Thursday 9 April 2015

KDYMM Sultan Pahang ziarah pusara Allahyarham Tan Sri JJ



DALAM KESEDIHAN DAN KESAYUAN... Nyata sekali betapa sedihnya Baginda. Yang turut kelihatan - selain Dato' Sri DiRaja Adnan ialah YAM Tengku Puteri Lela Wangsa serta anak lelaki Allahyarham, Encik Ikhwan Hafiz.
 

MAKAM PAHLAWAN, MASJID NEGARA, KUALA LUMPUR – KDYMM Sultan Pahang telah perkenan mencemar duli, berangkat menziarahi pusara Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis pagi Khamis, 9 April di sini.

Menurut laporan berita BERNAMA, Baginda tiba pada 9.10 pagi, disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; serta, Menteri Pertahanan Dato’ Sri Hishammuddin Hussein.

Baginda kemudian, turut menyertai bacaan tahlil dan yasin dipimpin oleh Mufti Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Osman.

Yang turut berangkat ialah anakanda-anakanda Baginda – YAM Tengku Muda Pahang, serta, YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang.

Balu kepada Allahyarham Jamaluddin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan anak lelaki tunggal, Encik Ikhwan Hafiz turut sama.

Begitu juga dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim; serta, anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri.

YANG TURUT NAHAS

Allahyarham Tan Sri Jamaluddin – wakil rakyat parlimen Rompin dan Pengerusi, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), merupakan seorang daripada enam mangsa yang terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang mereka naiki terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4.55 petang Sabtu, 4 April lepas.

Turut maut dalam nahas itu ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Dato’ Azlin Alias; ahli perniagaan Dato’ Tan Huat Seang; pengawal peribadi kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin, Koperal Razkan Seran; juruterbang. Kapten Clifford William Fournier; dan, kenalannya warga Kyrgyzstan, Aidana Baizieva.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang dari Bandar DiRaja Pekan ke Kuala Lumpur, selepas menghadiri kenduri kahwin anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev. – Bernama