ringkas 5-minitnya pada Majlis Pengumuman Calon BN Bagi PRK Parlimen kawasan Rompin tengah hari Sabtu, 18 April, di sini.

Menurutnya lagi, “Kita telah mengaturkan segala gerak-kerja dan kita percaya dengan pelaksanaan gerak-kerja yang teratur ini in-sya-Allah, kita akan dapat memanfaatkan sepenuh masa, tenaga dan usaha;

SUASANA SEBELUM MESYUARAT TERTUTUP BERSAMA PEMIMPIN UMNO BAHAGIAN ROMPIN BERMULA... Tempatnya ialah di tingkat 1, Pejabat UMNO Bahagian Rompin, Muadzam Shah. 
  

YAKINKAN BAHAWA BN BOLEH LAGI BERI KHIDMAT LEBIH BAIK

“… bagi kita meyakinkan pengundi-pengundi dalam Parlimen Rompin ini iaitu, kita masih lagi mewakili bahkan boleh berikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat dalam Parlimen Rompin ini”.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata betapa tempat untuk menjadi calon BN hanyalah satu sedangkan yang layak – “bahkan semua daripada kita ini layak,” katanya, adalah lebih daripada itu.

Oleh itulah beliau berharap, seluruh pemimpin dan ahli UMNO serta BN Bahagian Rompin, akan dapat memberikan sokongan yang kuat kepada calon yang dinamakan oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita berjanji untuk kita bekerja kuat, bekerja bersungguh-sungguh dan kita berharap, sesiapa calon yang akan dicalonkan nanti, ianya tidak akan melemahkan parti, memecah-belahkan parti;

“… bahkan in-sya-Allah, Bahagian Rompin yang terkenal dengan stabil ini, in-sya-Allah akan terus stabil, bagi kita menghadapi pilihanraya kecil ini dengan lebih yakin lagi,” katanya yang disusuli tepukan hadirin dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan BN Bahagian Rompin ini.

TANDA SOKONGAN PEMUDA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang mengatakan sesuatu kepada Penolong Setiausaha, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Mohd Safri Abdul Aziz, yang juga bekas wakil rakyat negeri (BN - Bukit Ibam) sambil Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Encik Khairul Azwan Harun (berbaju-T biru) memerhatikan.  

Foto ini dirakam semasa berjalan keluar dari Masjid Al Muadzam Shah, selepas menyempurnakan Majlis Tahlil bagi Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis. 


PERSETUJUAN SEMUA

Beliau kemudian bertanya; “Saya nak tanya; Kita bersetuju dengan siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti?,” yang dijawab hadirin secara spontan dan senada, “Setuju…”.

“Kita akan bekerjasama, bekerja bersungguh-sungguh untuk menangkan calon parti?” tanya Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, juga mendapat reaksi yang mengujakan daripada mereka, “Setuju…”. – Khabar