Tentang pelaksanaan
projek Jalanraya Tanahtinggi bernilai RM806 juta - Ringlet-Sungai Koyan sejauh
79.1 KM yang siap dibina di bawah Kerajaan Persekutuan BN sejak 2010 lagi
TINJAUAN SEHARI-SUNTUK MENELUSURI JALANRAYA TANAHTINGGI RINGLET-SUNGAI KOYAN PADA 20 OGOS 2009... Dato' Sri Wan Rosdy (kanan sekali), kelihatan sedang mengiringi Menteri Besar ketika itu, Dato' Sri DiRaja Adnan dalam tinjauan berkenaan. Di belakang mereka ialah Ahli Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamed.
Foto ini dipetik daripada majalah Khabar Pahang Bil 17 Tahun Ke-11 Tahun 2009.
TANAH RATA,
CAMERON HIGHLANDS
– Bak kata pepatah Melayu – ‘Gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang
lautan kelihatan’.
Inilah
yang boleh dirujuk kepada tohmahan terbaharu calon Pakatan Harapan (PH) dari
DAP, Encik M.Manogaran mengenai kononnya Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan
Ismail yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan Jelai, tidak berbuat apa-apa bagi
mengadakan jalanraya yang sempurna di kawasannya itu.
(Yang
ironinya, permintaan Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri pada Ogos 2016 dan Perdana
Menteri ketika itu, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah meluluskan
peruntukan RM15 juta bagi pembinaan jalan 30 KM antara Pos Betau dan Pos
Lenjang, tetapi telah dihentikan oleh Kerajaan Persekutuan PH selepas
Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang lepas).
“Pertama-tama
saya hendak tanyakan beliau; Laluan manakah yang diambilnya dari Tanah Rata ke
Sungai Koyan dalam tempoh Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands
ini, jika tidak melalui Jalanraya Tanahtinggi Ringlet-Sungai Koyan sejauh 79.1
KM yang Kerajaan BN bina dan siap pada Mac 2010?
“Ketika itu,
saya sudahpun berada dalam penggal kedua saya sebagai Ahli Dewan Negeri Jelai,
sejak pertama kali bertanding dan memenanginya pada PRU Ke-11 lagi pada tahun
2004.
JALANRAYA
RINGLET-SUNGAI KOYAN SIAP DIBINA SEMASA PENGGAL KEDUA SEBAGAI AHLI DEWAN NEGERI
JELAI
“Saya juga
ketika itu, berada pada penggal pertama sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
(MMK) Negeri, memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang
Asli Negeri.
“Dan ketika
jalanraya ini 80 peratus siap, saya telah mengiringi Menteri Besar ketika itu,
Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada 20 Ogos 2009, meninjau sehari-suntuk jalanraya
bernilai RM806 juta tersebut,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam ‘entry’
terbaharu dalam laman sosial ‘Facebook’nya.
Dengan
adanya jalanraya tanahtinggi inilah katanya, telah memudahkan perjalanan darat dari
Tanah Rata, turun ke Ringlet kemudian ke Lembah Bertam, seterusnya ke Hulu
Telom, Pos Menson, Kampung Susu, Pos Betau hinggalah ke Sungai Koyan.
Dengan
adanya jalanraya tanahtinggi inilah juga maka Cameron Highlands boleh
dikunjungi menerusi daerah dalam negeri ini sendiri iaitu Lipis. Sebelumnya,
laluan ke tanahtinggi ini perlu melalui Perak menerusi sama ada Tapah atau
Simpang Pulai, serta Kelantan menerusi Gua Musang.
Menurutnya,
projek jalanraya ini yang bermula pembinaannya sejak tahun 1999 lagi,
melibatkan empat (4) pakej iaitu pakej pertama laluan Sungai Koyan-Pos Betau
(19 KM); pakej kedua, Pos Betau-Bukit Betong (22 KM); pakej ketiga, Bukit
Betong-Kampung Susu (19 KM); dan, pakej keempat, Kampung Susu-Ringlet (19.1
KM).
JUGA PERJUANGKAN
JALAN-JALAN ‘FEEDER’ SERTA KERJA-KERJA MENAIK-TARAFNYA
Pakej
ketiga laluan Bukit Betong-Kampung Susu ialah tertinggi kosnya, kira-kira RM233
juta. Sungguhpun panjangnya cuma 19 KM tetapi oleh kerana bentuk muka bumi
bergunung-ganang, hingga memerlukan pembinaan 10 jambatan untuk merentasinya.
Dan
ada sebuah jambatan daripada kesemua 10 jambatan itu katanya, panjangnya
sehingga 1 KM dengan kos bagi membinanya sahaja mencecah RM15 juta!
“Bagaimanakah
saya tahu tentang fakta-fakta ini jika bukan sebab saya turut terlibat dengannya
– sekurang-kurangnya menghadiri mesyuarat-mesyuarat serta
perbincangan-perbincangan mengenainya,” katanya lagi.
Selain
daripada jalanraya Ringlet-Sungai Koyan ini katanya, yang turut penting untuk beliau
kisah dan perjuangkan ialah pembinaan ‘feeder road’ termasuklah jalan antara
Pos Betau dan Pos Lenjang yang dipohon dan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan
BN pada tahun 2016, tetapi dihentikan sejak PH mengambil alih Kerajaan
Persekutuan pada PRU lepas.
Dalam
pada itupun, jalan-jalan ‘feeder’ yang termasuk jalan-jalan luar bandar dan
jambatan-jambatan seperti Jambatan Kuala Medang dan Jambatan Tanjung Gahai
katanya lagi, terus dibina manakala yang sedia ada, diperbaiki dan dinaik-taraf
dari masa ke semasa sepertimana jalan berhampiran simpang masuk ke Pos Senderut.
“Dan ini
merupakan ‘an ongoing process’ (proses yang dilakukan secara berterusan) yang
akan terus saya usaha dan jayakan demi kesejahteraan penduduk, InsyaAllah,” katanya lagi. –
Khabar