Wednesday, 9 January 2019

Generasi kedua Felda Sungai Koyan 2 dan 3 akan dapat lot rumah.


“Jadi kita, bermula di Koyan; Felda Koyan 2 dan 3, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan 223 lot dengan keluasan 5,000 ke 6,000 kaki persegi kepada generasi kedua Felda,” kata Menteri Besar.

MENTERI BESAR BERSAMA-SAMA KHALAYAK PETANG RABU... Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut disertai Dato' Mohd Hafizi dan Dato' Mahmud; sedia diambil foto berkumpulan bersama-sama khalayak dan penerima majlis petang Rabu dalam Dewan di Laman Sejahtera ini.  


LAMAN SEJAHTERA, DEWAN NEGERI JELAI, SUNGAI KOYAN, LIPIS – Demi membantu belia-belia generasi kedua Felda, Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan kelulusan pemberian lot-lot rumah kepada mereka bermula dengan Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 2 dan 3 di sini.

“Kerajaan Negeri Pahang, kami rakan-rakan Exco (MMK; Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) berbincang, macam mana nak bantu generasi kedua Felda?

“Jadi kita, bermula di Koyan; Felda Koyan 2 dan 3, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan 223 lot dengan keluasan 5,000 ke 6,000 kaki persegi kepada generasi kedua Felda, yang melibatkan seluas 13 hektar tanah.

“(Bagi generasi kedua Felda di Sungai) Koyan 1, dalam proses. Bukan kita tak bagi, (cuma masih) dalam proses,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan luar teks 16-minitnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri dan Bantuan Khas Sekolah Rendah petang Rabu, 9 Januari di sini.

“Ini tak ada kena-mengena dengan pilihanraya, tak ada kena-mengena, secara kebetulan. YB Dato’ Nazri telah rancang lebih awal supaya memberi lot-lot ini kepada anak-anak generasi kedua Felda.

DATO' SRI WAN ROSDY DALAM UCAPAN LUAR TEKS 16-MINITNYA... 


SESUAI DENGAN USAHA MAJUKAN NEGERI SERTA SELESAIKAN MASALAH RAKYAT

“Cumanya bila kebetulan nak pilihanraya, Dato’ Nazri percepatkan sikit, itu sahaja,” tegasnya. Dato’ Nazri yang dimaksudkan ialah Dato’ Nazri Ngah, Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, apa yang telah diumumkannya itu sememangnya telah dirancangkan lebih awal serta menepati pula dengan slogan Kerajaan Negeri pimpinannya – Maju Terus Pahang.

“… dan sesuai juga dengan usaha-usaha kita untuk memajukan negeri Pahang dan menyelesaikan setakat mana yang boleh, sebanyak mana yang mampu; masalah-masalah rakyat,” katanya lagi.

Pada penghujung ucapannya, beliau turut memberi sedikit bayangan tentang calon BN yang akan diturunkan bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Cameron Highlands pada 26 Januari ini  

“Calonnya, memang mempunyai kelulusan yang tinggi, keluar universiti. Umurnya lebih kurang sebaya dengan saya dan saya pasti ianya akan menarik minat ramai…,” katanya.


MAJLIS PENYAMPAIAN PADA SEBELAH PAGI... Pada sebelah pagi Rabu yang sama, Dato' Sri Wan Rosdy turut hadir pada majlis penyampaian sumbangan di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis. 

Selain Ahli MMK, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Mohd Hafizi (kanan sekali); dan, Ketua Pegawai Korporat, Kumpulan Yayasan Pahang, Encik Airul Amri Amran (di belakang Dato' Sri Wan Rosdy).  


CALON BN PENUHI SELERA ORANGRAMAI

“Dan saya harap pada 26 Januari, keluar beramai-ramai untuk mengundi Barisan Nasional,” katanya lagi dan menambah betapa calon tersebut tidak akan mengecewakan sementelah ia merupakan kehendak penduduk di situ juga.

Menurutnya yang juga Pengarah Pilihanraya BN bagi PRK berkenaan, bukanlah mudah untuk mendapatkan calon tersebut ‘apabila kita hendak membuat perubahan’, yang melibatkan perjumpaan dan perbincangan hingga awal pagi.

“Akhirnya pagi semalam, kita mendapat kata putus – adalah calon yang memenuhi selera orangramai dalam parlimen Cameron Highlands. Dan saya harap, Tuan-tuan dan Puan-puanpun tidak mengecewakan saya selaku Pengarah Pilihanraya P078 pada 26 haribulan ini,” katanya disambut tepukan oleh mereka yang hadir

“Walau apa sekalipun – pihak sebelah sana janjikan bulan dan bintang, Tuan-tuan kena ingat, sejak 2004 lagi, saya bersama-sama dengan Tuan-tuan dan Puan-puan. Dan orang belah sana baru ini sahajalah datang tunjuk muka itu, ini dan sebagainya. Jadi, Tuan-tuan fikir sendirilah…,” katanya lagi.

Dato’ Sri Wan Rosdy ialah juga wakil rakyat negeri setempat (BN – Jelai) yang memasuki penggal keempat kini, mula diwakilinya sejak Pilihanraya Umum Ke-11, tahun 2004.  

PADA MESYUARAT MMK NEGERI... Hadir pertama kali selepas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada Isnin, 7 Januari lepas ialah Dato' Sri Dr Sallehuddin (duduk ke sebelah kiri Menteri Besar). 


SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI YANG BAHARU TURUT HADIR

Selain Ahli-ahli MMK Negeri termasuk Dato’ Nazri dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak yang pada sebelah paginya telah menghadiri mesyuarat mingguan MMK Negeri di Kuala Lipis;

Antara yang turut hadir pada majlis petang Rabu ini ialah Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Nawawi. – Khabar