Thursday, 10 January 2019

Buatlah keputusan yang bijak, saran Menteri Besar kepada pengundi Cameron Highlands


“Bagi pihak kami, Barisan Nasional telahpun memberi ataupun menyerahkan calon yang paling diminati, disukai oleh pengundi-pengundi di dalam Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

MENTERI BESAR DENGAN CALON PILIHAN... Dato' Sri Wan Rosdy dengan calon pilihan, Encik Ramli Mohd Noor. Dan kebetulan kedua-duanya sebaya, lahir pada 1 Oktober, 1958.


BALLROOM, HOTEL PUTERI PACIFIC, KUALA LUMPUR – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berharap, pengundi-pengundi di Cameron Highlands dapat membuat keputusan bijak dalam menentukan calon yang mereka pilih pada Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Cameron Highlands 26 Januari ini.

“Saya harap pengundi-pengundi buat keputusan yang bijak. Bagi pihak kami, Barisan Nasional telahpun memberi ataupun menyerahkan calon yang paling diminati, disukai oleh pengundi-pengundi di dalam Parlimen Cameron Highlands.

“Dan beliau mempunyai kelulusan yang agak tinggi, banyak pengalaman, memegang jawatan sebagai pesara Polis (pangkat) ACP, dan saya percaya, beliau mampu mewakili masyarakat di dalam Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemubual oleh dua (2) wartawan dari sebuah portal berita pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK berkenaan, pagi Khamis, 10 Januari di sini.

Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohamad Hasan telah mengumumkan Encik Ramli Mohd Noor sebagai calonnya. Encik Ramli ialah anak tempatan di tanahtinggi itu, berdarah suku kaum Semai dari Pos Mensoon.

SOKONGAN PADU... Selain pemimpin-pemimpin BN termasuk Presiden MIC, Tan Sri S.Vigneswaran (lima dari kanan), dan Naib Presiden MCA, Dato' Sri Ti Lian Ker (empat dari kanan); yang turut hadir tanda beri sokongan ialah Naib Presiden PAS, Dato' Ir Iskandar Abdul Samad (dua dari kiri) dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan (kiri sekali). 

TANAH ADALAH URUSAN KERAJAAN NEGERI

Ketika ditanya tentang apakah yang BN Pahang boleh tawarkan sepanjang tempoh berkempen yang bermula dengan Hari Penamaan Calon pada Sabtu, 12 Januari ini kata Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengarah Pilihanraya BN bagi PRK ini;

“Kita akan beri perkhidmatan yang terbaiklah, sebab kita Kerajaan. Tanah adalah urusan Kerajaan Negeri, PBT di bawah Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah & Daerah adalah (di bawah) Kerajaan Negeri.

“Dan saya percaya, ini semua adalah berkaitan dengan kehidupan seharian masyarakat di dalam Parlimen Cameron Highlands.

“Kita sebagai Kerajaan, tentunya bagi bantuan sekiranya menurut peraturan-peraturan yang ditetapkan. Dan selama inipun kita bantu,” katanya.

Beliau juga ditanya tentang sama ada BN ada merancang untuk membuat pengumuman-pengumuman tertentu berkaitan dengan PRK ini yang menurutnya, tiada keperluan untuk berbuat demikian setakat ini.

SATU DARIPADA 'POSTER' MENARIK ENCIK RAMLI...  


TAK TUNGGU PILIHANRAYA BARU NAK BUAT SESUATU

Sebaliknya, beliau menegaskan; “Kita sentiasa beri perkhidmatan kepada rakyat. Saya ingat tak perlu ada pengumuman. Kerajaan Negeri selama inipun, bekerja, berkhidmat untuk rakyat. Kita tak tunggu pilihanraya kecil baru nak buat sesuatu dan sebagainya”.

“Kita tak adalah umumkan semata-mata untuk pancing undi pilihanraya. Kita daripada dahulu ‘consistent’ dalam memberi perkhidmatan. Bermakna, setiap masa, setiap ketika, sebelum dan selepas pilihanraya, kita akan bantu masyarakat.

“Memang itulah hasrat kita,” katanya sambil merujuk kepada pelbagai inisiatif yang Kerajaan Negeri BN perkenalkan sejak beliau menjadi Menteri Besar pada 15 Mei lepas, selepas Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei.

Antara inisiatif tersebut yang telah mendapat pujian dan sambutan rakyat ialah mengenai penurunan kuasa dari Pihak Berkuasa Negeri (PBN) atau Menteri Besar, kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar atau Pegawai Daerah bagi mendapatkan kelulusan kebenaran (consent) pindah milik, gadaian dan pajakan tanah.

Inisiatif ini yang berkuatkuasa pada 1 Ogos lepas, telah mempercepatkan urusan-urusan berkaitan tanah tersebut.

DAN BIODATANYA... 


DENGAN PENURUNAN KUASA, KELULUSAN BAGI PERMOHONAN BERKAITAN TANAH DIPERCEPATKAN

Misalnya bagi tujuan ‘kasih sayang’ melibatkan suami-isteri dan anak beranak, serta ‘waris qadim’ seperti bapa dengan anak, ibu dengan anak, adik-beradik, nenek dengan cucu dan datuk dengan cucu.

Begitu juga bagi yang bukan ‘waris qadim’ seperti saudara terdekat yakni sepupu, anak saudara, bapa saudara dan ibu saudara;

Penurunan kuasa itu menyebabkan keputusan bagi permohonan yang lengkap untuk proses-proses pindak milik, gadaian dan pajakan tanah boleh diperolehi dalam tempoh sehari-dua sahaja!

“Itu pendekatan kita. Kalaupun sebelum atau selepas pilihanraya saya rasa, (jika) masih ada perkara-perkara yang boleh memudahkan rakyat, kita akan bantu. Kita mesra rakyat.

“Kita ‘all the time’ bagi ‘service’ kepada rakyat – ‘after or before elections’, kita ‘consistent’. Kita nak biar rakyat tahu, kita ini bukan ‘oh, bila ada ‘election’ baru mahu tolong. Kita tak mahu macam tu,” tegasnya. – Khabar