“Saya
perhatikan, kempen di Rompin ini saya anggap pada tahap sederhana kerana nilai
sosio-budaya masyarakat Pahang dan Rompin ini berbeza sedikit dengan di bandar,” kata Dato’ Sri
DiRaja Adnan.
MERAIKAN KETIBAAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang diiring masuki Dewan oleh Encik Gandesan serta yang lain. Sungguhpun tempoh berkempen sudah separuh jalan, kecergasan dan keceriaan Menteri Besar terus terserlah seperti terpancar pada foto ini.
SEKOLAH JENIS
KEBANGSAAN CINA (SJKC) ROMPIN, KUALA ROMPIN – Sesudah memasuki hari ketujuh
atau separuh daripada tempoh 13-hari berkempen bagi Pilihanraya Kecil (PRK)
Parlimen kawasan Rompin ini;
Kempen
yang dijalankan sama ada oleh Barisan Nasional (BN) mahupun lawannya PAS, masih
pada tahap sederhana sepertimana pemerhatian oleh Menteri Besar Dato’ Sri
DiRaja Adnan Yaakob.
Ia
sedemikian rupa kerana faktor nilai sosio-budaya yang ketara antara masyarakat
Pahang termasuk di Rompin ini, dengan di kawasan-kawasan bandar seperti di
pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Saya
perhatikan, kempen di Rompin ini saya anggap pada tahap sederhana kerana nilai
sosio-budaya masyarakat Pahang dan Rompin ini berbeza sedikit dengan di bandar.
“Kita ini, kalau
guna perkataan Bahasa Inggeris – ‘Peace Loving People’. Kita ini bukan ‘violent’,
bukan kasar. Jadi kempen kita kita jalan macam biasa,” kata Dato’ Sri
DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, BN Negeri.
SEPERTIMANA LAZIM, DATO' SRI DIRAJA ADNAN SANGAT BERSAHAJA DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 19-MINITNYA...
“JADI UNTUK ITU,
BARISAN NASIONALLAH”
Beliau
berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas hadir merasmikan Minggu
Perpaduan Negeri Pahang 2015 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional malam Selasa, 28 April di sini.
Sepertimana
juga dengan BN katanya yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, PAS
turut menjalankan kempen rumah ke rumah selain daripada penganjuran ceramah-ceramah
secara yang kecil-kecilan sahaja.
Bagaimanapun,
daripada segi kelicinan jentera antara kedua-duanya menurut Dato’ Sri DiRaja
Adnan lagi, jentera pilihanraya BN agak lebih licin berbanding saingannya itu,
PAS.
“Tapi saya yakin
dan percaya, seperti yang saya berucap sebentar tadi – saya tidak memaksa
mereka (para hadirin) mengundi tapi menggunakan akal fikiran untuk memilih
kestabilan dan juga keharmonian.
“Jadi untuk itu,
Barisan Nasionallah,”
katanya lagi.
TERUS CUBA
TERANGKAN, CUBA ‘RATIONALISE’KAN
Beliau
seterusnya mengakui betapa isu yang dibangkitkan dalam tempoh seminggu yang
lepas ini, memang banyak yang memerlukan jentera BN menanganinya menerusi penjelasan
dan penerangan yang terus diberikan.
Beliau
memberikan contoh isu Felda termasuk yang berkaitan kebajikan generasi kedua,
yang berdasarkan pemerhatian katanya, pihak-pihak berkenaan telah memberikan
penerangan yang baik sehingga boleh diterima oleh rakyat.
“Begitu juga soal
GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)… Kita di mana-mana (sahaja), cuba
menerangkan dan kita cuba ‘rationalise’kan dengan orangramai.
“Yang pentingnya,
kita minta mereka (rakyat) berfikir. Kita tak boleh paksa mereka tapi kita
minta mereka berfikir untuk memilih manakah alternatif yang paling baik –
Barisan Nasional ataupun PAS,” katanya lagi.
Beliau
turut ditanya tentang jangkaannya kini terhadap sokongan masyarakat Cina kepada
BN yang menurutnya, hanya boleh diketahui sebenar-benarnya pada hari pengundian
kelak.
REAKSI PENGUNDI
CINA AGAK BAIK
Sungguhpun
begitu, “Reaksi (masyarakat Cina) nampak
agak baik. Mereka juga hanya ingin dihargai dengan cara mereka didekati, kita mendengar
masalah mereka. Ini juga saya perhatikan di sini, majlis yang dianjurkan juga
(terima sambutan) agak baik.
“Sebentar lagi
saya akan ke Bilik Gerakan MCA Bahagian Rompin untuk menengok persiapan. Saya nampak
baiklah (reaksi terhadap BN),” katanya.
Kepada
soalan mengenai kemungkinan Kerajaan Negeri mengisytiharkan Hari Pengundian PRK
ini pada Selasa, 5 Mei sebagai cuti umum katanya, perkara tersebut akan dibawa
berbincang dan diputuskan pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pagi esok, Rabu,
29 April.
“Memang kita
ada, kita katakan pemikiran ke arah itu (mengisytiharkan cuti peristiwa pada
tareikh tersebut). Kita akan bincangkan, kita akan putuskan esok,” katanya ringkas.
Antara
yang turut hadir pada majlis perasmian Minggu Perpaduan Negeri Pahang 2015 ini
ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Muhamad; ahli Exco Kerajaan Negeri Dato' Mohd Johari Hussain yang juga wakil rakyat setempat (BN _ Tioman);
Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Encik Gandesan Letchumanan; serta, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar
Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Encik Gandesan Letchumanan; serta, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar