“Patik
pacal-pacal sekalian, mempunyai keyakinan yang teramat tinggi, bahawa, Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap berjaya di singgahsana takhta kesultanan negeri
Pahang Darul Makmur dengan penuh kebesaran dan kedaulatannya,” kata Menteri
Besar.
BALAIRUNG SERI,
ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy
Wan Ismail menzahirkan keyakinan tingginya terhadap pemerintahan KDYMM Sultan
Pahang Ke-VI, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni
Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah.
“Patik
pacal-pacal sekalian, mempunyai keyakinan yang teramat tinggi bahawa, Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap berjaya di singgahsana takhta kesultanan
negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh kebesaran dan kedaulatannya,” katanya.
Beliau
menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan kira-kira 10-minitnya – Ikrar
Taat Setia mewakili Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri; Wakil
Rakyat-Wakil Rakyat; Pegawai-pegawai Kerajaan; Badan-badan Berkenaan serta
Rakyat Seluruh Negeri Pahang Darul Makmur.
Ini
bersempena dengan Istiadat Pemasyhuran KDYMM Sultan Abdullah sebagai KDYMM
Sultan Pahang Ke-VI pada pagi Selasa, 15 Januari di sini.
Dato’
Sri Wan Rosdy seterusnya berkata, KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah
Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentunya mempunyai pendekatan-pendekatan
tersendiri yang bakal Baginda laksanakan kelak.
PENDIRIAN JELAS
DAN TEGAS
“Malah, daripada
segi peranan Raja-raja Melayu sendiri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku
mempunyai pendirian yang bukan sahaja jelas tetapi tegas.
“Ini sepertimana
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku titahkan ketika diwawancara oleh sebuah
majalah tempatan pada tahun 2008.
“Patik mohon
memetik antara titah tersebut - “Sudah tentu peranan Raja-raja bukanlah
semata-mata menjadi ‘figure head’ tetapi yang lebih penting ialah sebagai
‘custodian of the state, protector of Malay rights and figure head of all
races”.
“Dalam hal ini,
bukan kaum Melayu sahaja yang berasa kepentingan mereka dilindungi, malah semua
kaum juga, termasuk Cina, India dan Orang Asli.
“Pemasyhuran Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Pahang Ke-6 ini pada hari ini,
disambut baik oleh setiap kaum sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli,” katanya lagi.
UCAPAN PENUH
Berikut
disiarkan sepenuhnya ucapan oleh Menteri Besar;
Pada
hari yang penuh bersejarah ini, Patik merafakkan puji dan syukur yang tidak
terhingga, ke hadrat Allah Subahanhu Wata’ala, kerana atas kehendak dan izinnya
juga, Patik serta pacal-pacal sekalian, telah dapat menyaksikan Istiadat Pemasyhuran
Sultan Pahang yang Ke-6, Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in
Billah.
Sesungguhnya
telah terjadi kehendak dan iradah Allah Subhanahu Wata’ala, telah ditentukan
olehNya, masa dan waktunya, tempat dan keadaannya.
Maka,
marilah bersama-sama memuji Allah Subhanahu Wata’ala atas kehendaknya,
ditakdirkan Patik pacal-pacal serta rakyat-jelata sekalian, dikurniakan seorang
Raja tempat bernaung dan berteduh; antara anugerah Allah yang terbaik dalam
hidup, betapa besar kesyukuran atas nikmatnya yang tidak terhingga ini.
Pepatah
orang tua-tua ada mengatakan – ‘Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’.
Inilah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang menjadi kebanggaan Patik,
pacal-pacal serta rakyat-jelata sekalian. Pantang mendengar kesusahan rakyat,
keperitan rakyat; Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan segera hadir untuk
berdamping dengan rakyat-jelata.
RAJA, RAKYAT,
SEHATI SEJIWA
Ini
sangat menepati dengan apa yang telah sebati dengan sikap Keluarga Diraja di
negeri ini, betapa ‘Raja, Rakyat, Sehati Sejiwa; Raja, Rakyat, Berpisah Tiada’.
Tentunya
apa yang dilakukan oleh Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah
Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah, telah menjadi
teladan yang utama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Patik
dengan ini menyeru, kepada pacal-pacal sekalian yang hadir, agar menadah
tangan, bermohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar Keluarga Diraja yang
tercinta, dipelihara Allah Subhanahu Wata’ala, dirahmatinya dunia dan akhirat.
Izinkan
patik mengambil ruang dan peluang ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi
tahniah di atas pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Pahang
yang ke-6, dengan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan
kesejahteraan dan ilham kebijaksanaan sepanjang mentadbir negeri tercinta ini.
Patik
dan hamba rakyat sekalian, berikrar dan berjanji, untuk terus setia di bawah
pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan berjanji untuk
menggembleng segenap tenaga bagi memastikan kedaulatan negeri ini sentiasa
terpelihara.
PEMERINTAHAN
TERUS KEKAL CEMERLANG
Patik
serta sekalian rakyat-jelata, sesungguhnya berasa sangat bertuah kerana kini
dapat bernaung pula, di bawah payung pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Ini
sepertimana juga bertuahnya patik, pacal-pacal serta rakyat jelata sekalian,
dapat bernaung di bawah payung pemerintahan Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah
Al-Musta‘in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah,
selama ini.
Patik
percaya, pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan terus kekal
cemerlang sepertimana cemerlangnya pemerintahan Paduka Ayahanda terdahulu.
Dengan
kecemerlangan ini, insyaAllah, negeri Pahang dapat terus makmur dan rakyat Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku, akan kekal sejahtera.
Sesungguhnya,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri telahpun sekian lama, dilantik
sebagai Pemangku Raja Pahang, termasuklah selama lima (5) tahun, ketika Paduka Ayahanda
bersemayam di Istana Negara, sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
PENGALAMAN
SEBAGAI PEMANGKU RAJA
Dengan
pengalaman-pengalaman tersebut Patik percaya, telah membuatkan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Tuanku amat berpengalaman, dalam mengendalikan urusan sebagai Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Sehubungan
dengan itu, Patik pacal-pacal sekalian, mempunyai keyakinan yang teramat tinggi
bahawa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap berjaya di singgahsana
takhta Kesultanan Negeri Pahang Darul Mmakmur dengan penuh kebesaran dan
kedaulatannya.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku tentunya nanti mempunyai pendekatan-pendekatan
tersendiri yang bakal Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku laksanakan kelak.
Malah,
daripada segi peranan Raja-raja Melayu sendiri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku
mempunyai pendirian yang bukan sahaja jelas tetapi tegas.
Ini
sepertimana Kebawah Duli Yang maha mulia tuanku titahkan ketika diwawancara
oleh sebuah majalah tempatan pada tahun 2008.
‘CUSTODIAN OF
THE STATE’
Patik
mohon memetik antara titah tersebut - “Sudah tentu peranan Raja-raja bukanlah
semata-mata menjadi ‘figure head’ tetapi yang lebih penting ialah sebagai
‘custodian of the state, protector of Malay rights and figure head of all races”.
Dalam
hal ini, bukan kaum Melayu sahaja yang berasa kepentingan mereka dilindungi,
malah semua kaum juga, termasuk Cina, India dan Orang Asli.
Pemasyhuran
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Pahang Ke-6 ini pada hari
ini, disambut baik oleh setiap kaum sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
Mengenai
Melayu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selalu menitah-ingatkan mereka
supaya kekal bersatu-padu, tidak bertelagahan sesama sendiri, apatah pula jika
puncanya ialah politik.
Sesungguhnya,
Patik pacal-pacal sekalian, sangat bertuah kerana dapat tinggal di negeri Pahang
Darul Makmur di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dengan aman
dan damai.
TUANKU SEBAGAI
FAKTOR PENYATU
Ini
dimungkinkan oleh pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai
faktor penyatu, atau ‘unifying factor’ dalam kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku yang berbilang kaum, agama dan latar belakang ekonomi.
Sehubungan
itu juga, keadaan keselamatan adalah terkawal sama ada yang dapat dilihat
secara lahiriah mahupun menerusi rekod, statistik yang membuktikan kadar
jenayah sentiasa rendah berbanding negeri-negeri lain.
Patik
pacal-pacal sekalian sentiasa sahaja bersyukur atas nikmat hidup selamat dan
sejahtera ini. Moga-moga ia akan akan kekal selamat dan sejahtera untuk
selama-lamanya.
Bersempena
Istiadat Pemasyhuran ini, Patik mewakili Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Wakil-wakil Rakyat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Badan-badan Berkanun dan Rakyat
seluruh Negeri Pahang Darul Makmur;
Ingin
menzahirkan Ikrar Taat Setia yang tidak terhingga, Patik pacal-pacal sekalian,
ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebagai Sultan Pahang Ke-6.
DOA BUAT
KELUARGA DIRAJA
Moga-moga
dengan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menjalankan pemerintahan
ke atas Negeri Pahang Darul Makmur ini, dengan penuh berkesan dan jayanya.
Sekianlah
sahaja persembahan ucapan Ikrar Taat Setia Patik yang tidak sepertinya ini.
Dengan
ini juga, Patik mewakili pacal-pacal sekalian, mohon ampun dan maaf ke sisi Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sekiranya terdapat sebarang kekurangan dan
keterlanjuran tutur-kata dalam persembahan ucapan Patik ini.
Patik
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga Paduka Ayahanda yang
tercinta, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar
Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah, berada dalam keadaan damai-sejahtera.
Selanjutnya, Patik juga berdoa ke hadrat
Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, terus
dikurniakan kecemerlangan hidup, sihat-wal‘afiat, dilanjutkan usia,
aman-sentosa disamping Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Puan Pahang, serta Yang
Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda dan Cucunda-cucunda.
Amin,
amin, amin. Ya rabbal a’lamin.
‘Wabillahitaufik
Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.
Ampun
Tuanku. – Khabar